Projek #PenaMVM – Aku Seorang Sukarelawan Oleh Bluedaisi

Oleh #VolunteerMVM : 23 December 2018

Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh Bluedaisi

Hai volunteer,

Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel  #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Bluedaisi. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan beliau. Selamat membaca!

Penulis : Bluedaisi

Pagi itu udara terasa sungguh dingin. Kesejukan yang ditinggalkan hujan yang turun menggila malam tadi masih mendakap pagi erat-erat. Di kaki lima, di sudut yang sedikit tersorok, ada banyak tubuh yang merengkok kesejukan. Masih lena dibuai mimpi. Ada yang mengigil  memeluk tubuh sendiri menahan kesejukan, ada yang berselubung satu badan dengan kain yang kusam lagi hamis baunya, ada juya yang menutup tubuh dengan kotak.

 

 

Aku berdiri lama memerhati wajah mereka. Kebanyakannya sudah biasa aku lihat. Ada juga wajah yang agak asing. Orang baru barangkali.Baru atau lama berumah di kaki lima itu, masing-masing punya cerita sendiri. Ada yang ringan mulut bercerita tentang kehidupan lama mereka. Ada juga yang tidak suka berinteraksi.

 

 

Tak mahu menganggu lena mereka, dengan berhati-hati, aku letak bungkusan nasi dan air teh o suam di sisi mereka. Satu set untuk setiap seorang. Selepas memastikan tak ada seorang pun yang tercicir, aku mengatur langkah mencari gelandangan lain. Tinggal beberapa bungkus saja nasi dan minuman untuk aku agihkan. Penting untuk aku pastikan semua gelandangan mendapat makanan dan minuman masing-masing. Pernah terjadi, gelandangan bergaduh sesama sendiri dek berebutkan sebungkus nasi.

 

 

Dari jauh, aku nampak Ammar sedang berbual dengan seorang gelandangan lelaki. Kedua-dua belah tangannya sudah kosong; bermakna dia sudah mengagihkan semua makanan. Laju betul dia buat kerja. Maklumlah dia dah terlalu arif dengan area sini. Sudah biasa dengan port-port tersembunyi para gelandangan. Dari dia, aku mula berjinak-jinak menjadi sukarelawan. Dulu, aku naik hairan lihat dia beli nasi bungkus dalam kuantiti yang banyak. Rupanya diam-diam dia agihkan pada gelandangan di sekitar ibu kota.

 

Dan sejak itu, kami jadi rakan subahat. Selang seminggu kami datang ke kawasan Chow Kit ini mengagihkan makanan pada gelendangan- gelandangan. Kalau baru dapat duit gaji, mewahlah sedikit lauk dan makanan untuk gelandangan. ( Aku dan Ammar masing-masing bekerja part time sambil belajar)  Selalunya kami memilih untuk datang pada weekdays. Kebiasaannya, hujung minggu ramai ngo dan orang awam yang datang ke sini menyumbang makanan. Kadang-kadang berlebihan makanan yang dibawa hingga terpaksa dibuang.

 

 

“Assalamualaikum.” Aku menoleh bila disapa suara garau lelaki.

 

 

“Waalaikumsalam, pakcik.” Aku menyahut dan tersenyum sedikit pada pemilik suara itu. Wajah yang biasa aku lihat. Lelaki tua itu duduk melunjur kaki. Bersandar pada dinding di kaki lima. Usianya aku andaikan mungkin sudah mencecah 60an. Sudah banyak kali aku terserempak dan bersembang dengan dia. Sedikit sebanyak kisah hidupnya, aku tahu.

 

 

 

Kata dia, dia dibuang keluarga dek kerana ketagihan dadah melampau. Berulang kali dia keluar masuk pusat serenti.  Isteri dan anaknya yang dulu tak henti memberi semangat akhirnya putus asa bila dia sendiri tidak punya usaha untuk berubah. Paling-paling hanya sebulan dia kekal waras. Lepas diracun fikiran oleh kawan-kawan penagih, dia kembali mengambil barang terlarang itu.

 

 

 

Bila sudah dihalau dari rumah sehelai sepinggang, dan berumah di jalanan, barulah keinsafan datang. Tambah lagi usianya juga sudah banyak.

 

 

“Awal pakcik bangun. Tengok yang lain lena lagi.” Aku berbasa-basi sambil hulurkan makanan. Pakcik itu menunduk sedikit tanda terima kasih bila bungkusan bertukar tangan.

 

“Tak boleh nak tidur dah. Sejuk.” Kata pakcik itu separa mengadu. Mukanya terlihat sedikit pucat dan badannya menggigil kecil. Aku lihat ke sekelilingnya. Ada kain nipis yang entah layak dipanggil selimut atau pekasam menutup hujung kakinya. Kotak yang jadi alas tempat duduknya juga yang sedikit basah. Barangkali terkena tempias hujan. Ada bau masam  yang menusuk ke deria bau aku. Tapi cuba untuk aku endahkan. Tak mahu mengecilkan hati tua itu.

 

“Pakcik demam ni.” Aku minta kebenaran dan menyentuh dahinya sekejap. Memang terasa bahang habanya. Aku raba dalam beg sandang mencari bekal panadol. Memang selalu aku bawa panadol dan beberapa ubat-ubatan ringkas. Persediaan kalau-kalau ada gelandangan yang memerlukan.

 

“Nanti lepas makan nasi, pakcik makan Panadol ya. Insyaallah ok nanti.”

 

 

“Terima kasih.” Dia membalas sambil merenung panadol di tangannya. Aku juga berikan dia sebotol air mineral sebelum berlalu mencari gelandangan lain.

 

 

 

Suara perempuan India marah-marah dan anak kecil yang menangis nyaring menarik perhatian aku. Aku mencari-cari arah suara sebelum mendekat. Perempuan India dalam lingkungan 30an pada anggaran aku, sedang membebel sambil menyua botol susu ke mulut si kecil itu. Anak kecil itu menangis tidak mahu. Marah dengan ragam anaknya, perempuan India itu memhempas kasar tubuh anaknya ke lantai. Anak kecil itu makin menangis bila dikasari begitu. Belum pernah lagi aku lihat mereka berdua. Mungkin orang baru.

 

 

“Auntie, kenapa ni?” Sudah agak lama berdiri memerhati, baru aku menegur. Terpempan sebenarnya melihat anak kecil itu dikasari begitu. Rasanya, mahu saja aku peluk tubuh kecil yang kurus kering itu.

 

 

“Ini budak, asyik menangis saja. Saya bagi botol susu, dia tak mahu! Bodoh! Menyusahkan orang!” Aku mengeluh keras. Kemudian, memberi isyarat pada Ammar yang kebetulan berbaring  ke arah kami supaya mendekat.

 

 

“Dia nangis sebab dia lapar.  Auntie bagi air kosong memang lah dia tak nak. Dia kena minum susu. Dia kan kecil lagi. Kesian dia auntie, kembung perut dia minum air kosong je.” Sehabis lembut aku bicara.

 

 

Perempuan India itu membebel sendiri dalam bahasanya, tubuh kecil anaknya didakap kembali. Jelas wajahnya menyesal. Aku boleh faham dia tertekan dengan hidupnya. “Saya mana ada duit mahu beli susu dia. Mahu makan juga duit tak ada. Itu jantan tak guna sudah halau kami!”  Tersedu-sedan auntie itu menangis. Aku duduk mengusap bahunya. Ammar pula mendukung anak kecil itu, cuba memberi ruang kami berbual.

 

 

“Auntie tunggu kejap ya.” Aku bangun tiba-tiba. Rasanya aku perlu buat sesuatu.

 

 

Ammar yang sudah faham tindakan aku, menyeluk poket seluarnya dan menghulurkan beberapa keping not merah. “Kalau tak cukup, pakai duit aku.”

 

 

Aku sambut dan segera menuju kedai serbaneka berhampiran. Dalam kepala mencongak duit yang ada dan barang yang mahu dibeli. Jujurnya aku dan Ammar bukanlah berduit mana. Kami cuma pelajar universiti yang bergantung pada duit biasiswa dan duit kerja part time. Tapi untuk biarkan anak auntie itu kelaparan, aku rasa terlalu kejam.

 

 

“Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak.” Berulang kali auntie India itu ucapkan bila barang keperluan dia dan anaknya aku hulurkan.

 

 

“Sama-sama auntie.” Serentak aku dan Ammar bersuara. Tak banyak pun apa yang kami bantu. Tapi besar harapan kami anak kecil itu tak berlapar lagi.