Daftar/Log Masuk Volunteer MVM »

PROJEK #PENAMVM- AKU SEORANG SUKARELAWAN OLEH AN NAJWA


Kemaskini pada Dec 22, 2018 : Projek #PenaMVM 53 Views


Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh An Najwa

Hai volunteer,

Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel  #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu An Najwa. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan  beliau. Selamat membaca!

Penulis : An Najwa

 

Hari ini aku belajar tentang sesuatu. Sesuatu tentang kehidupan.

Kehidupan seorang insan bergelar lelaki.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Maklumat tentang isterinya telah menjadi tular untuk beberapa ketika.

“Jom kita ziarah keluarga mereka?”

Kata putus telah diambil.

Hanya berbekalkan alamat rumah, gerak langkah diatur menuju ke destinasi. Kehadiran kami disambut mesra oleh lelaki itu.


“Duduk dulu ya nak, makcik tengah makan, anak cik tengah suapkan.”

Sedang bertanya khabar, gerak mata memerhati tingkah lelaki itu. Berbekalkan minyak cap kapak, dia mengurut tangannya.


“Kenapa tu pakcik?”

 

Ada suara yang menyapa tingkahnya.


“Pakcik terjatuh masa nak tengok air dekat tangki rumah,  sebab dah beberapa hari ni air kecik, bila tanya jiran, diaorang kata tak ada apa-apa masalah.”

 

Sepi seketika.

“Pakcik  risau  jadi  apa-apa  kat  tangan  ni,  sebab  tangan  ni  yang  nak  guna  untuk  uruskan makcik.”

Tangannya masih lagi mengurut tanpa henti.

 

Waktu itu satu per satu kisah duka disingkap kembali.

 

“Tahun  2004,  sehari  sebelum  puasa,  kami  pergi  makan  dekat  restoran,  tiba-tiba  makcik pengsan.  Bawa  pergi  hospital,  masuk ICU,  rupanya  ketumbuhan  pecah  di  kepalanya.  Dan perlukan  pembedahan  secepat  mungkin.  Pakcik  akur,  pembedahan  diteruskan.  Kehidupan kami berubah sekelip mata.”

 

Lelaki itu yang dulunya seorang jurutera dan isterinya seorang pegawai kewangan, kini hanya menetap di rumah bagi menguruskan isterinya.

 

Gerak mata memerhati cara lelaki itu melayani isterinya. Keikhlasan.

Kasih sayang. Kesetiaan.

Itu yang kami rasai sepanjang bersama dengan keluarga ini. Sampaikan terdetik waktu itu,

 

“Ya Allah, ada lagi orang macam ni kat dunia ni.”

 

Seringkali kita didoktrin dengan kisah perceraian rumah tangga atas sebab kekurangan atau penyakit daripada suami atau isteri.

 

Tapi kisah ini kisah lain.

 

Kisah yang benar berlaku dialam nyata ini.

 

Keikhlasan seorang insan bergelar suami terhadap seorang isteri. Maaf. Lupa untuk dinyatakan.

Isterinya menghidap barah otak, penyakitnya tidak dapat dikesan awal sehingga detik waktu bermulanya kisah duka mereka. Sebelum ini, isterinya sering mengadu sakit kepala, dan kini bahagian badan sebelah  kiri  telah lumpuh, juga  kotak suaranya tidak berfungsi sejak tahun

2004.

 

Sepanjang mendengar kisahnya, tiada satu pun keluhan yang kami dengari.

 

 

“Alhamdulillah  pakcik  bersyukur,  makcik  dah  bagi  pakcik  dua  orang  anak.  Sepasang.  Tak apalah hari ini makcik yang sakit. Kita tak tahu bila hari kita sakit. Semua yang ada di dunia ni  hanyalah  pinjaman  untuk  kita,  sampai  masa  Allah  nak  tarik  balik,  Allah  akan  tarik semula.”

 

Terkesima kami mendengar tutur bicaranya.

 

Jelas tergambar ketabahan seorang insan bergelar lelaki.

 

 

 

“Pakcik tak berkerja?”

 

“Tak. Sebab pakcik yang uruskan makcik. Tawakal. InsyaAllah ada rezeki untuk kami esok hari.”

 

“Ada apa-apa yang boleh kami bantu?”

 

 

 

The rest is history.

