Bantuan Salam: Hadiah Romantika Buat Aisyah (Siri 2)

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM

Assalamualaikum. Masih ingat lagi dengan Aisyah? Seorang gadis penghidap Cerebral Palsy (CP) yang kami kenalinya sejak November lalu.

Siang dan malamnya sering dihabiskan di atas kerusi roda dan katil pesakit. Kata ibunya, Makcik Haslinda, ada masa, dia gemar menonton rancangan kartun di televisyen. Jika volume ditukar kepada mode mute sekalipun, itu tidak mengapa asalkan dia masih menonton kartun tersebut.

Kalau anda masih ingat lagi, Aisyah perlukan sebuah kerusi kereta khas seperti yang ceritakan cerita sebelum ini. Dengan adanya kerusi itu, Aisyah boleh menaiki kereta keluarganya dengan selesa kerana pesakit CP sepertinya memerlukan beberapa komponen khas di bahagian kerusi seperti pelaras penyandar, tali pinggang silang, penahan kelengkang dan sebagainya.

Najib, intern media turut membantu dalam misi serahan Bantuan Salam di rumah Aisyah.

Dan seperti yang kami janjikan, pada hari serahan Bantuan Salam ini, pihak pembuat kerusi kereta menghantar kerusi tersebut ke rumahnya. Manakala kami pula menghantar barangan perubatan yang lain.

Untuk pengetahuan semua, kerusi kereta khas ini ditempah di Zee Innovator, sebuah syarikat pembekal kerusi roda custom made dan kerusi-kerusi rehabilitasi lain yang berlokasi di Seremban. Pemiliknya, En. Hazizi menyatakan, setiap tempahan kerusi mengambil masa sehingga tiga hingga empat minggu, bergantung kepada kondisi dan keadaan semasa.

Tiba sahaja team MVM ke rumah Aisyah di Beranang, pihak Zee Innovator juga sampai pada waktu yang sama. Sejurus masuk ke dalam rumah, kami terpegun melihat sebuah kerusi kereta khas yang bakal menjadi milik Aisyah selepas ini.

Jahitannya kemas, penuh dengan ciri-ciri keselamatan. Untuk makluman, setiap kerusi kereta yang ditempah, pihak pembekal akan meminta maklumat fizikal pesakit seperti tinggi, berat, jenis kain kerusi kereta dan jenis kereta. Ini bagi menjamin keselesaan dan kesesuaian yang tepat agar tidak mendatangkan mudarat dan rasa tidak selesa kepada pesakit.

Kerusi kereta khas yang ditempah di Zee Innovator. Anda boleh hubungi En Hazizi di talian 013-3387129.

Sementara itu, kami juga turut mengeluarkan barangan perubatan sumbangan kami satu persatu bermula dengan tube ripple mattres iaitu tilam anti ruam. Tilam ini berfungsi menggunakan tekanan udara yang dipam daripada mesin. Fungsinya ialah untuk mengelakkan rasa panas di belakang badan ketika baring hingga menyebabkakn ruam.

Aisyah hanya ada tiga tempat sahaja dalam sehari. Kerusi roda CP, katil hospital dan kerusi mandi. Tilam anti ruam ini diletakkan di atas katil hospital. Apabila Aisyah baring dan tidur, Insya Allah belakang badannya tidak akan ruam. Mesin pam udara sentiasa dihidupkan 24 jam dalam mode tertentu. Kadar kemampatan udara dalam tiub tilam itu bergantung kepada mode tersebut.

 

Tilam anti ruam ini mempunyai banyak tiub yang dipasang berasingan. Sekiranya salah satu tiub rosak atau bocor, boleh buka tiub tersebut dan tukar kepada yang baru. Tilam ini ditempah di Neo Lee Rehab Supply, Cheras.

Selain itu, MVM turut menyumbangkn sebuah portable nebulizer. Aisyah merupakan seorang penghidap athma kronik sejak lahir. Apabila diserang athma, selalunya Makcik Haslinda akan berkejaran membawa Aisyah ke klinik desa berdekatan rumahnya untuk menyedut gas. Ianya agak mengambil masa kerana faktor jarak.

Maka dengan adanya sumbangan portable nebulizer ini, sekiranya Aisyah terkena serangan athma lagi, Makcik Haslinda boleh terus memberikan rawatan melalui nebulizer tersebut kepada Aisyah dalam kadar segera dan hanya dibuat di dalam rumah sahaja.

Makcik Haslinda menerangkan mengenai fungsi kerusi roda Aisyah yang merupakan sumbangan daripada seorang insan yang dikenalinya di hospital beberapa tahun lalu.

Pulse oximeter juga kami sumbangkan untuk Aisyah. Ini penting bagi Makcik Haslinda menyukat kadar oksigen dalam badan Aisyah dari semasa ke semasa. Sekiranya Makcik Haslinda mendapati kadar bacaan oksigen dalam badan Aisyah tidak normal dan diramalkan akan terjadinya ‘sesuatu’, maka Makcik Haslinda boleh bersiap sedia untuk membawa Aisyah ke hospital bagi menerima rawatan segera.

Itulah barangan perubatan yang diberikan kepada Aisyah untuk Bantuan Salam kali ini, hasil sumbangan orang awam melalui tabung Bantuan Salam MVM. Kami amat berharap, dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu Aisyah untuk hidup dengan lebih selesa.

Inilah barangan perubatan sumbangan MVM untuk Aisyah.

ROMANTIKA

Oh ya, kenapa kami menamakan cerita ini dengan tajuk Hadiah Romantika Buat Aisyah?

Di akhir sesi serahan Bantuan Salam, sebelum kami mengundur diri, sekali lagi Makcik Haslinda mengucapkan ribuan terima kasih kepada kami. Dan satu ayat terpacul keluar dari bibirnya yang membuatkan kami terkejut,

“Hari ini ialah hari ulang tahun perkahwinan kami. Semua sumbangan ini ialah hadiah buat Aisyah..”

“Cinta sejati, cinta yang takkan mati.” – Adnin

Subhanallah. Tidak sangka, rupanya tarikh 30 Januari ini ialah hari ulangtahun perkahwinan Makcik Haslinda dan suaminya. Mestilah semua sumbangan ini Makcik Haslinda menganggapnya sebagai hadiah ulangtahun, khas diberikan kepadanya untuk Aisyah.

Itulah bukti cinta Makcik Haslinda. Aisyah yang dijaganya sejak kecil bagai menatang minyak yang penuh. Biarlah sakit, tidak sesempurna insan lain, namun baginya, Aisyahlah cinta hatinya yang paling sempurna. Semoga sumbangan hadiah ini, akan membuatkan ikatan cinta antara Aisyah sekeluarga bertambah kukuh.

Sekiranya anda mahu membantu kami untuk membantu lebih ramai lagi insan seperti Aisyah, anda boleh hulurkan sumbangan seikhlas hati anda di https://donationmvm.org/donations/bantuan-salam-mvm-2019/.

Inilah hadiah romantika buat Aisyah!

Terima kasih rakyat Malaysia!

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.