Daftar Volunteer MVM »

10 Pintu-Pintu Rezeki


Kemaskini pada Jul 14, 2017 : Muhasabah Views: 359

10 Pintu-Pintu Rezeki

Setiap apa yang wujud di dunia ini ada pintunya. Kita memasuki rumah melalui pintu. Memasuki masjid melalui pintu. Syurga juga mempunyai pintu-pintunya. Hatta hati kita juga ada pintunya. Begitu juga dengan rezeki yang mempunyai pintunya sendiri. Selama ini kita sering merungut kenapa rezeki terasa susah untuk singgah. Jika ia datang pun, dengan cepat ia pergi. Mana mungkin rezeki itu hendak masuk dan singgah jika kita tidak membuka pintunya.

Kitalah yang harus bangun dan membuka pintu rezeki itu kerana ia tidak akan terbuka dengan sendiri. Saya yakin anda yang membaca buku ini adalah mereka yang sedang mencari formula bagaimana untuk dimurahkan rezeki. Kerana kita tahu, kita sedang hidup di zaman yang mencabar. Kita sedang hidup di zaman keluar pagi balik malam demi untuk mencari sesuap nasi. Kita hidup pada zaman yang perlu bayar bil-bil dan hutang-hutang. Itu tidak dikira lagi berapa ramai antara kita yang hampir-hampir muflis akibat hutang sehinggakan setiap pagi kita bangun dari tidur perkara pertama yang kita akan fikir: ‘di manalah lagi  nak cari duit?’

Jangan risau kerana Allah sudah menjamin rezeki setiap daripada kita. Hatta seekor burung yang terbang di awal pagi pun sudah terjamin rezekinya di petang hari. Cuma mungkin ada salah kita di mana-mana. Ada silap kita yang tidak tersengaja. Maka kita kena muhasaba diri kerana apa rezeki selama ini terasa sempit. Ayuh kita tengok 10 pintu-pintu rezeki ini. Moga kita mampu keluar dari kesempitan hidup melaluinya.

1. Istighfar

Allah S.W.T berfirman ertinya : “Maka Aku katakan kepada mereka, ‘Mohonlah keampunan kepada Rabmu.’ Sesungguhnya Dia Maha Pengampunan. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (di dalamnya pula) untukmu sungai-sungai.”

( Surah Nuh : 10-12 )

2. Takwa

Allah S.W.T berfirman ertinya : “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan-jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

( Surah At-Tolaq : 2-3 )

3. Tawakkal

Allah S.W.T berfirman ertinya : “Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

( At-Talaq : 3 )

4. Menyambung Silaturrahim

Rasulullah S.A.W bersabda : “Siapa yang senang untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya ( dipanjangkan umurnya ) maka hendaklah dia menyambung (tali) silaturrahim.”

( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

5. Infaq

Allah S.W.T berfirman ertinya : “Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

( Surah Saba’ : 39 )

6. Menafkahi penuntut ilmu agama.

Anas bin Malik berkata (ertinya) : “Pada masa Rasulullah, ada dua orang bersaudara yang salah satunya mendatangani Nabi (untuk belajar agama) dan (saudaranya) yang lain bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu kepada Nabi, maka Baginda bersabda : ‘Barangkali engkau diberi rezeki dengan sebab dia.’

( Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Hakim )

7. Berbuat baik kepada orang miskin dan lemah.

Rasulullah S.A.W bersabda ertinya : “Bukankah kalian ditolong dan diberi rezeki lantaran orang-orang lemah di antara kalian?”

( Hadis Riwayat Bukhari )

8. Mensyukuri nikmat.

Allah S.W.T berfirman ertinya : “Dan ingatlah tatkala Rabmu mengumandangkan ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

( Surah Ibrahim : 7 )

9. Redha

Rasulullah S.A.W bersabda : “Sesungguhnya Allah Yang Maha Luas Kurnia-Nya lagi Maha Tinggi, akan menguji setiap hamba-Nya dengan rezeki yang telah diberikan kepadanya. Barangsiapa yang redha dengan kurniaan Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki tersebut untuknya. Dan barangsiapa yang tidak redha, nescaya rezekinya tidak akan diberkati.”

( Hadis Riwayat Ahmad )

10. Mencari rezeki dengan cara yang halal.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : “Janganlah kamu merasa rezekimu datangnya terlambat. Kerana tidaklah seorang hamba akan meninggal hingga telah datang kepadanya rezeki terakhir (yang telah ditentukan) untuknya. Maka laluilah jalan yang baik dalam menceri rezeki iaitu dengan mengambil yang baik dan meninggalkan yang haram.”

( Hadis Riwayat ‘Abdur-Razzaq, Ibnu Hibban dan Hakim )

Setiap dari kita sudah terjamin rezekinya. Hanya mungkin Allah menangguhkannya kerana masanya tidak lagi tiba untuk kita menerima rezeki itu. Allah boleh saja kurniakan harta bertimbun-timbun kepada kita dalam masa satu hari, tapi adakah kita bersedia untuk menerimanya dan adakah kita jamin kita tidak akan hanyut dengan dengan wang ringgit itu? Maka Allah lebih tahu apa yang sebenarnya diperlukan oleh kita. Setiap rezeki yang kita dapat itu adalah sebenarnya diberi mengikut kadarnya.

“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah simpanannya, dan Kami tidak menurukannya melainkan dengan ukuran tertentu.”

( Surah Al-Hijr : 21 )

Contohnya sepinggan nasi seorang ayah tidak akan sama banyaknya dengan sepinggan nasi seorang anak. Apa yang dimakan oleh seekor sapi tidak akan sama apa yang dimakan oleh seekor harimau.

Allah turukan rezeki dengan ukuran tertentu. Iaitu Allah kurniakan mengikut apa yang kita perlu.

Maka bersyukurlah, nanti Allah tambah!

 Tulisan : Azam Abdullah

 


Tinggalkan Komen Anda

MVM di Facebook

MVM di Twitter

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian