Bantuan Salam: “Dia Pernah Nak Jual Akak.” -Kak Masfaizah

Oleh Nur Liyana : 8 December 2018

Bantuan Salam: “Dia Pernah Nak Jual Akak.” -Kak Masfaizah

Tabah. Itulah frasa yang sesuai ditujukan buat dirinya. Kehidupan bersama bekas suaminya adalah satu mimpi ngeri beberapa tahun dahulu. Akibat di bawah pengaruh dadah, dirinya sendiri dan anak kecilnya pernah hampir dijual kepada orang lain demi mendapatkan wang. Namun, semua itu sudah berlalu dan kini hidupnya lebih cerah bersama suami kedua.

Kak Masfaizah, ibu kepada lima orang anak ini merupakan peniaga kuih secara kecil-kecilan dari rumah. Karipap, Seri Ayu, Kuih Kacang, Koci dan sebagainya sudah menjadi ‘permainannya’ kira-kira sejak enam tahun dahulu.

Kak Mas ada sebab tersendiri mengapa dia memilih untuk berniaga dari rumah sahaja. Satu masa dulu dia pernah memohon tapak lokasi untuk dia berniaga. Namun, lokasi tersebut tidak mendapat kelulusan daripada pihak majlis perbandaran. Justeru, pihak majlis perbandaran memberi cadangan tapak yang lain tetapi lokasi tersebut kurang sesuai untuk dia menjalankan perniagaannya.

 

 

Sedikit sunyi, agak jauh dari penempatan dan berhampiran kawasan industri. Itulah gambaran cadangan tapak niaganya. Kerana gusar akan kekurangan permintaan daripada pelanggan akibat lokasi sedemikian, Kak Mas rela untuk membuat kuih dari rumah sahaja dan menghantarnya ke kedai makan berdekatan rumahnya setiap pagi.

Kadar pendapatan hariannya cukup-cukup makan. Tidak terlebih, tidak terkurang. Walaupun belum mencapai tahap ‘mewah’, namun Kak Mas bersyukur dengan hasil pendapatannya. Suaminya pula mencari rezeki dengan mengutip besi-besi buruk di sekitar Banting untuk dihantar ke kilang besi. Kalau berat timbangannya, maka ‘beratlah’ sakunya.

Tidak kurang juga, suaminya berkemahiran dalam pertukangan. Selain besi buruk, pelbagai barangan perabot buangan orang juga menjadi ‘buruannya’. Sofa, kabinet televisyen dan meja makan adalah antara perabot buangan orang yang dikutipnya, kemudian dibaiki dan digunakan untuk kegunaan rumah.

 

Segalanya adalah frozen.

Berbalik kepada perniagaannya, Kak Mas pernah menghasilkan produk kuih frozen sebelum ini seperti karipap, donut dan sebagainya. Tidak kurang juga, Kak Mas mahir menghasilkan pizza, kek muffin, kek hari jadi dan sebagainya. Namun peti freezer tersebut telah diberikan kepada ayahnya untuk kegunaan di kampung, kebetulan ketuharnya pula rosak. Sejak itulah, bermulanya era perniagaan kuih bergoreng setiap hati.

Namun hakikatnya, Kak Mas berasakan bahawa jualan kuih frozen lebih menguntungkan. Pada waktu itu dia ada pelanggan tetap yang pasti akan menempah stok kuih frozen untuk tempoh-tempoh tertentu. Apabila MVM bertanya akan kecenderungan minatnya, Kak Mas mengatakan jauh di sudut hatinya, dia lebih berminat untuk kembali menjalankan perniagaan kuih frozen. Selain kuih frozen, Kak Mas juga berkemahiran menghasilkan pizza, kek muffin, kek hari jadi dan sebagainya.

 

Cuma, kekangannya kini Kak Mas tiada peti freezer di rumahnya. Dia perlukan sebuah peti freezer untuk menyimpan stok kuih frozen dalam kuantiti yang banyak. Ini menjamin permintaan kuihnya akan lebih meningkat. Tidak kurang juga, ketuhar miliknya yang sedia ada sudah lama rosak. Kak Mas juga perlukan ketuhar baharu untuk kembali menghasilkan pizza, kek muffin, kek hari jadi dan sebagainya.

Legasi kuih frozen kembali.

Alhamdulillah, pada 15 November 2018 lalu, Unit Salam MVM telah menyumbangkan sebuah freezer, electric oven dan barangan basah kuih seperti tepung gandum, tepung beras, marjerin, perasa dan sebagainya kepada Kak Mas. Sumbangan ini sangat membantu Kak Mas dalam merancakkan semula perniagaan kuih frozen yang sudah lama tergendala akibat ketiadaan freezer dan electric oven.

Kesemua barangan sumbangan ini adalah daripada tabung Bantuan Salam yang diperuntukkan khas bagi asnaf-asnaf yang memerlukan dan Kak Mas ialah salah seorang daripadanya. Semoga sumbangan ini dapat membantu Kak Mas berikhtiar dan berjaya membawa keluarga keluar daripada kepompong kesusahan, sekaligus dapat menyuntik semangat kepada orang lain untuk mengubah hidup mereka.

Kak Mas dan anak-anak bergambar bersama barang-barang sumbangan yang diterima.