Jangan Menangis Rohingya, Kami Peduli

Misi Anak Muda Peduli Rohingya Yang Menyayat Hati – Fasa 2

Sekiranya anda mengikuti perkembangan misi-misi bantuan anjuran Muslim Volunteer Malaysia, anda pasti sedia maklum bahawa kami telah pun menghantar bantuan sebanyak RM150,000 kepada pelarian Rohingya di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.  Antara bantuan yang diberikan adalah pembinaan khemah, bantuan makanan asas, bantuan kebersihan, bantuan pendidikan dan keceriaan dan bantuan umum yang lain.

Anda boleh membaca artikel perjalanan 5 orang sukarelawan ke Misi Bantuan Rohingya Fasa 1 disini : Misi Anak Muda Peduli Rohingya Yang Menyayat Hati – Fasa 1 

6 Jam Perjalanan Yang Mencabar Untuk Ke Kem Pelarian Rohingya, Cox’s Bazar.

Pada 19 – 24 Disember 2017 yang lalu, 5 orang wakil Muslim Volunteer Malaysia telah berangkat ke Cox’s Bazar, Bangladesh buat kali kedua. Kunjungan kali ini adalah bertujuan untuk pemantauan pembinaan khemah-khemah di kem pelarian Rohingya. Selain itu, kami juga berpeluang memberi sumbangan pek musim sejuk iaitu 500 helai selimut tebal untuk keluarga pelarian Rohingya ini.

Kali ini, perjalanan kami untuk ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar agak mencabar dimana kami terpaksa menaiki kapal terbang selama 1 jam dari Dhaka ke Chittagong dan menaiki bas selama 5 jam dari Chittagong ke Cox’s Bazar kerana kehabisan tiket kapal terbang. Walau bagaimanapun, ia satu pengalaman yang amat berharga kepada kami. Kami berpeluang melihat sendiri gaya hidup dan budaya penduduk Bangladesh di beberapa kawasan yang berlainan. Majoriti penduduk disini boleh dikategorikan sebagai mereka yang berpendapatan rendah dan kaum lelaki mendominasi setiap peluang pekerjaan disini.

Hidup Bagaikan Tiada Masa Depan.

Setelah hampir 6 jam perjalanan, kami selamat tiba di Cox’s Bazar kira-kira jam 11 malam waktu Bangladesh. Kami mengambil peluang untuk berehat dan mengumpul tenaga untuk misi pada keesokan hari. Tepat jam 8.30 pagi keesokkan harinya, kami bertolak dari tempat penginapan ke Kem Pelarian Rohingya di Balukhali. Ia ambil masa selama 1 jam dengan menaiki van. Kami juga telah diiringi oleh wakil NGO Bangladesh yang bertanggungjawab untuk membawa kami ke kem-kem pelarian Rohingya disini dan juga membantu menguruskan barangan bantuan yang akan diagihkan.

Kem-kem pelarian Rohingya di Balukhali ini amat luas dan ia sudah menjadi seperti perkampungan warga Rohingya disini. Mereka juga bercucuk tanam dan berjual-beli di kawasan ini untuk menyara keluarga selain mengharapkan bantuan-bantuan semasa daripada badan kerajaan dan NGO.

Apa yang menyedihkan, warga Rohingya ini tidak diberi peluang untuk bekerja di Bangladesh atas faktor-faktor tertentu. Oleh yang demikian, ramai antara mereka keluar ke negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia untuk bekerja atau menyelamatkan diri. Selain itu, warga Rohingya ini juga adalah rakyat yang dinafikan kerakyatannya oleh kerajaan Myanmar. Atas sebab demikian, majoriti daripada mereka tiada pengenalan diri. Hal ini menyukarkan lagi untuk mereka berpindah ke negara lain, mendapat peluang pekerjaan, dan kanak-kanak tidak berpeluang untuk belajar.

Hidup mereka bagaikan tiada masa hadapan. Mereka seolah-olah terperangkap di kem-kem pelarian ini sehingga satu masa yang tidak diketahui setelah diusir dan dianiaya kejam oleh kerajaan di tanah air sendiri.

4 KM Berjalan Kaki Mendaki Lereng-lereng Bukit Dan Hati Menjadi Sebak.

Setibanya kami di Kem Pelarian Rohingya di Balukhali, kami perlu menelusuri lereng-lereng bukit sejauh 4 KM untuk sampai ke tapak pembinaan khemah-khemah hasil sumbangan rakyat Malaysia. Kem Pelarian Rohingya di Balukhali ini dianggarkan terdapat lebih 800,000 pelarian yang menetap disini. Mereka membina khemah-khemah daripada batang buluh dan plastik hitam digunakan sebagai dinding dan atap. Selain daripada khemah-khemah sebagai rumah, terdapat juga khemah-khemah yang dijadikan kedai-kedai menjual makanan, barangan keperluan, kedai gunting rambut dan sebagainya.

