Bantuan Salam : Dulu Dibadai Api, Kini Dihimpit Mimpi.

Bantuan Salam : Dulu Dibadai Api, Kini Dihimpit Mimpi

BERAT. Itulah frasa ringkas yang cukup menggambarkan kepiluan hatinya dalam meneruskan kehidupan dari hari ke hari. Sejarah hitam semalam masih berabu dalam memorinya. Bara kesedihan lalu yang masih berasap kecil belum lagi terpadam, kini ditambah pula dengan saratnya beban di bahu yang dipikul mereka sekeluarga.

Rojina Abdul Ham, 40, merupakan salah seorang mangsa tragedi kebakaran tragis yang pernah berlaku di Likas, Kota Kinabalu, Sabah beberapa tahun lalu. Api yang begitu marak telah meranapkan sebahagian besar perumahan setinggan di situ termasuklah kediamannya sendiri. Akur pada kehendak takdir, beliau terpaksa membuat keputusan untuk berhijrah ke Semenanjung Malaysia bagi memulakan hidup baru.

Kehilangan tempat tinggal yang selama ini menjadi syurga dunia baginya, ditambah pula terpaksa berpisah dengan anak-anak atas nama takdir, itu adalah satu persoalan yang agak berat untuk beliau jawabkan; sejauh mana beliau mampu untuk cekalkan hati?

Perkenalan dengan suami kedua, Suhardi Bin Duli selepas penceraian dengan suami pertama membawa sinar dalam hidupnya. Ketika masih di Sabah, Suhardi terlebih dulu berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki bagi menyara mereka sekeluarga. Namun, tragedi kebakaran tersebut membuatkan mereka terpaksa mencatur semula jalan kehidupan.

Jika diturutkan kehendak hati, ibu mana yang sanggup berpisah dengan anaknya. Namun, keadaan kewangan yang agak menghimpit pada ketika itu membuatkan kelima-lima anak kandung hasil perkahwinan dengan suami pertama terpaksa ditinggalkan di rumah ibunya, manakala beliau (Rojina) mengambil keputusan merentas Laut Cina Selatan menuju ke Semenanjung Malaysia bersama tiga anak hasil perkahwinannya dengan Suhardi.

Memulakan kehidupan baharu bersama suami dan anak-anak tercinta di Damansara Damai adalah satu permulaan. Ketika itu, Suhardi bekerja di salah sebuah kilang percetakan di Kepong. Manakala beliau pula berniaga kepak ayam madu secara kecil-kecilan. Tiga anak mereka; Nur Atikah Maisara, 10 tahun dan Muhamad Shahri Ashraff, 9 tahun bersekolah di SK Damansara Damai 1 manakala Muhamad Daniel tinggal di rumah bersamanya.

 

Namun, keindahan itu tidak kekal lama. Pendapatan isi rumah pada ketika itu sekadar cukup-cukup makan. Akibat tunggakan bayaran sewa rumah yang makin menggunung, maka mereka dihalau oleh tuan rumah. Hasil bantuan daripada pihak tertentu, mereka berpeluang menyewa di rumah baharu yang terletak di Pangsapuri Kos Rendah Taman Alam Perdana, Puncak Alam dan membayar deposit rumah menggunakan sedikit wang simpanan Suhardi.

Sekali lagi, kehidupan mereka diuji. Suhardi menyambung pencarian rezeki dengan bekerja di sebuah kilang pembuatan pintu di Puncak Alam. Mereka langsung tiada kenderaan. Maka setiap pagi, Suhardi akan berjalan kaki selama setengah jam menuju ke kilang ditemani terik mentari dan keringat yang membasahi kepala. Pulangnya pada lewat petang, hanya akan disambut oleh silaunya fajar senja yang melabuhkan tirai di petang hari menanti malam yang bakal tiba. Penat, lenguh, tetapi demi keluarga, hidup mesti diteruskan.

Rojina pula meneruskan rutin hariannya sebagai suri rumah sepenuh masa. Tiada kerja sampingan, tiada duit belanja lebihan. Hendak kerja, tiada kenderaan pula. Kawasan bandar pula amat jauh dari rumahnya. Beliau buntu, bagaimana mahu merasai sedikit kesenangan di kala segala perbelanjaan isi rumah bergantung sepenuhnya dengan gaji suami yang sekadar cukup-cukup makan.

