10 Ganjaran Untuk Kaki Masjid

Oleh Azam Abdullah : 21 July 2017

10 Ganjaran Untuk Kaki Masjid

“Dasar kaki mabuk! Hari-hari mabuk. Apa nak jadi dengan kau ni Jo?”

“Kau kena hati-hati dengan Man tu, dia tu kaki perempuan.”

“Aku dah tak tahan dengan suami aku. Dia kaki pukul.”

Tapi semua sikap di atas boleh berubah dengan menjadi kaki masjid. Hidup kita ini memang tidak lari dari kesilapan. Kita pernah jadi kaki perempuan,kaki mabuk atau kaki pukul. Namun selagi matahari tidak lagi terbit dari barat maka pintu keampunan Allah itu sentiasa terbuka.

Dan tempat yang paling sesuai untuk kita ‘mencari’ Allah adalah di masjid. Saya pernah mengenali seorang kawan. Dulu hidupnya penuh lagha. Hatinya kosong.

Satu hari, hati dia terdetik untuk berubah. Perkara pertama yang dia lakukan untuk berubah adalah dengan konsisten pergi ke masjid setiap kali waktu solat. Dia lakukan sehingga 3 bulan. Dia jauhkan diri dari kawan-kawan laghanya sebelum ini. Tinggalkan semua aktiviti yang tidak berfaedah. Dia paksakan diri untuk menjadi kaki masjid. Lalu dia temui banyak hikmah. Hidupnya semakin berubah. Hati semakin tenang. Rasa hidup lebih bertujuan.

10 ganjaran Allah janjikan kepada kita yang hatinya sentiasa terikat pada masjid.

1. Tanda Orang Beriman

Allah berfirman: ‘Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat (Al-Tawbah 9: 18). ”

 2. Dihapuskan Dosa

Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik.” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

3. Disambut Allah

Rasulullah bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang.” (Riwayat Ibn Majah)

4. Dijamin Rezeki dan Syurga

Rasulullah S.A.W bersabda: “Ada tiga golongan semuanya dijamin Allah; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga:

Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin Allah. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin Allah. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah, maka dia dijamin Allah.

(Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

5. Allah Menyebut Nama Di Depan Malaikat

Rasulullah bersabda: “Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat.” (Riwayat Muslim)

6. Mendapat Naungan Di Akhirat

Rasulullah bersabda: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya…seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Malik: “Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula.”

7. Mendapat Cahaya Di Hari Kiamat

Rasulullah bersabda: “Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat.” (Riwayat al-Tirmizi)

8. Dilepaskan Dari Api Neraka Dan Munafik

Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik.” (Riwayat al-Tirmizi)

9. Mudah Melepasi Titian Sirat

Rasulullah bersabda: “Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan.” (Riwayat al-Baihaqi)

10. Hidangan Di Syurga

Rasulullah berasabda: “Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang.” (Riwayat Ahmad)

Jadi, disaat kita sedang berperang dengan perasaan untuk berubah atau mencari penyelesaian kepada masalah, carilah di Masjid. Insya Allah kita akan temui jawapan kepada persoalan hidup kita. Bukan sahaja ditemukan dengan ketenangan tapi ditemukan dengan orang-orang yang mahu dekatkan diri pada Allah.

Jom kita jadi kaki masjid!