Jaga Hati Suami, Tuhan Jaga Rezeki Kita

Oleh Ros Atiqah Fatin Abdullah : 27 July 2017

Jaga Hati Suami, Tuhan Jaga Rezeki Kita – Puan Dila Mubarak (CEO Mamadil Slim & Beauty)

Kedatangan kami 4 jejaka disambut mesra oleh kakitangan Mamadil Slim & Beauty Sdn Bhd. Rona ungu yang melatari hampir setiap bahagian pejabat urusan dan ditambah pula dengan senyuman manis kakitangannya menghilangkan penat lelah perjalanan kami dari Kuala Lumpur.

Kami dibawa masuk ke ruang pejabat Puan Dila Mubarak dan diminta untuk menunggu sebentar kerana Puan Dila masih lagi dalam perjalanan. Mata saya sempat mengitari setiap sudut pejabat tersebut yang dihiasi dengan keratan-keratan akhbar kisah kejayaan Mamadil dan juga buku-buku mengenai perniagaan yang tersusun rapi di almari kayu. Belum sempat merasa puas menunggu, sosok insan yang dinantikan muncul dengan senyuman di sebalik pintu kaca pejabat itu.

“Assalamualaikum, maaf ye lambat sikit sampai.” Lafaz salam dan senyuman serentak menghiasi bibir PuanDila Mubarak.

Sebelum Mamadil

“Siapa Puan Dila sebelum Mamadil?”

“Saya suri rumah saja, tak ada siapa pun kenal. Saya nak keluar rumah pun takut. Kalau nak keluar rumah mesti ada orang teman. Kalau dia tak ada saya takakan pergi mana-mana.” Sambil hujung mata menunjuk ke arah suaminya, Tuan Azwan yang sedang tekun membuat kerja-kerja di laptop.

Selepas tamat SPM, Puan Dila mengambil keputusan untuk berkahwin. Bila ditanya adakah selepas kahwin Puan Dila pernah bekerja? Pernah katanya. Beliau mengambil keputusan untuk bekerja pada masa itu adalah untuk membantu suaminya menyara kehidupan dan dua orang anak kecilnya. Niatnya hanya satu iaitu untuk meringankan beban suami dek kehidupan yang agak menghimpit. Tetapi beliau hanya bekerja satu hari sahaja sebelum mengambil keputusan untuk berhenti.

“Sebelum memulakan kerja saya dijanjikan untuk berada di posisi lain, tetapi bila dah start kerja saya diletakkan dibahagian lain yang saya tak setuju. Dan untuk saya diletakkan semula ke bahagian yang dijanjikan, majikan memberi syarat. Syaratnya saya kena bagi gambar yang cun-cun kat dia.” Cerita Puan Dila yang merasakan ketika itu dirinya dikhianati dan dipergunakan.

“Selepas daripada peristiwa itu saya kata pada diri sendiri yang saya akan buktikan rezeki saya akan bertambah-tambah. Dan saya nampak sekarang ni Allah ganti balik dan kabulkan doa saya tu.” Akui Puan Dila yang selepas kejadian itu beliau tidak berani untuk meminta kerja di mana-mana tempat.

Pendek kata Puan Dila adalah seorang suri rumah yang biasa-biasa sahaja sebelum bergelar seorang CEO kepada sebuah syarikat kecantikan dan kesihatan. Suri rumah yang tugasnya menjaga anak-anak kecil dan tidak ada pendapatan sendiri. Namun secara jujurnya beliau mengakui agak sedih dengan keadaan dirinya dan keluarga ketika itu. Hidup dalam belenggu ketidakcukupan wang ringgit ditambah pula dengan tekanan hutang yang perlu dibayar. Detik hatinya sampai bila mereka harus hidup begini. Hari-hari yang berlalu terasa sukar. Memikirkn keadaan itu beliau harus bangkit dan membantu suaminya menyara kehidupan. Tekad hatinya.

Berjualan Kain Pasang

Selepas 7 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa seperti isteri-isteri yang lain, Allah memberi satu detikan di hatinya untuk berniaga. Ditambah pula ketika itu ramai yang berjualan di Facebook mendorong Puan Dila untuk berbuat hal yang sama. Mencuba nasib.

