BANTUAN SALAM: SI BENANG DI SEBALIK PINTU

Oleh Imran Abd Moin : 22 December 2018

 

 

SI BENANG DI SEBALIK PINTU

Oleh: Adnin Razak, Unit Salam MVM

Semasa dalam perjalanan menuju ke rumahnya, kami melalui ceruk jalan kampung yang agak bersimpang-siur. Biasanya kalau rumah taman perumahan dan flat, ianya lebih mudah untuk dicari kerana struktur lokasinya lebih tersusun. Taman perumahan hanya perlu alert nama lorong, manakala rumah flat pula perlu cakna nombor blok.

Tetapi bagi rumah lot atau lebih dikenali dengan istilah ‘rumah kampung’, ia tidak semudah itu. Kami perlu pastikan lorong yang kami lalu itu ialah lorong yang betul. Apatah lagi kebiasaannya alamat rumah kampung ini tidak terlalu spesifik. Alamat rumah asnaf yang kami tujui ini di pangkalnya hanya ‘Lot 17’. Agak jenuh juga mata kami melilau kiri dan kanan untuk mencari di mana rumah Lot 17 ini.

“Assalamualaikum kak, saya dah ada kat tepi jalan. Akak kata rumah akak dekat dengan kedai motor kan? Yang sebelah dia ada kedai tomyam kan?” aku menghubungi asnaf tersebut.

“Waalaikumussalam dik. Ye rumah akak memang dekat sangat dengan situ. Adik kat belah mana?” balasnya.

“Saya dalam kereta Persona warna biru gelap. Akak ada nampak tak? Saya pun tak nampak akak ni,” ujarku lagi ketika kami berhenti seketika di hadapan rumah orang lain yang berhampiran kedai motor.

“Oh akak tak nampak la adik. Akak ada kat tepi jalan ni,” katanya.

“Ok kak takpe. Rasanya dekat dah. Biar kami pergi ke akak. Saya cari akak jap,”

Lalu kereta Proton Persona warna biru milik Azizi (unit fund raising MVM) itu pun keluar semula dari perkarangan rumah tadi. Tidak sampai 10 meter, kami nampak akak tadi melambai ke arah kami. Rupanya rumah dia betul-betul berhadapan kedai tomyam, cuma agak terlindung di balik sebatang pokok rambutan yang rendang.

“Alhamdulillah, jumpa juga rumah akak. Maaflah kak, kami terlewat sikit. Dok pusing-pusing cari rumah ni. Hehe,” sapa kami sejurus sahaja turun dari kereta.

“Hehe. Takpa..jemputlah masuk dik,”

*****

Kak Azizah ialah salah seorang asnaf penerima bantuan Pure Heart MVM 2018. Apabila sebut sahaja ‘asnaf’, pasti terbayang dalam kepala; rumah uzur, kurang kelengkapan dan sebagainya. Dan apabila kami sampai sahaja di depan rumahnya, ternyata apa yang berlegar dalam kepala kami itu betul.

Sebuah rumah kampung jenis papan, keseluruhan dindingnya tidak bercat, dikelilingi dengan pokok dan sedikit semak-samun. Warna coklat dinding rumah yang kusam itu menambahkan lagi kesuraman suasananya. Di luar rumah terdapat banyak barangan-barangan lama seperti almari yang tidak digunakan lagi.

Kami dijemput untuk masuk ke dalam rumahnya. Masuk sahaja ruang tamu, mata kami bagai terpaku melihat keadaan dalam rumahnya. Kalau selama ini kita biasa melihat suasana rumah orang susah di kaca televisyen sahaja, kali ini kami berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri.

Dinding dalamnya banyak berlubang, zink berlubang, ada bahagian-bahagian bilik dipasang playwood sendiri, dan wiring lampu yang terhad. Ada satu bahagian tengah di antara bilik Kak Azizah dan bilik anak perempuannya, hanya tergantung satu lampu sahaja. Sungguh menghairankan, bila mana rumah yang disewa seperti ini sangat tidak terurus keadaannya, di manakah tuan rumah?

 

PENGENALAN KELUARGA

Suaminya, Sakri Mustafa, 45, berkhidmat sebagai pemandu lori yang mengangkut barangan aksesori kereta di Ampang. Pendapatannya tidaklah sebesar mana. Dalam bahasa mudah, “bolehlah” untuk menampung belanja keluarga setakat mana yang termampu.

