Bantuan Salam: Tepi Rumah Ada Reban, Tepi Reban Ada Parit

Oleh Adnin Razak : 25 March 2019

 

Oleh: Imran Abd Moin, intern Unit Salam MVM

Perjalanan kali ini agak jauh, nun di Tanjung Karang sana. Sekitar 90 kilometer dari pejabat MVM di Puchong, mengambil masa kira-kira sejam lebih untuk tiba di sana.

Unit Salam MVM berkunjung ke rumah Puan Sarimah di Kampung Bagan Tengkorak 3, Tanjung Karang, Selangor.  Rumahnya berlatar belakangkan kebun kelapa sawit. Di sebelah kanan sekitar 5 meter jarak dari rumahnya ialah sebuah tanah perkuburan Islam dan sebelah kiri pula ialah sebuah parit kecil yang airnya tidak mengalir.

“Biawak ini selalu dah makcik nampak, naik turun dari parit itu biasa dah,” katanya dalam nada yang tenang.

Seekor biawak besar didapati merayau di kawasan belakang rumah berdekatan reban.

Itulah hakikatnya, rumah yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan menjadi tempat berteduh dan tempat beristirahat lima beranak ini.

Puan Sarimah turut membesarkan empat orang anak di bawah jagaannya yang masih bersekolah.

Katanya, pendidikan sangat penting kepada anak-anak supaya bila sudah dewasa mereka mampu untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Jelaslah bahawa walau hidup dalam kesusahan, biarlah ilmu terus diterap dalam diri.

Puan Sarimah sewaktu menceritakan kisah hidupnya kepada kami ketika temuramah.

 

BERAPALAH SANGAT

Puan Sarimah hanya bergantung pada pendapatannya dengan mengambil upah menyemak kualiti sarung jari getah dari kilang berdekatan kampungnya.

Menurut beliau, upah menyemak kualiti sarung getah tersebut hanyalah sekitar RM 15 sahaja untuk satu bungkus plastik besar. Tempohnya juga mengambil masa sekitar dua hari.

Kami pun hairan, bagaimana pihak pembekal sarung getah tersebut tergamak membayar upah kepada Puan Sarimah dalam kadar yang terlalu rendah.

Walaupun nilainya tidak seberapa, namun Puan Sarimah masih tidak lupa untuk mencatat laporan kewangan dalam buku rekod kerjanya.

Bayangkan dengan hanya pendapatan sebegitu, adakah cukup untuk beliau menyara hidup?

Dalam setiap satu karung besar terdapat enam bungkus sarung getah seperti dalam gambar, dan ianya mengambil masa dua hari untuk disemak keenam-enam bungkus semuanya. Upah yang diterimanya hanyalah serendah RM 15 satu karung, bersamaan RM 2.50 bagi setiap bungkus.

 

ANAK-ANAK KE MANA?

Mujur Puan Sarimah hanya perlu membesarkan 4 orang anak sahaja daripada 12 orang.

Ya, Puan Sarimah mempunyai 12 orang cahaya mata yang cukup sempurna setiap seorang.

8 orang anaknya yang lain ada yang sudah membawa haluan hidup sendiri dengan berdikari dan ada yang masih tinggal bersama dengan bekas suaminya.

“Makcik tak lah berharap sangat dekat mereka (anak-anaknya) ini, cuma bila pulang ke kampung itu hulur-hulur lah sedikit. Kenang jasa makcik sebagai ibu mereka,” luahnya lagi.

Jauh di sudut mata Puan Sarimah yang kelihatan berkaca sepanjang kami menyantuninya. Bagaimana perasaan seorang ibu tunggal ini tidak dapat kami gambarkan.

Puan Sarimah menunjukkan buku rekod kewangan yang digunakan setiap hari bagi mencatat kerja-kerjanya.

 

SAHABAT SEJATI PENEMAN SETIAP HARI

Percaya atau tidak, walaupun Puan Sarimah hidup susah, namun beliau tidak pernah lupa untuk berbakti kepada makhluk hidupan yang lain.

Di luar rumahnya terdapat tiga buah reban yang menempatkan tiga jenis haiwan peliharaannya iaitu arnab, burung merpati dan ayam.

Arnab-arnab ini dijaga dengan rapi makan minumnya setiap masa.

 

Menariknya, haiwan ini dijaga dengan cukup sempurna, malah mungkin ‘berkat’ hasil sentuhan Puan Sarimah, burung merpatinya itu sangat jinak dan tidak lari terbang apabila kami cuba memegangnya.

Sunyinya di hati terasa diubati apabila melayani karenah haiwan belaan kesayangannya itu, dan ini jelas membuktikan bahawa Puan Sarimah walaupun luarannya miskin harta, namun dalamannya kaya dengan jiwa dan kasih-sayang.

Inilah burung merpati belaannya yang sangat jinak itu.

 

HARAPAN

Puan Sarimah sebenarnya pernah mengambil tempahan menjahit pakaian satu masa dulu. Namun, sikap pelanggannya yang mengambil kesempatan atas kesempitannya dengan tidak membayar kos jahit, mengakibatkan Puan Sarimah ‘membungkus’ servisnya.

Terdetik juga di hati untuk menjahit kembali, namun apakan daya, wang di tangan ibarat hanya sempat untuk hidup hari ini sahaja.

Apa yang diharapkan agar suatu masa nanti anak-anak Puan Sarimah yang lain itu dapat menjaga ibu mereka seperti mana ibu menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh. Berilah kasih sayang dan kesenangan kepadanya.

Akan kami panjangkan doa Puan Sarimah, moga dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Insya Allah.

Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donation.mvm.org.my/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Segala sumbangan yang anda berikan, amat kami hargai.