“Masa tu ramai yang jual kain pasang di Facebook, saya pun try la jual juga kain pasang.” Ketika itu Puan Dila Mubarak hanya menggunakan medium Facebook untuk menghilangkan kebosanan dan mengisi masa terluang.

Untuk mulakan perniagaan kain pasang itu, beliau meminjam RM1000 dari abangnya. Semua itu tidak mudah untuk dilakukan dek kerana kurangnya pendedahan tentang ilmu perniagaan apatah lagi sebelum ini beliau tidak terdedah sangat kepada dunia-dunia luar.

“Abang saya tanya nak buat apa dengan duit RM1000 tu, saya cakaplah nak berniaga kain pasang. Mungkin dia kesiankan saya time tu, dia pun bagi pinjam.” Imbau Puan Dila Mubarak yang ketika itu tidak pasti samada boleh bayar balik atau tidak RM1000 kepada abangnya.

Namun berniaga kain pasang tidak semudah yang beliau harapkan. Pernigaan kain pasangnya gagal.

“Saya tengok ramai peniaga di Facebook menerima komen dan respon dari pelanggan. Tapi bila saya try buat tak jadi.” Ketika itu berapa helai kain pasang saja yang terjual dan selebihnya terpaksa beliau simpan begitu saja.

Antara sebab mengapa penjualan kain pasang tidak membuahkan hasil adalah kerana ia bersangkut paut dengan minat. Mengakui minat beliau bukan kepada menjual kain pasang. Jadi apabila perniagaan kain pasang tidak menjadi, Puan Dila Mubarak tidak ada ghairah untuk meneruskannya lagi.

Pohon Dhuha Yang Berbuah

“Mak saya pesan kalau nak keluar dari semua masalah ni, kena rajin buat Dhuha. Dari situlah saya amalkan. Dari sebelum saya jual kain pasang lagi. Masa saya buat tu, saya tak harap pun esoknya Tuhan balas macam mana. Tapi kalau tak buat Dhuha saya rasa ada sesuatu yang tertinggal.”

Kongsi Puan Dila Mubarak yang dapat merasakan kehebatan amalan solat Dhuha ini dengan tidak mengharap pun rezeki yang bagaimana akan dikurniakan Tuhan. Kerana beliau percaya saat kita tidak mengharapkan apa-apa, saat itulah Allah anugerahkan semuanya.

Namun Allah itu Maha Adil. Lambat laun apa yang kita lakukan dengan ikhlas dan penuh pengharapan akan dijawab oleh-Nya.

“Sekarang ni baru saya dapat rasa. Apa yang saya lakukan 4,5 tahun lalu, rasa macam Allah balas hari ini imbuhannya. Dalam hati hanya mampu sebut ‘Ya Allah’ bila saya teringatkan tentang perkara ini.”

“Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kemiskinan, serta tidak ada yang memelihara solat Dhuha kecuali orang yang bertaubat.”

( Hadis Riwayat Tirmidzi )

Redha Suami Murahkan Rezeki

“Semua ini ada juga kaitan dengan bagaimana menghormati suami. Zaman tak ada kerja saya tak pernah berbalah pasal duit. Walaupun saya tengok dia termenung, saya tak ada nak bertelagah bagi dia stress.”

Semuanya seakan terimbas kembali di minda dan terdetik kembali di hati Puan Dila Mubarak saat beliau menceritakannya. Baginya mungkin Tuhan menguji suaminya adalah untuk menguji juga kesabaran hatinya. Itulah saat yang paling berharga baginya dan suami apabila masing-masing mampu berlapang dada dengan ujian yang melanda. Sebagai isteri, menjadi tanggungjawab baginya untuk mendamaikan hati suami yang tidak tahu geloranya bagaimana ketika itu. Itulah punca kebahagiaan apabila suami tidak menyimpan rasa terkilan dan terasa hati terhadap isteri.

Puan Dila Mubarak selalu ingatkan followersnya di Facebook jangan kerana duit isteri bergaduh dengan suami. Jaga hati suami nanti Tuhan jaga rezeki isteri. Beliau juga selalu ‘pesan’ pada suaminya andai ada terasa hati atau terkilan, cepat-cepat memberitahunya. Jangan disimpan di dalam hati. Jangan sesekali. Walaupun beliau adalah CEO syarikat namun jawatan itu tidak pernah meletakkan darjat suaminya di bawah pangkatnya. Tidak sesekali.

“Suami saya selalu cakap yang dia tak pernah terasa apa-apa. Tak pernah nak simpan dalam hati. Sebab dia tak nak perkara itu menjadi hijab untuk saya terus berjaya.”

Soal menjaga hati suami ini memang saya merasakan ramai yang terlepas pandang. Redha seorang suami itu lebih penting dari segala wang ringgit yang sifatnya hanya sementara. Teringat saya sepotong hadis tentang redha suami itu adalah kunci bagi isteri untuk menjadi penghuni syurga.

“Mana-mana wanita yang mati sedangkan suaminya redha/suka kepadanya, pasti ia masuk syurga.”

( Hadis Riwayat At-Tirmizi )

Sedekah Hari Ini Esok Tuhan Tambah Lagi

Sedekah bagi Puan Dila Mubarak tidaklah diukur pada berapa banyak yang kita hulurkan. Tetapi berapa ikhlas yang kita laburkan. Sedekah mengikut kemampuan diri sendiri dan jangan mengikut kapasiti orang lain. Kerana bimbang apabila perasaan ‘terpaksa’ bersedekah itu wujud, maka sia-sia saja pahala yang diharapkan.

Berkongsi serba sedikit keajaiban sedekah yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu ketika bersama Beauty Sara. Ketika itu beliau mahu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sebuah seminar perniagaan. Apa yang beliau buat terlebih dahulu adalah bukannya berbelanja barang-barang yang mahu dibawa tetapi beliau memberi keutamaan kepada ibu bapa dan adik beradik. Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk menuntut ilmu, beliau ringankan tangan memberi seratus dua kepada ibu bapa dan adik beradik.

“Walaupun dulu sale taklah banyak macam sekarang, tapi sebelum saya pergi seminar tu saya bagi ayah RM200, mak RM200 dan bagi pada adik bongsu saya RM200. Masa dalam kelas tengah belajar tu kan, order banyak masuk kat Whatsapp sampai tak sempat saya nak balas semuanya.”

Peristiwa tersebut membuatkan beliau termenung panjang dan berfikir semua ini datang adakah sebab sedekah yang beliau berikan pada ibu ayah dan adiknya. Lalu membuatkan beliau sangat percaya redha dan doa dari ibu memudahkan dan memurahkan perjalanan mencari ilmu dan mencari rezeki.

Minta Dengan Allah

Sebelum Puan Dila Mubarak mengakhiri ceritanya, beliau sempat berpesan kepada saya dan sahabat yang lain bahawa apa yang kita lakukan haruslah kembali kepada Allah. Sejauh mana kita keluar mencari ilmu dan formula-formula, kalau Allah tidak mahu anugerahkan kejayaan, maka kejayaan itu tidak akan datang. Maka sebelum kita meminta dengan orang lain, minta dulu dengan Allah. Perkemaskan dulu hal-hal yang asas. Iaitu hubungan kita dengan Allah.

 “Dan apabila bamba-bamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

(Q.S. Al-Baqarah : 186).

Sebelum segala tindakan yang diambil dan percaturan yang dibentangkan pada kertas perancangan, jangan lupa untuk berserah pada Allah kerana di situlah sebenarnya kunci kejayaan. Allah pemilik segala rezeki. Maka selayaknya kita mendapatkan pemiliknya terdahulu sebelum yang lain.

Sedekahlah kerana sedekah itu ohsem!

Pre-Order Buku Ohsemnya Sedekah

Kisah penuh kejayaan Dila Mubarak dalam membangunkan empayarnya boleh anda baca di dalam buku Ohsemnya Sedekah. Buku ini menceritakan kisah jatuh bangun 6 orang usahawan berjaya di Malaysia. Yang paling penting adalah bagaimana konsep sedekah membantu mereka untuk berjaya. Jangan lupa untuk dapatkannya. Pre Order dibuka! Sebarang tempahan boleh terus menghubungi wakil MVM di 013 834 3012 / 012 235 6854