Kak Azizah mempunyai enam orang cahaya mata. Shahrul Nizam, 22, bekerja sebagai driver lori secara sambilan dan on call. Ada job baru dia pergi. Anak kedua, Nur Fatin Asyikin, 20, pula bekerja sebagai pembantu stor di salah sebuah butik pakaian di Shah Alam.

Dua orang anak ini sahaja yang sudah bekerja. Menariknya, mereka tetap menghulurkan duit untuk mak ayah setiap bulan. Biarpun tak banyak, asalkan masih memberi. Walaupun bergaji rendah, mereka boleh survive untuk berbelanja. Tiada masalah besar setakat ini. Itulah namanya keberkatan.

Manakala empat lagi anaknya iaitu Nur Fatin Adilah, 18, penuntut di sebuah kolej di Bangi, Muhammad Saifuddin Haikal, 12, Muhammad Syahrin Hazim, 10 dan Muhammad Airil Aizat, 8 pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana.

 

MENCARI REZEKI DI BALIK BENANG

Walaupun Kak Azizah kini berkhidmat sebagai pembantu tadika yang berhampiran dengan rumahnya, Kak Azizah ada satu kemahiran yang sangat berpotensi untuk bantu mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Bukanlah menidakkan kadar kecukupan gaji yang diterima di tadika, akan tetapi kemahiran yang dimilikinya boleh menjadi asbab untuk dia berjaya.

Di sudut ruang tamu, ada banyak baju kurung yang tergantung. Rupanya Kak Azizah berkemahiran dalam menjahit pakaian. Daripada jubah, baju kurung moden, baju melayu cekak musang, seluar, cadar, hinggalah ke alas meja.

Menariknya, kemahiran menjahit ini mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Sejarahnya, masa zaman sekolah dulu, pada malam hari pertama nak sekolah. Kakak akak menjahit banyak baju. Dia agak sibuk. Akak rasa tak sempat kalau dia yang jahitkan terus baju akak. Jadi akak minta kakak potongkan kain, dan akak yang jahit sendiri, dia ajarkan. Start situlah akak pandai menjahit,” jelas Kak Azizah dengan nada ceria.

Benarlah kata orang. Kadangkala mencari ilmu dengan inisiatif sendiri; atau bahasa mudahnya berdikari, ianya baik untuk nilai tambah diri individu itu. Dan Kak Azizah telah membuktikannya, bahawa bermula dengan tangan kosong ialah asas untuk langkah seterusnya.

 

ADA CERITA DI SEBALIK PINTU

Dalam sehari, hanya sekali sahaja Kak Azizah masak, iaitu untuk makan tengahari. Kenapa sarapan tidak disediakan? Sudah jadi satu lumrah keluarganya, mereka amat jarang bersarapan. Manakala makanan tengahari itu pula boleh dimakan sekali lagi untuk makan malam. Jika lihat pada keadaan dan suasana, mungkin Kak Azizah berjimat cermat.

“Anak akak memang dah biasa tak makan pagi. Kalau akak buat air Milo pun, ‘senyum’ jelah air Milo tu kat atas meja tak berusik,” ujar Kak Azizah berseloroh.

Uniknya, walaupun rumah papan ini agak uzur, tapi rezeki Kak Azizah boleh dikatakan luas. Kebanyakan barangan dalam rumah tersebut adalah ihsan pemberian orang. Almari, sofa, rak buku dan sebagainya. Murahnya rezeki Kak Azizah sampai ada barang yang tak muat untuk diletakkan di dalam rumah.

Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, adakah Kak Azizah dibantu oleh keluarganya? Jawabnya, semua adik-beradik dan saudara-mara menetap di negeri kelahiran mereka, Kelantan. Begitu juga dengan keluarga suaminya. Maka, tinggallah Kak Azizah berseorangan di Selangor bersama suami dan anak-anak tercinta.

Menyentuh tentang kewangan, Kak Azizah ada satu pernyataan yang bagi kami, ianya memukau pemikiran kami seketika. Kata Kak Azizah,

“Sebenarnya gaji suami dan akak memang tak banyak. Tapi prinsip akak dan suami, kalau dapat je gaji, kami terus buat pembayaran komitmen-komitmen macam bil api, air, sewa rumah, yuran dan sebagainya. Kami tak berani tangguh. Yelah, kalau tangguh nanti nak cari duit kat mana pulak kan?”

Begitu rupanya prinsip kewangan mereka suami isteri. Walaupun tidak semewah orang lain, tapi tanggungjawab dan amanah ialah nombor satu dalam kepala mereka. Lebih-lebih ianya berkaitan dengan hutang.