 

Sungguh. Sesi ziarah kali ini membuatkan kami kembali koreksi diri.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 

 

 

Selasa

 

28 Jun 2016

 

Perkembangan terbaru.

Kini isteri Pakcik Radzi berada di Hospital Shah Alam. Wad Perempuan 10B katil 18. Menghidapi kencing manis dan kakinya bakal dipotong.

 

 

Masa diluangkan seketika selepas bekerja untuk menziarahi isteri Pakcik Radzi di hospital. Hati bagai dirobek waktu melihat keadaan isterinya. Hebat dugaanmu duhai pakcik.

 

 

 

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan    yang    diusahakannya,    dan    ia    juga    menanggung    dosa    kejahatan    yang diusahakannya.  (Mereka  berdoa  dan  berkata):  “Wahai  Tuhan  kami!  Janganlah  Engkau mengirakan  kami  salah  jika  kami  lupa  atau  kami  tersalah.  Wahai  Tuhan  kami!  Janganlah Engkau  bebankan  kepada  kami  bebanan  yang  berat  sebagaimana  yang  telah  Engkau bebankan   kepada   orang-orang   yang   terdahulu   daripada   kami.   Wahai   Tuhan   kami! Janganlah   Engkau   pikulkan   kepada   kami   apa   yang   tidak   terdaya   memikulnya.   Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Al-Baqarah : 286)

 

 

 

 

 

Selasa

 

30-08-2016

 

“Akak, mak dah tak ada.”

 

Pesanan ringkas daripada anak Pakcik Radzi membuatkan aku terkesima seketika.

 

Sungguh,  kematian  itu  adalah  sebaik-baik  peringatan  untuk  kita.  Al-Fatihah  buat  Makcik Noraini  Othman  yang  telah  pergi  mengadap  Ilahi  pada  tanggal  30  0gos  2016.  Setelah  12 tahun terlantar akibat barah otak yang dihadapinya. Akhirnya Allah menjemputnya kembali ke tempat yang terbaik disisiNya.

 

Melihat wajah itu. Melihat air mata itu. Mendengar esakan itu.

Ada sayu membungkam dijiwa.

 

Moga  Allah  kurniakan  kekuatan  hati  kepada  Pakcik  Radzi  sekeluarga  dalam  menempuhi dugaan hidup ini.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 

 

 

Ini.

 

Mungkin  satu  kisah  daripada  banyak  kisah  yang  aku  lalui  sepanjang  terjebak  dalam  dunia kesukarelawanan.

 

Kisah yang masih tersemat dihati hingga ke hari ini.

 

Kisah yang membuatkan aku bersyukur atas setiap kurniaan Ilahi.

 

Kisah yang membuatkan aku tetap berhasrat untuk ‘memberi’.

 

 

 

Setiap hari kita belajar. Belajar menilai erti hidup ini.

Setiap sebutir nasi yang kita makan, pasti akan ada keringat para petani yang tercurah, pasti akan ada masa yang perlu dikorbankan, pasti akan ada kisah yang membaluti lingkaran masa ini.

 

 

 

Bantu mereka yang memerlukan.

 

Jika bukan dengan duit, bantu mereka dengan masa dan tenaga yang ada. Kau, aku, kita, dia, dan mereka sama sahaja.

Cuma kita beruntung. Kerana Allah kurniakan kita rezeki berupa masa, tenaga dan kekuatan untuk kita bekerja.

 

Mereka? Mereka melalui fasa dugaan yang berbeza dalam hidup ini. Medan ini mengajar aku tentang sesuatu.

Memandang dunia dari satu sudut yang berbeza

 

Teringat kata-kata daripada seseorang;

 

Kerana  kematangan  itu  ada  pada  ilmu  dalam  diri,  dan  nilai  dalam  memandang  kehidupan, dan kerana kematangan itu ada pada hati yang selalu membawa jiwa seorang hamba.

 

 

 

Pencapaian  tertinggi  yang  aku  harapkan  dalam  dunia  kesukarelawanan  ini  adalah  untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke luar negara. InsyaAllah satu hari nanti, dan mungkin juga satu hari nanti aku akan berkhidmat secara sepenuh masa di medan lapangan ini. Doakan aku kawan!

 

 

 

Akhir  kata,  setiap  kali  sertai  program  kebajikan,  sematkan  ini  dalam  diri;  bawa  jiwa  buat mereka.


Tinggalkan Komen Anda

MVM di Facebook

MVM di Twitter

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian