Projek #PenaMVM – Aku Seorang Sukarelawan Oleh Mohammad Suhaidi Shaari

Oleh #VolunteerMVM : 20 January 2019

Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh Mohammad Suhaidi Shaari

Hai volunteer,

Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel  #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Mohammad Suhaidi Shaari. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan  beliau. Selamat membaca!

Penulis : Mohammad Suhaidi Shaari

Rasulullah S.A.W pernah bersabda, sebaik-baik manusia di sisi Allah S.W.T. adalah
mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain (Hadis Riwayat Ahmad).

Kata-kata baginda bermain di mindaku, setiap kali dada ku lelah dek kepayahan membantu orang lain. Titik
peluh yang mengalir di dahi dan membasahi bajuku, tidaklah sia-sia. Puas, ya puas, itulah kata
yang dapat aku ungkapkan atas keringat yang telah aku curahkan.

Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman bahawa, jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu (QS.Al-Isra’:7)

Situasi kita mungkin tak sama, andai aku mampu memberikan tenaga dek kudratku yang
masih muda dan gagah, saudara boleh saja menyumbang wang dan harta dek kekayaan yang
saudara miliki. Itu sangatlah membantu dan pasti dinilai Allah yang Maha Kaya. Dana berbentuk
wang ringgit adalah keperluan yang utama bagi menggerakkan segala usaha murni aktiviti
kesukalewan. Namun, andai dana tidak dapat diperoleh secukupnya, pihak pengajur aktiviti sukar

untuk membeli barang keperluan seperti beras, gula, garam dan sebagainya. Mungkin ada saudara-
saudara kita yang tercicir sedangkan mereka begitu membutuhkan bantuan. Janganlah saudara

risau sesungguhnya, harta dan wang ringgit yang telah saudara infaqkan di jalan Allah tidaklah
hilang dan sia-sia, sebaliknya akan menjadi suatu amalan yang akan menemani saudara di alam
kubur kelak. Baginda telah bersabda bahawa, yang akan mengikuti mayat sampai ke kubur ada
tiga, dua akan kembali dan satu tetap bersamanya di kubur. Yang mengikutnya adalah keluarga,
harta dan amalannya. Keluarga dan harta akan kembali sedangkan amalannya, akan kekal
bersamanya di alam kubur (Hadis Riwayat Bukhari).
Situasi kita mungkin tak sama, andai aku mampu memberikan tenaga dek kudratku yang
masih muda dan gagah, saudara boleh sahaja menyumbangkan ilmu dan kemahiran dek kehebatan

saudara di alam pengetahuan dan kemahiran. Saudara boleh saja menjadi ‘tutor’ buat anak-anak
kita yang begitu dahagakan ilmu pengetahuan. Boleh juga menjadi ahli videografi dan fotografi
dek kepintaran dalam mengendali kamera, untuk didokumentasi dan disimpan untuk tujuan
promosi dan rujukan masa depan. Segala ilmu yang kita miliki haruslah disampaikan agar kita
mampu bersama-sama kecemerlangan di dunia dan akhirat. Jika engkau mahukan dunia,
hendaklah dengan ilmu, jika engkau mahukan akhirat hendaklah dengan ilmu, jika engkau
mahukan kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.
Sebagai konklusi, kita boleh menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuklah
tenaga, wang ringgit, ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sokongan yang padu dan utuh haruslah
sentiasa diberikan agar aktiviti kesukarelawan ini tidak hambar dan perlu sentiasa ditambah baik
dari masa ke masa agar kekal relevan dan dapat dijadikan satu medium pembinaan masyarakat
madani.