Bantuan Salam: “Saya Kerja Jadi Drop Ship Barang Orang Je,” – Sarah

Oleh Adnin Razak : 19 April 2019

Oleh: Imran Abd Moin, Intern Unit Salam MVM.

Semasa kami sampai di kawasan ‘perumahan’ di Jalan Jejaka 7, Taman Maluri, ternyata keluarga ini menetap di sebuah bilik sewa tingkat atas lot rumah kedai.

Dengan bayaran sewa sebanyak RM 400 yang dibayarkan oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Perseketuan (MAIWP), ibu tunggal bernama Sarah ini membesarkan 2 orang anaknya yang masih berumur 4 dan 2 tahun.

Sarah juga sedang mengandungkan anak ketiganya yang dijangka akan dilahirkan sekitar bulan April tahun ini, insyaAllah.

Lebih menyedihkan, Sarah telah diceraikan suaminya pada Disember 2018 yang lepas. Sejak dari itu, dia memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya termasuk yang bakal dilahirkan tersebut.

Sarah juga sedang mengandungkan anak ketiganya yang dijangka akan dilahirkan sekitar bulan April tahun ini, insyaAllah.

 

BANYAK KEKANGAN

Bukan mudah untuk menjalani kehidupan seperti Sarah, walaupun usianya masih muda dan masih mempunyai kudrat yang sihat. Jika dia hendak bekerja, siapa hendak menjaga anak-anaknya? Mujur kakak kandungnya sudi membantu sedikit sebanyak urusan kehidupan Sarah sementara dia masih sarat mengandung.

Kalau nak ke mana-mana, Sarah hanya akan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan Grab. Selalunya Sarah akan ke hospital untuk rawatan susulan anak dalam kandungannya tersebut.

Suasana rumah Sarah yang kecil tapi membahagiakan dan ‘mencukupi’.

 

Lebih-lebih lagi dengan kondisi dia yang sedang sarat berbadan dua, pasti tidak terlalu kuat untuk melakukan pergerakan, apatah lagi untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Jika dia berkerah tenaga sekali pun, tiada siapa yang boleh menjaga anak-anaknya. Hendak hantar ke rumah pengasuh sudah semestinya memerlukan bayaran. Sayu hati kami melihat dua anak kecil dibesarkan tanpa kasih sayang seorang bapa.

BERHASARAT INGIN BERNIAGA

Sekarang, Sarah hanya mampu untuk menjadi agen kepada pembekal barang-barangan melalui media sosial. Aplikasi Whatsapp adalah medium utama dalam menggerakkan kerja penjualan.

“Setakat ini, buat drop ship barang orang je, kalau nak berniaga sendiri tidak ada modal,” jelasnya kepada kami.

Sarah menyatakan bahawa dia turut berniaga bekas plastic berjenama Tupperware  dengan menjual dalam kuantiti yang tidak terlalu banyak.

Pemandangan dari luar rumah sewa Sarah.

 

Ibu tunggal muda ini sangat berminat dalam bidang pemasaran dan perniagaan, tetapi faktor kehidupannya sedikit sebanyak menjadi penghalang untuk dia meluaskan kemahiran perniagaannya itu.

Baitulmal MAIWP juga turut membantu keluarga Sarah dengan bantuan sara hidup sebanyak RM 300 sebulan. Dengan wang tersebut, dapat lah meringankan beban Sarah untuk meneruskan kehidupannya yang mencabar.

Dapur rumah yang agak kosong tanpa bahan makanan yang banyak.

 

MASA DEPAN

Impian seorang ibu ialah untuk melihat anak-anaknya dibesarkan dengan penuh kasih sayang serta dilindungi dan dibahagiakan.

Kami juga berdoa agar Sarah dan anak-anaknya terus kuat dan bersabar dalam menempuh kehidupan mereka yang mencabar ini. Turut mendoakan semoga Sarah selamat melahirkan seorang cahaya mata yang sihat dan sempurna.

Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donation.mvm.org.my/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Segala sumbangan yang anda berikan, amat kami hargai.