Bantuan Salam: Power Mata Dah 1700

Oleh Imran Abd Moin : 17 February 2019

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM


Usai melawat Donis di Puchong Utama semalam, kami terus ke Hulu Langat untuk menziarahi sebuah keluarga asnaf di sana. Kak Murni, ibu kepada tiga orang anak ini mengadu bahawa kedua-dua belah matanya mengalami masalah rabun yang kritikal.

Tahap rabunnya sudah mencecah 1700, agak tinggi daripada paras rabun yang biasa. Katanya, dia mengalami rabun teruk sejak zaman pengajian di universiti lagi, namun rabunnya semakin tinggi sejak melahirkan anak.

Cermin mata yang dipakainya itu hanya berkuasa 1500 sahaja, itupun dia tidak mampu melihat keadaan sekeliling dengan lebih jelas. Semasa keberadaan kami di rumahnya pun, dia kelihatan seperti mengecilkan mata apabila memandang kami. Jelaslah, pandangannya masih kabur.

Kak Murni bersama tiga orang anaknya.

Doktor memberi dua pilihan untuk dia terus boleh melihat dunia; sama ada memakai cermin mata khas yang sesuai dengan tahap rabunnya, atau menjalani pembedahan kedua-dua mata.

Namun katanya, sekalipun dia memakai cermin mata baharu, kemungkinan tahap rabunnya masih ‘berpeluang’ untuk semakin bertambah.

“Kalau bedah pulak, kosnya dalam 7 ke 8 ribu sahaja. Tapi, manalah kami mampu..”

Suaminya bekerja sebagai pemandu lori ais yang berpusat di Sungai Besi. Setiap pagi suaminya pergi kerja menaiki motosikal meninggalkan mereka empat beranak di rumah.

Kak Murni pernah bercadang mahu berniaga untuk menambah pendapatan keluarga, namun kondisi matanya yang rabun kritikal itu membataskan kemahuannya.

Intern Unit Salam, Imran mencatat maklumat keluarga di Borang Semakan Asnaf sepanjang sesi temubual.

Segala perbelanjaan keluarga hanya bergantung penuh pada pendapatan suami yang tidak seberapa itu. Kata Kak Murni lagi, mereka tidak pernah ‘sempat’ untuk membuat simpanan. Duit yang ada hanya cukup-cukup makan.

Kerap kali susu dan pampers tiga anaknya kehabisan. Hendak mengadu pada jiran, segan di muka lebih menebal. Lantas kami menghubungi NGO Baby Box (sebuah NGO yang memberi sumbangan susu & pampers bagi bayi di bawah setahun) untuk tindakan lanjutan. Barangkali mereka boleh membantu.

Bagi solusi untuk rawatan mata, kami menasihati Kak Murni untuk berjumpa dengan Jabatan Kerja Sosial Hospital untuk memohon bantuan kos pembedahan matanya itu.

Insya Allah, sama-sama kita doakan agar urusan rawatan mata Kak Murni dan pendapatan suaminya dipermudahkan. Semoga ada rezeki untuk mereka. Allahumma ameen.