Daftar/Log Masuk Volunteer MVM »

Kenyataan Media Misi Kemanusiaan Rohingya


Kemaskini pada Oct 2, 2017 : Hebahan Media & Umum 131 Views

Kenyataan Media Misi Kemanusiaan Rohingya

Berikutan tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar pada masa ini, kami dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakkan kerajaan Myanmar yang membiarkan pihak tentera terus membunuh dan menzalimi masyarakat Rohingya dengan kejam tanpa mengambil sebarang tindakan.

Tindakan yang seumpama ini adalah satu kekejaman yang tidak boleh dipandang enteng dan didiamkan sahaja oleh setiap individu yang bernama manusia.

Selain itu, kami juga merakamkan perasaan kecewa dan sedih terhadap tanggapan dan cemuhan yang dilemparkan segelintir rakyat Malaysia kepada warga Rohingya yang ada lalu menyebabkan kebencian yang semakin menebal dan salah faham terhadap mereka (Rohingya) semakin meninggi. Kami beranggapan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini berhujah dengan kejahilan ilmu dan kekurangan maklumat ekoran tragedi yang berlaku semasa perhimpunan aman menghantar memorandum ke kedutaan Myanmar pada 30/8/2017 (selepas solat Jumaat) yang lepas.

Sehubungan itu, kami di MVM menyarankan kepada semua pihak terutama rakan-rakan NGO untuk bersama-sama turun ke lapangan demi memberi kesedaran serta maklumat berupa sejarah dan fakta kapada rakyat Malaysia.

Selain itu, kami di MVM juga sangat menyarankan rakan-rakan NGO supaya kerap turun memberikan pendidikkan dan pendedahan kepada masyarakat Rohingya yang ada di Malaysia bagaimana untuk menjalani kehidupan di Malaysia dalam mengamalkan undang-undang negara sedia ada, memberi pendidikan dalam perancangan keluarga yang sepatutnya serta pendidikan dalam ilmu kebersihan selain memberi bantuan berupa kewangan dan makanan seperti kebiasaannya.

Kami mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan NGO yang secara berterusan mengumpul dana demi masyarakat Rohingya dan mengharapkan serta menggalakkan usaha ini terus dilakukkan dengan lebih aktif seperti mana yang dilakukkan untuk negara-negara bergolak yang lain.

Kami di MVM menekankan bahawa ini adalah suara keprihatinan kami dan sudut pandang dari sudut kemanusiaan terhadap kesempitan serta kesengsaraan masyarakat dunia. Keprihatinan ini tidak akan sedikit pun menganggu tugas kami membantu masyarakat yang memerlukan di dalam Malaysia ini sendiri. Ia dibuktikan dalam pencapaian kami dalam melaksanakan sebanyak 33 program pada tahun 2016 dimana 32 program bantuan dianjurkan di dalam Malaysia dan 1 bantuan di luar negara.Pada tahun 2017 pula sebanyak 55 program yang akan dianjurkan dimana 49 program di Malaysia dan 6 di luar Malaysia

Kesimpulannya, kami di Muslim Volunteer Malaysia menekankan di sini bahawa isu ini bukanlah sahaja isu pembersihan etnik malah ini ialah pembunuhan etnik yang dilakukan secara sistematik. Dalam menghadapi isu seperti ini, kita sebagai seorang Muslim juga perlu menangani perkara ini dari pelbagai sudut dan bukan hanya berdasarkan emosi semata-mata. Kami di MVM sedia dan berjanji akan menggunakan segala kepakaran yang ada untuk membantu rakan-rakan NGO yang lain.

Harapan kami dalam isu ini adalah mendapatkan kerjasama dari setiap pihak iaitu rakan-rakan NGO, individu, pihak berwajib dan sebagainya untuk sama-sama berganding bahu dalam membantu etnik Rohingya yang tertindas ini. Jika Misi Bantuan Musim Sejuk di Syria yang mendapat bantuan sebanyak RM100 ribu, Unity Convoy Ambulances for Syria RM200 ribu dan Bantuan Ramadhan Syria RM300 ribu boleh dicapai dalam tempoh kurang 2 minggu, tiada alasan untuk tidak membantu dalam kempen untuk Misi Kemanusiaan Rohingya ini.

Muhammad bin Jantan,
Presiden
Muslim Volunteer Malaysia – MVM


Tinggalkan Komen Anda

MVM di Facebook

MVM di Twitter

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian