Bantuan Salam: Rezeki Ramadan Lebih Indah

Oleh: Imran Abd Moin

Firman Allah S.W.T dalam Surah Saba’ ayat ke 39 yang bermaksud, “Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya”.

Alhamdulillah, MVM sentiasa berterima kasih kepada para penyumbang yang terdiri dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyumbang kepada tabung-tabung sumbangan yang dibuka.

Jelas dalam ayat Al-Quran di atas bahawa, Allah akan sentiasa melimpahkan rezeki yang lebih luas kepada orang yang bersedekah.

Sekali lagi, Allah menemukan kita semua dengan penghulu segala bulan, Ramadan Al-Mubarak. Bagi tahun 2019 bersamaan dengan 1440 tahun hijriah ini amat bermakna kepada kaum muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Salah satu yang dijanjikan oleh Allah adalah ganjaran pahala yang berlipat ganda. Maka di bulan yang mulia ini, sedekah merupakan salah satu ibadah yang menjanjikan ganjaran pahala dan rezeki yang meluas.

Bantuan Salam telah melangsungkan serahan bantuan kepada lima buah keluarga asnaf sepanjang bulan Ramadan ini. Ia berikutan daripada laporan dan lawatan yang telah dijalankan sebelum ini.

Umum mengetahui, segala sumbangan yang diserahkan kepada keluarga asnaf melalui bantuan Salam ini adalah hasil daripada rakyat Malaysia yang menyumbang. Keprihatinan mereka amatlah dihargai dan tidak terbalas jasa dan budi.

Semasa Serahan Barangan Asas Bayi Kepada Sarah

 

Anak Adalah Rezeki Yang Terbesar

Sumbangan barangan asas bayi kepada tiga keluarga asnaf iaitu keluarga Sarah dari Taman Maluri, Cheras, keluarga Meera Hussain dari Kampung Baru Hicom, Shah Alam dan keluarga Hamizawati dari Puchong. Ketiga-tiga keluarga ini mempunyai persamaan iaitu masing-masing mempunyai anak-anak yang masih kecil yang berumur sekitar tiga tahun hingga satu bulan.

Seperti Sarah yang membesarkan tiga orang anaknya secara bersendirian, dia meluahkan bahawa tidak termampu untuk membesarkan anak-anaknya dalam keadaan yang agak susah seperti sekarang. Dengan bantuan yang diberikan, dapatlah sedikit meringankan beban yang dipikulnya.

Bagi keluarga Hamizawati pula, rezeki terhadap anak bongsunya yang baru berumur dua bulan lebih itu sangat mencurah-curah.

“Anak ini memang rezeki Allah, dalam masa yang sama hati saya senang tengok mereka bahagia,” luah suami kepada Hamizawati, Zamani kepada kami.

Zamani Bersyukur Dengan Kehadiran Anak-Anak

 

Kesihatan Yang Baik Juga Merupakan Rezeki

Kisah mengenai dua orang lelaki yang hampir senasib, Ermy, 43 tahun dan Asyraf, 24 tahun yang mempunyai sanubari untuk terus berjuang dalam menjalani kehidupan.

Kedua-dua mereka adalah tunjang utama kepada keluarga, Ermy merupakan satu-satunya anak kepada mak dan ayahnya, manakala Asyraf pula abang sulung kepada tiga orang adiknya.

Sesungguhnya, serangan angin ahmar yang dihadapi oleh Ermy dan gout kronik yang menimpa Asyraf bukanlah suatu yang diinginkan oleh mereka berdua. Takdir hidup telah menentukan, namun Allah itu Maha Berkuasa. Ada hikmah disebaliknya yang mungkin masih belum ditunjukkan.

“Saya memang nak sihat, siapa yang tak nak. Nak jadi macam kawan-kawan yang lain, sihat,” luah Asyraf kepada kami semasa mengunjunginya.

Kedua-dua mereka telah diberikan sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakan seharian dan untuk kegunaan luar dari rumah.

Moga dengan rezeki yang dikongsikan oleh rakyat Malaysia melalui saluran daripada kami ini dapat dirasai oleh insan-insan tersebut. Harapan mereka untuk kembali sihat akan dikurniakan oleh Allah S.W.T satu hari nanti.

Asyraf Gembira Menerima Kerusi Roda dan Katil Baru

 

Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donationmvm.org/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Sumbangan anda amatlah dihargai oleh kami, semoga Allah membalas jasa.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.