“Susah-susah kami pun, setakat ni kami anak beranak tak pernah putus makanan ke, duit ke, takda. Duit kami walaupun sikit tapi cukup Alhamdulillah,”

Anak-anaknya yang masih bersekolah itu katanya lagi, mereka menaiki basikal sahaja dari rumah. Jarak dari Batu 13 ke SK Puchong Perdana kira-kira 1.5 km sahaja. Alah bisa tegal biasa. Kak Azizah juga menyatakan yang anak-anaknya sudah biasa dididik supaya berdikari sejak mereka kecil lagi.

Selain itu, Kak Azizah juga suka berkebajikan pada haiwan. Ketika kami sampai sahaja di rumahnya, kami disambut dengan semangkuk nasi yang digaul bersama ikan. Rupanya nasi tersebut Kak Azizah ‘wakafkan’ untuk kucing-kucing jalanan yang meraya di sekitar rumahnya. Buktinya, banyak kucing yang sedang lena tidur di dalam pasu, bakul motosikal, atas lantai dan lain-lain. Semuanya bahagia dalam kekenyangan. Semoga murah rezeki Kak Azizah.

 

ADA SESUATU YANG MENGHALANG

Sebenarnya, di sebalik keceriaan Kak Azizah bercerita kepada kami mengenai keadaan keluarganya, timbul riak resah di wajahnya. Kami cuba menangkap apa yang mahu diertikannya. Kami lihat sekeliling ruang tamu, dinding, dapur, bilik dan sebagainya, akhirnya anak mata kami terhenti di sudut dinding ruang tamunya.

“Itulah mesin jahit akak yang akak gunakan selama ni. Lama dah akak beli tu, dah 12 tahun guna,”

Kami cuba mengamati mesin tersebut. Nampaknya sudah terlalu uzur. Ada bahagian yang sudah rosak. Rupanya memang mesin jahitnya itu sudah lama rosak. Banyak kerjanya tergendala. Akibat kerosakan itu, ada kawannya sudi meminjamkan sebuah mesin jahit kepadanya. Mesin itulah yang digunakan sehingga kini.

“Itupun mesinnya taklah ok sangat. Ada juga masalahnya. Tapi akak dah takda pilihan kan, jadi guna jelah mesin tu. Jahit sikit-sikit. Disebabkan jahitannya kurang kemas, akak takda tetapkan harga. Biasanya ikut pada pelangganlah nak bayar berapa,” jelasnya dengan nada rendah diri.

Biasanya Kak Azizah mampu menyiapkan sebanyak tiga pasang baju dalam sehari, bergantung kepada masa dan situasi semasa. Nampaklah yang Kak Azizah ini rajin dan bijak gunakan kemampuan dirinya.

Selama ini pun, Kak Azizah hanya menerima tempahan daripada rakan terdekatnya sahaja. Beliau tidak berani membuka tempahan secara terbuka kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan atas sebab keadaan mesin jahitnya yang uzur.

 

BARANGKALI ADA REZEKI?

Ada sesuatau yang menarik mengenainya ialah selain boleh menjahit, Kak Azizah juga mahir membuat kuih raya seperti Almond London, tart nenas, tart blueberry, kacang dan sebagainya. Sudahlah pandai menjahit, buat kuih raya pun pandai. Itulah ciri-ciri asnaf yang kami cari.

Di hujung ziarah, kami menyatakan kepadanya bahawa Unit Salam MVM amat memuji tindakan mana-mana asnaf yang ada usaha untuk mengubah taraf hidup. Dan Kak Azizah sendiri adalah salah seorang yang kami maksudkan.

Melihat kepada kemahiran dan kemampuannya, ditambah lagi dengan keadaan keluarga dan rumahnya, kami berasa senang hati untuk membantu. Namun segala hasil temubual dan bancian yang kami jalankan ini perlu diberikan kepada pihak pengurusan dahulu.

Usai urusan kami, Kak Azizah menghadiahkan kami seikat rambutan yang dipetiknya dari pokok di depan rumah. Menurutnya, itu pokok yang ditanamnya sendiri. Lihat? Sudah memang namanya pemurah, kami datang ke rumahnya untuk membantu, sebaliknya kami pula yang dibantu.

Kami pun beredar meninggalkan perkarangan rumahnya dengan lambaian dan lafaz Assalamualaikum. Semoga kami berpeluang ‘berjumpa’ lagi dengan Kak Azizah akan datang.

Apakah ada rezeki untuk Kak Azizah menjadi salah seorang penerima Bantuan Salam kami nanti?