Namun, ada seperkara lagi yang lebih memilukan. Ketika Unit Salam MVM datang melawat ke rumah beliau pada sekitar 11 pagi, biasanya waktu ini kanak-kanak sedang seronok belajar di sekolah, ataupun bermain kejar-kejar dengan kawan di dalam kelas. Namun, semua itu tidak berpeluang dirasai oleh Nur Atikah, Muhamad Shahri Ashraff dan Muhamad Daniel. Atas kesempitan kewangan, ditambah pula dengan ketiadaan kenderaan, mereka bertiga terpaksa berhenti sekolah dan tinggal di rumah bersama ibu.

Pada awal perpindahan mereka di situ, Rojina pernah cuba menghubungi beberapa syarikat pengangkutan pelajar (van) bagi membawa anak-anaknya ke sekolah, namun usahanya gagal. Berikutan lokasi rumahnya yang begitu jauh ke dalam, agak terasing dari kawasan umum, ditambah pula dengan keadaan jalan raya yang tidak begitu baik, boleh dikatakan semua syarikat van sekolah itu memberi pelbagai alasan. Beliau sendiri hairan kenapa alasan sebegitu yang digunakan.

Kecewa. Hampa. Segalanya terukir jelas melalui setiap patah kata yang keluar dari bibirnya. Unit Salam MVM turut bertanya; pernahkah beliau bercadang untuk melakukan sesuatu bagi mengubah taraf hidup keluarganya? Beliau menjawab,

“Makcik kalau boleh nak berniaga air balang pun jadilah. Jual kat tepi jalan. Sini ramai orang-orang kerja kilang. Mesti ramai yang akan beli,”

Tersentuh hati mendengarnya. Syukur Alhamdulillah beliau sudah terfikir jalan untuk menambah pendapatan keluarga, sekaligus boleh meringankan beban suaminya.

Cuma satu perkara yang bermain di fikirannya; kenderaan. Katanya, jika mereka ada kenderaan, walaupun sekadar sebuah motosikal biasa, Insya Allah akan lebih banyak beban yang boleh diselesaikan. Beliau boleh mengikuti suaminya kerja di tempat yang sama sebagai cleaner, dalam masa yang sama mereka turut boleh menghantar kembali anak-anak ke sekolah. Setidak-tidaknya, ilmu dan pembelajaran mereka akan kembali ‘hidup’ setelah sekian lama ‘membeku’.

Namun di akhir perbualan, ada satu ayat yang menjadi klimaks bagi temubual ini;

“Makcik rindu anak-anak makcik di Sabah,”

Pantas air matanya mengalir ke pipi seusai beliau memperkatakan luahan tadi. Jelas di raut wajah sayunya, beliau amat merindui kelima-lima anaknya yang terpaksa ditinggalkan di Sabah beberapa tahun lalu. Saat mereka berpisah, saat itulah kali terakhir mata mereka bertemu. Naluri kerinduan seorang ibu sepertinya seakan sudah tidak boleh dibendung lagi biarpun jarak antara mereka dipisahkan oleh lautan luas.

Begitulah kisah kehidupan Puan Rojina, seorang ibu yang amat merindui anak-anaknya, dalam masa yang sama sudah ada niat dan perancangan untuk membina kehidupan baharu yang lebih baik. Walaupun sekadar berniaga air balang, mungkin di situ ada seribu keberkatan yang tersirat. Namun tidak kurang juga, jika berpeluang untuk merasai kenikmatan rezeki yang lebih tinggi, mereka boleh membeli sebuah motosikal untuk kegunaan sekeluarga, malah manfaatnya jauh lebih besar berbanding jualan air balang itu sendiri.

Maka dengan itu, Unit Salam MVM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar teruskan memberi sumbangan kepada Puan Rojina, bersama-sama kita membantu mereka yang amat memerlukan, dan boleh keluar daripada kesempitan hidup, menuju ke fasa kehidupan yang lebih cerah satu hari nanti.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.