Sepanjang perjalanan ini, hati kami berasa amat sebak sekali apabila melihat kedaifan pelarian Rohingya ini. Anak-anak kecil tidak berpakaian, hanya bermain di lereng-lereng bukit yang berbahaya, dan jauh ketinggalan dalam pelajaran. Selain itu, mereka juga dijangkiti penyakit kulit, kekurangan nutrisi dan penyakit berbahaya yang lain seperti diptheria. Hal ini disebabkan tahap kebersihan yang sangat teruk, pencemaran air dan sebagainya.

Golongan tua menunggu saat kematian, kanak-kanak terbiar dan tercicir daripada pelajaran, golongan wanita bagaikan terkurung dalam khemah sahaja. Hanya golongan lelaki yang berusaha untuk menyara keluarga dengan berniaga.

100 Khemah Sumbangan Rakyat Malaysia Kini Dalam Proses Pembinaan.

Akhirnya, kami selamat tiba di tapak pembinaan khemah di Kem Balukhali ini. Semasa ketibaan kami, baru 40 khemah daripada 100 buah khemah yang siap dibina sepenuhnya. Kami berpeluang untuk meninjau struktur dalaman dan luaran khemah tersebut.

Apa yang menyentuh hati kami apabila melihat keluarga-keluarga pelarian Rohingya ini telah meletak barangan keperluan mereka di tapak khemah masing-masing walaupun khemah masih belum dibina. Mereka tetap tinggal disitu dan menunggu khemah siap dibina sepenuhnya. Hal ini kerana, mereka sememangnya sudah tiada tempat berteduh lagi. Hanya tapak khemah itulah satu-satunya tempat yang mereka boleh duduki. Bayangkanlah, mereka makan, minum, tidur hanya beralaskan tanah, dan berdindingkan plastik hitam sahaja.

500 Helai Selimut Diagihkan Untuk Bantuan Musim Sejuk.

Pada waktu malam, suhu di kawasan bukit di kem-kem pelarian Rohingya ini mampu mencecah 2 darjah celsius ketika musim sejuk. Lawatan kami pada akhir tahun lepas adalah pada musim sejuk. Suhu pada waktu malam di bandar Cox’s Bazar mencecah 16 darjah dan ke bawah. Namun begitu, pada waktu siang suhu sekitar 27 darjah celsius.

Atas sebab ini, kami telah membawa bantuan berupa 500 helai selimut tebal untuk 500 keluarga di kem pelarian Rohingya ini. Jauh dilubuk hati kami untuk memberikan bantuan ini kepada lebih ramai keluarga disana tetapi ia hanya mencukupi buat 500 keluarga sahaja.

Melihat wajah mereka yang amat berharap dan merayu untuk mendapatkan bantuan sebegini, ia menguatkan lagi semangat kami untuk terus menganjurkan lebih banyak misi bantuan buat saudara Rohingya yang kesempitan ini. In sha Allah, kami akan terus berusaha dan berkhidmat untuk menjaga hak asasi kemanusiaan dalam dan juga luar negara. Doakan kami.

Misi Bantuan Ramadhan : Rohingya, Kami Peduli !

Pada 9 Mac 2018 yang lalu, kami telah melancarkan kempen Misi Bantuan Ramadhan : Rohingya, Kami Peduli. Ini merupakan kali pertama kami akan menghantar bantuan pada musim Ramadhan disana. Bantuan yang akan diberikan merupakan bantuan Iftar untuk 20,000 orang pelarian Rohingya.

Sekiranya anda ingin turut membantu berkongsi rezeki dengan 20,000 orang pelarian Rohingya pada bulan Ramadhan ini, anda bolehlah menghulurkan sumbangan ikhlas dengan hanya RM10 sahaja untuk 1 pek makanan untuk berbuka puasa.

Anda boleh membaca lebih lanjut info tentang sumbangan disini : https://donationmvm.org/donations/misi-bantuan-ramadhan-rohingya-kami-peduli/

Kami mohon doa dan sokongan anda semua agar selamat misi bantuan yang dijalankan berjalan dengan lancar dan diberkatiNya.

Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang cukup ambil peduli akan isu kemanusiaan saudara Rohingya ini dan sentiasa menyokong kempen-kempen bantuan anjuran MVM. Kami amat menghargai jasa baik anda semua.

Berikut kami kongsikan gambar-gambar Misi Bantuan Anak Muda Peduli Rohingya :

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.