BANTUAN SALAM: DIBELENGGU HUTANG, MASIH ADAKAH KEHIDUPAN?

Oleh Imran Abd Moin : 29 December 2018

BANTUAN SALAM: DIBELENGGU HUTANG, MASIH ADAKAH KEHIDUPAN?

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak

Noraini Bt. Ghazali, 53, isteri kepada Nazli Mustafa Al-Bakri dan ibu kepada tiga cahaya mata. Suaminya sakit lumpuh saraf otak, kesan daripada kelumpuhan sebelah badan beberapa tahun lalu serta sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Walaupun berstatus OKU, Pakcik Nazli masih boleh berjalan dan bergerak normal, cuma kurang upaya untuk memahami percakapan orang lain.

Bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM 600 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM 250 setiap bulan tidaklah begitu mencukupi, lebih-lebih lagi ketiga-tiga anaknya masih belajar. Nur Fatin Aqilah, 20, menuntut di Institut Profesional Baitulmal (IPB) dalam program Diploma Haji & Umrah, manakala Muhammad Daniel Aqila, 16, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara dan Muhammad Danish Aizat, 14, turut bersekolah di SMK Seri Bintang Utara.

Menyentuh mengenai bantuan bulanan yang diterimanya, sebahagian wang bantuan tersebut perlu diperuntukkan kepada perbelanjaan anak-anaknya, serta ubatan dan kos rawatan susulan suaminya. Selain itu, komitmen wajib seperti sewa rumah, belanja dapur dan barangan niaga juga antara bayaran yang perlu Makcik Noraini selesaikan.

Pendapatan keluarga bergantung pada hasil jualan nasi lemak sahaja. Pakcik Nazli menjadi pembantu di gerai setiap hari. Disebabkan faktor kekurangan upaya (OKU) yang dialaminya, Pakcik Nazli membantu menguruskan di bahagian pembungkusan. Adakalanya jika penat, Pakcik Nazli akan berehat sebentar dan Makcik Noraini yang menguruskan semuanya.

Apakah jualan nasi lemak ini boleh menjadikan mereka kaya? Pendapatan dalam sehari hasil jualan nasi lemaknya sekitar RM 250.00 sahaja, bergantung pada permintaan pelanggan juga. Namun begitu, kata Makcik Noraini, lokasi gerainya agak strategik kerana gerainya sahaja satu-satunya gerai makanan Melayu dan Islam yang semestinya kita boleh fahami; mesra pelanggan, bersih dan diyakini.

Walaupun jumlahnya kelihatan seakan banyak, namun sebahagian besar wang hasil jualan tersebut perlu digunakan untuk membayar semula wang pinjaman peribadi yang dipinjamnya sebagai modal perniagaannya dahulu. Bayaran tersebut perlu dijelaskan setiap hari tanpa tangguh. Maka, Makcik Noraini tidak berkesempatan untuk membuat wang simpanan.

Atas sebab itu, bil utiliti rumahnya tertunggak sehingga RM 1316.40. Notis amaran juga sudah diberikan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mereka sekeluarga hanya menunggu masa sahaja untuk bergelap tanpa bekalan elektrik. Dan jika ianya benar berlaku, keadaan itu akan menyukarkan lagi untuk Makcik Noraini teruskan hidup menjual nasi lemak seperti biasa.

ALAHAI PENATNYA MASAK BANYAK KALI

Selain itu, apabila melihat peralatan memasak nasi lemak, Makcik Noraini hanya menggunakan periuk nasi bersaiz biasa. Katanya lagi, setiap malam beliu akan bangun sekitar jam 3 pagi untuk memasak nasi menggunakan periuk nasi tersebut. Memandangkan jumlah nasi yang perlu dimasak itu banyak, dan periuk nasi yang digunakan pula kecil, maka Makcik Noraini terpaksa memasak berulang-kali.

Itu agak melambatkan proses penyediaannya. Makcik Noraini juga mengadu bahawa kanopi yang sedang digunakannya kini adalah pinjaman daripada seorang kawannya kerana belum mampu lagi ‘rolling’ duit untuk beli kanopi sendiri. Unit Salam MVM melihat serius akan perkara ini.

Dengan keadaan rumah yang menanti masa untuk bergelap, mereka sekeluarga perlu survive untuk mencari duit. Namun di sebalik langkah-langkah mereka berusaha, hidup mereka pula dibayangi dengan perjanjian membayar semula wang pinjaman.

Antara tunggakan bil, dan hutang pinjaman, serta makan pakai si suami dan anak-anak, apakah keputusan terbaik yang Makcik Noraini perlu buat?

 

-Bersambung-