Daftar/Log Masuk Volunteer MVM »

Bantuan Salam : Bunuh diri adalah jalan terakhir – Bekas akauntan


Kemaskini pada Jun 22, 2018 2,563 Views

Bunuh diri adalah jalan terakhir – Bekas akauntan

Apabila tekanan hidup mula menghentak akal, maka bunuh diri adalah jalan terakhir.

Itulah yang dirasakan oleh Puan Suzana Mohd. Soriji, seorang bekas akauntan, kini sedang menderita sakit tulang belakang sejak 2014 akibat implikasi banyak mengangkat benda berat sepanjang tempoh mengurus dan menjaga arwah datuk suaminya yang lumpuh ketika itu.

Beliau mengambil keputusan menamatkan kerjayanya kerana mahu menjaga arwah datuk suaminya, sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir pada 2014. Bermula dari itu, beliau memulakan perniagaan membuat roti dan kek secara atas talian melalui akaun Instagram @mamamanishomemade. Perniagaannya bukan bermotifkan keuntungan semata-mata, malah beliau kerap menyalurkan sumbangan roti melalui badan-badan kebajikan untuk disampaikan kepada gelandangan di Kuala Lumpur.

Namun, langit tidak selalu cerah…

Beliau diuji dengan penyakit lain seperti asma kronik, kanser rahim tahap dua dan paru-paru berair sehingga pernah ditahan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama lapan hari. Kini, beliau perlu memakai lampin pakai buang setiap masa kerana mengalami gangguan sistem pelawasan di pundi kencing. Rentetan itu, perniagaan rotinya terpaksa ditamatkan buat sementara waktu.

Ramadan tahun ini tidaklah seindah yang diimpikan. Ketika sedang bergelut dengan masalah kesihatan, pada 4 Jun 2018 bersamaan 19 Ramadan 1439h, sekali lagi beliau diuji apabila suaminya melafazkan cerai dengan alasan ‘terpaksa’ yang masih tidak dapat difahami oleh beliau hingga hari ini.

Segala bebanan yang menimpa membuatkan beliau pernah terdetik untuk membunuh diri. Namun kecamukan jiwanya berjaya diubati apabila beliau ditaja oleh pihak tertentu untuk menetap di Madrasah Al-Jenderami, Dengkil selama 10 hari bagi mendalami ilmu agama, sekaligus memberi ketenangan pada jiwa dan rohaninya.

Meskipun sudah berpisah dengan suami, beliau masih tabah dan cekal untuk meneruskan hidup bersama anaknya. Rakan-rakan baiknya banyak menyalurkan bantuan berbentuk sumbangan barangan dapur, wang ringgit, lampin pakai buang dan keperluan asas yang lain. Menariknya, beberapa orang tukang sapu di blok bangunan pangsapurinya turut bersimpati dengan keadaan beliau yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) hingga mereka sudi membantu membersihkan rumahnya secara sukarela pada setiap hari.

Disebabkan mempunyai masalah tulang belakang yang serius, ianya agak menyukarkan pergerakan beliau untuk berjalan, duduk, baring dan aktiviti lain. Beliau bergantung sepenuhnya dengan tongkat untuk bergerak pada setiap masa. Tambahan pula, ketiadaan katil di rumahnya memaksa beliau untuk baring dan tidur di atas lantai sahaja berlapikkan tilam sehingga membuatkan beliau terpaksa bersusah bayah untuk baring atau bangun.

Begitulah situasi yang berlaku dalam rutin hariannya. Dengan semangat yang positif, ditambah dengan sokongan moral oleh kawan dan anak-anaknya, beliau masih lagi boleh tersenyum dan mempunyai keazaman yang tinggi untuk kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Terkini, beliau bakal menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Serdang pada 3 Julai 2018 dengan kos rawatan sebanyak RM 22,737.

Beliau menerima bantuan sumbangan kewangan daripada pusat zakat berjumlah sebanyak RM 20,000 dan baki RM2,737 lagi amat diperlukan daripada sumbangan orang ramai. Bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan ikhlas boleh berbuat demikian ke Tabung Bantuan Salam di https://mvm.org.my/tabung-bantuan-salam-mvm

Kami dari unit MVM amat berbesar hati sekiranya ada yang sudi membantu Puan Suzana. Semoga Allah SWT memberkati kita semua hendaknya. Amiin.

MVM di Facebook

MVM di Twitter


Tinggalkan Komen Anda

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian