Pandemik VS Banjir, Apa Yang Anda Kena Tahu Tentang Sudan

Oleh Adnin : 28 September 2020

KETIKA dunia sedang berperang dengan pandemik COVID-19, lain pula kisah yang berlaku di sebuah negara di timur laut benua Afrika ini.

Sudan yang berada pada kedudukan negara ke-15 jangkitan COVID-19 tertinggi di Afrika mencatatkan lebih 13,000 kes dan 830 kematian setakat ini.

Belum pun menang dalam ‘peperangan’ pandemik, kini negara itu berdepan dengan mimpi buruk pula apabila 16 negeri dilaporkan ‘lemas’ ditenggelami banjir besar sejak Julai lalu.

Gambar: El Tayyib Siddig, REUTERS/Aljazeera

Hujan lebat yang berpanjangan selama dua bulan ini mengakibatkan nadi kehidupan negara, Sungai Nil telah meningkat parasnya sehingga mencapai kira-kira 17.5 meter, sebelum melimpahi segenap besar wilayah penduduk berdekatan.

Dianggarkan kira-kira 100 nyawa telah terkorban, 46 lagi cedera, lebih 650,000 mangsa turut terjejas selain hampir 10,000 rumah dilaporkan musnah akibat bencana alam tersebut.

Sehubungan itu, Majlis Keselamatan dan Pertahanan yang diketuai Jeneral Abdel-Fattah Burhan mengisytiharakan Sudan di bawah perintah darurat selama tiga bulan.

Tertinggi dalam sejarah

Menteri Pengairan dan Sumber Air, Prof. Yasser Abbas berkata, paras ketinggian air sungai yang dicatatkan setakat ini adalah paling tertinggi dalam sejarah.

Ia sekaligus telah memecahkan rekod fenomena banjir besar terdahulu yang berlaku pada 1946 dan 1988, di mana ketika itu lebih 10,000 rumah dan satu juta penduduk terjejas.

Gambar: Marwan Ali AP Photo/Aljazeera

“Ini bukan kali pertama (sungai) Nil melimpah, malah rata-rata mereka (mangsa) yang terjejas berkata bahawa inilah (banjir) yang paling teruk mereka hadapi.

“Sekurang-kurangnya setengah juta penduduk telah terjejas dan dipindahkan berikutan kenaikan paras air Sungai Nil tersebut,” kata wartawan Aljazeera, Hiba Morgan yang melaporkan dari ibu negara, Khartoum baru-baru ini.

Tiada tanda reda, mungkin berterusan beberapa minggu lagi

Jawatankuasa khas kerajaan yang ditubuhkan sebagai unit tindakan telah memberi amaran bahawa bencana alam itu dijangka akan bertambah buruk dalam masa beberapa minggu lagi.

Ia berikutan selagi mana cuaca hujan diramal akan berterusan sehingga ke penghujung September ini.

Tambahan pula paras air sungai yang dicatatkan sudah mencapai ketinggian 17.5 meter, ianya bukan sesuatu yang normal.

Perubahan iklim

Sementara itu, sebilangan pakar berpendapat bahawa bencana banjir besar yang berlaku ini sebenarnya adalah akibat perubahan iklim.

“Hujan biasanya turun pada waktu tertentu.

Gambar: Marwan Ali AP Photo/Aljazeera

“Tetapi pada tahun ini, kita melihat paras air hujan didapati meningkat kerana perubahan iklim, jadi Sungai Nil telah melimpah (banjir) berbanding sebelumnya.

“Tambahan pula, banyak pokok telah ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan perumahan di kawasan berdekatan Sungai Nil,” kata pakar perubahan iklim, Marwa Taha.

“Kami hilang segalanya”

Seorang ibu kepada empat zuriat, Amna Ahmed meluahkan, dirinya terasa bagai sudah hilang segala-galanya.

“Kami hilang segalanya. Kami hilang tempat tinggal, perabot dan pakaian, malah kami sendiri hampir hilang kehidupan,” katanya.

Walaupun kehilangan banyak harta, namun baginya, dia tetap bersyukur kerana masih lagi bernyawa.

Gambar: Marwan Ali AP Photo/Aljazeera

Sementara itu, salah seorang penduduk di wilayah Um Dom, Omar Ahmed berkata, paras ketinggian banjir kali ini luar daripada jangkaannya.

“Jumlah air tidak dapat dibayangkan. Saya tidak menjangka air banjir ini sampai ke rumah saya.

“Ianya sudah sampai dulu di rumah sebelum saya, rumah saya dan rumah selepas saya. Di sekeliling ini, lebih 40 rumah telah musnah ditenggelami banjir,” katanya kepada pemberita.

“Usaha kerajaan masih belum cukup,”

Seorang lagi penduduk, Ahmed mendakwa, usaha kerajaan dalam menangani konflik alam tersebut masih belum mencukupi.

“Kami benar-benar dalam keadaan kritikal. Usaha kerajaan untuk menyelamatkan kami ibarat tiada apa-apa kalau mahu dibandingkan dengan saiz kemusnahan yang kami alami.

“Apa yang kami perlukan sekarang adalah tempat berlindung, makanan, ubat dan vaksin untuk anak-anak,” katanya yang kini tidur di depan rumahnya yang telah musnah.

Gambar: Aljazeera

Difahamkan, pihak kerajaan sudah berusaha menggali parit besar bagi mengalirkan banjir serta menurunkan paras air sungai, namun ianya tidak berhasil.

“Kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk kami.

“Musim hujan seperti yang diketahui (pasti) akan berlaku setiap tahun, tapi kami tidak nampak kerajaan betul-betul serius bersedia untuk menghadapinya,” kata seorang jurutera, Ezz Aldin Hussein, 56, tentang rumahnya yang musnah di al-Lamab, selatan Khartoum.

Dakwanya, kepimpinan pemerintah negara pada kali ini saling tidak tumpah seperti bekas perdana menteri terdahulu, Omar Hassan Ahmad al-Bashir yang memerintah Sudan selama 30 tahun sejak 1989 hingga tahun lepas.

Gambar: Aljazeera

Tangisan ‘berputus asa’ jelas terpapar di setiap wajah rakyat Sudan, di mana banyak khemah bantuan penempatan sementara mangsa-mangsa banjir.

Dalam masa kerajaan sedang giat melakukan segala usaha, ribuan keluarga di sana perlu bertabah dengan setinggi-tinggi sabar, sementara menunggu banjir besar itu surut dan berlalu pergi pada waktu yang entah bila nanti.

Antara pandemik dan banjir, inilah hakikat yang perlu difahami – Sudan perlukan doa kita.

Sumber rujukan:-

1- https://www.aljazeera.com/news/2020/09/sudan-declares-3-month-state-emergency-deadly-floods-200905093808859.html

2- https://www.aljazeera.com/news/2020/09/lost-thousands-homeless-sudan-battles-floods-200909102451318.html

3- https://phys.org/news/2020-09-sudan-declares-state-emergency-deadly.html

4- https://www.aljazeera.com/news/2020/09/sudan-floods-drainage-problems-thwart-recovery-efforts-200916104536949.html

5- http://floodlist.com/tag/sudan