Hospital Medan Malaysia Di Cox’s Bazar, Bangladesh Tamat Operasi, Terima Kasih Malaysia!

Oleh Adnin : 26 October 2020

HOSPITAL Medan Malaysia (HMM) yang beroperasi di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh sejak November 2017 lalu sudah ditamatkan operasi.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan berkata, ia berikutan mahu menfokuskan bantuan untuk negara dalam menghadapi wabak COVID-19 kini.

“Kepulangan petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke tanah air membolehkan pengoperasian penuh Hospital Angkatan Tentera (HAT) di seluruh negara.

“Pada masa yang sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula,” kata kenyataan tersebut, baru-baru ini.

Difahamkan, penamatan operasi itu dijalankan lebih awal iaitu tahun ini berbanding mandat operasi asalnya yang dijadualkan sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Dalam pada itu, penubuhan hospital tersebut telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar operasi itu tidak menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Bangladesh serta imej negara.

“Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia amat prihatin dengan krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan dalam mengetengahkan isu Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa.

“(Ia) termasuklah melalui platform dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Hospital pilihan pelarian & diiktiraf terbaik oleh WHO

Mengimbas kembali, HMM di kem tersebut dibina bertujuan sebagai misi bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya yang terjejas akibat konflik di Rakhine, Myanmar.

Pengoperasiannya dijalankan secara bergiliran dengan kekuatan 56 petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 pegawai ATM termasuk lapan pakar perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta enam jururawat awam.

Difahamkan, sebanyak lima pasukan perubatan telah dihantar ATM untuk bertugas di hospital berkenaan setakat Mac tahun ini.

Walaupun terletak di luar lokasi kem, HMM tetap menjadi tumpuan pelarian kerana ia adalah satu-satunya hospital medan yang menyediakan perkhidmatan (kesihatan) Tahap 3 ketika itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, X-ray dan rawatan-rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Kemampuan HMM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan sebegitu telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap 3 yang terbaik, terlengkap serta paling dipercayai selain turut menjadi hospital rujukan di daerah berkenaan.

Meskipun diiktiraf, bagaimanapun mereka di sana tidak dapat lari daripada ancaman sama ada berhadapan dengan wabak mahupun keganasan awam.

Sepanjang tempoh pengoperasiannya, petugas perubatan terdedah kepada risiko kesihatan dan keselamatan seperti penularan wabak COVID-19 dan ancaman penyakit berjangkit lain seperti hepatitis, malaria dan batuk kering serta peningkatan kes jenayah melibatkan penduduk tempatan dan pelarian Rohingnya.

Trend pesakit menurun bukti kejayaan HMM beri khidmat perubatan cemerlang

Seramai 108,038 pesakit daripada kalangan pelarian Rohingya telah menerima rawatan di HMM sepanjang November 2017 sehingga Mac 2020.

Dalam pada itu, lebih 3,500 pembedahan turut berjaya dijalankan termasuk kira-kira 900 pembedahan berisiko tinggi.

Untuk rekod, jumlah bulanan pesakit tertinggi yang pernah dicatatkan ialah pada November 2018 dengan 8,763 orang sebulan.

Bagaimanapun, statistik trend kehadiran pesakit bulanan didapati menurun apabila hanya 1,690 orang sahaja yang dirawat pada Februari 2020.

Difahamkan, trend penurunan bilangan kes dan kehadiran pesakit tersebut adalah berikutan keadaan di kawasan kem yang semakin stabil.

Dalam masa sama, tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik ekoran pesakit-pesakit penyakit kronik telah diberi rawatan sewajarnya, selain beberapa prosedur pembedahan turut berjaya dilaksanakan.

Selain HMM dari Malaysia, terdapat pertambahan enam lagi hospital medan di dalam kawasan Cox’s Bazar yang dikendalikan oleh kerajaan Turki serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain seperti Medecines Sans Frontieres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship.

Ekoran wujudnya pertambahan fasiliti perubatan ini, ia secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya serta penduduk tempatan.

Dalam masa sama, ia juga mengurangkan kebergantungan mereka kepada HMM yang terletak di luar kem pelarian tersebut.

Wira negara pulang ke tanah air, sambung bakti di medan perang wabak

Keputusan kerajaan dalam ‘membawa pulang’ HMM ke negara pada musim pandemik ini adalah satu keputusan yang tepat.

Hari ini, kes jangkitan COVID-19 masih lagi belum menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir.

Seperti yang kita maklum, pelbagai agensi keselamatan kerajaan dikerahkan bagi membantu negara menangani penularan wabak yang semakin mengganas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pelbagai lagi bersedia ‘bertempur’ di medan perang wabak ini.

Jika sebelum ini ATM berbakti di Cox’s Bazar, hari ini mereka telah pun menyambung kembali perjuangan di tanah air sendiri dengan membuka sebuah hospital medan di Tawau, Sabah.

Semoga perjuangan mereka menghadapi gelombang wabak pada kali ini menemui kemenangan.

Terima kasih ATM atas jasa di Cox’s Bazar. Terima kasih juga atas bakti untuk kekal tidak berganjak di medan perang, membantu tanah air untuk terus berjuang hingga ke saat akhir.

 

Sumber rujukan: Kementerian Pertahanan Malaysia