Projek #PenaMVM – Pengalaman Paling Bermakna

Oleh Amirah Harun : 12 December 2019

Projek #PenaMVM – Pengalaman Paling Bermakna

Hai volunteer,

Insyallah hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel  #PenaMVM. Beliau yang merupakan salah seorang #VolunteerMVM iaitu Nur Azizah binti Jaafar. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan  beliau. Selamat membaca!

Penulis: Nur Azizah binti Jaafar

Bismillahirrahmanirrahim..

OKTOBER 2018

Bila dengar bulan Oktober, pasti ramai akan teringat akan tajuk lagu nyanyian Awie iaitu ‘Tragedi Oktober’. Tak pasti apa yang aku alami ketika itu adalah suatu tragedi atau hanya memori. Bagi aku, Oktober dan November menjadi bulan yang istimewa  kerana Allah kurniakan  pengalaman yang sangat bermakna buat aku dan mungkin juga sebahagian rakan-rakan sukarelawan yang lain.

SEPTEMBER 2018

Aku flashback kembali peristwa yang membawa aku ke pengalaman itu. Aku baru sahaja berpindah ke rumah sewa baharu ketika itu. Setelah letih mengemas barang-barang, aku labuhkan diri atas katil empuk yang aku bawa dari rumah sewa lama. Terlintas satu gerak hati untuk bergiat dalam bidang penulisan.

“Kenapa tiba-tiba aku mendapat bayangan sedemikian?” bisik hatiku.

Aku membelek-belek telefon pintar dan mencari nombor telefon seorang penulis novel yang aku peroleh daripada seorang editor yang aku kenali di suatu Program Belajar Bahasa Isyarat anjuran Malaysia Outreach Volunteer Experience(M.O.V.E) pada minggu lalu.

Aku sejenis yang mengikut gerak hati. Walaupun kata orang, “Ikut hati,mati,” tapi dengan izin Allah aku yakin sesuatu gerak hati yang mengarahkan kita ke jalan kebaikan, adalah tidak mengapa. Aku cuba menghubungi Kak Sri dan bertanya tentang Bengkel Kisah Hidup yang dianjurkan beliau. Jadual untuk berbengkel di Shah Alam adalah pada bulan Oktober. Aku masih berfikir dan berfikir sehari-hari.

“Bukankah aku berminat untuk menjadi seorang penulis sejak zaman sekolah? Kenapa masih tertanya-tanya?” Aku bermonolog sendirian sambil skrol kalendar di telefon untuk menyemak jadual program-program pada bulan Oktober.

Clash!”

Tarikh bengkel clash dengan satu program yang dianjurkan oleh Muslim Volunteer Malaysia (M.V.M). Aku perlu pilih satu sahaja kerana kedua-duanya memakan masa dari pagi hingga lewat petang. Aku berfikir lagi sehingga suatu hari Ahad, aku bangun dari tidur dengan perasaan kecewa dengan seorang teman istimewa yang tidak membalas whatsapp aku walau setelah tiga kali aku menghantar pesanan ringkas kepadanya. Pelik bukan? Tetapi perasaan kecewa itulah yang membawa aku untuk ke bengkel penulisan itu.

OKTOBER 2018 – MINGGU KETIGA

Pada Sabtu minggu ketiga aku memujuk diri aku ke bengkel itu kerana selepas itu mungkin lambat lagi akan diadakan di Shah Alam semula setelah rotate dengan negeri-negeri lain. Bengkel sebulan sekali dan di negeri-negeri berbeza. Aku dan kenalan-kenalan baru, memperoleh ilmu penulisan yang sangat menarik daripada seorang novelis terkenal di negara ini iaitu Kak Sri Diah. Kami bersepakat untuk menghasilkan satu naskhah penulisan daripada Projek Buku Kisah Hidup Berjemaah. Karya tersebut akan menggabungkan kisah hidup penulis-penulis yang menyertai bengkel itu. Kami menyasarkan untuk melancarkan buku tersebut pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dijadualkan pada hujung Mac 2019.

Pelbagai kisah hidup yang diceritakan oleh mereka sepanjang berbengkel di Bangi pada hari itu. Ada yang menceritakan pengalaman menjaga suami yang lumpuh, ada yang pernah berputus asa dengan bidang kerjaya yang diceburi dan bermacam-macam lagi. Ada juga salah seorang daripada peserta bengkel menceritakan kisah seorang sahabat yang agak struggle memulihkan memori yang hilang setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

NOVEMBER  2018 – MINGGU KETIGA

Pada Sabtu minggu ketiga aku menyertai satu program menyantuni dan meraikan kanak-kanak orang Asli di Maran dan kanak-kanak Tahfiz di Kuantan. Dalam perjalanan aku ke Maran dari Shah Alam, aku berkenalan dengan seorang sukarelawan yang bekerja di rumah kebajikan warga emas di Ampang. Kami panggil beliau Kak Liza.

Kak Liza menceritakan peristiwa seorang ahli rumah kebajikan itu yang baru sahaja meninggal dunia dua hari sebelum itu. Arwah nenek itu mempunyai seorang anak lelaki yang bekerja sebagai seorang penghantar surat. Pemuda itu tidak mampu menguruskan rutin harian ibunya yang sakit tua kerana perlu keluar bekerja mencari rezeki untuk mereka berdua. Walaupun ditinggalkan ibunya di rumah itu, dia tidak pernah mengabaikan ibunya malah melawat pada setiap hari, sebelum dan selepas bekerja. Diceritakan juga detik-detik akhir pemuda itu bersama ibunya yang sangat menyentuh hati.

Aku dan dua lagi rakan sukarelawan yang juga tekun mendengar cerita Kak Liza sambil menyantap sarapan di R&R Temerloh pada ketika itu tiba-tiba menjadi kaku. Mata sudah mula berkaca. Tiba-tiba,

“Jom rakan-rakan sukarelawan. Kita perlu teruskan perjalanan.”

Penghayatan akan cerita yang menyentuh hati tadi terhenti seketika setelah ketua program mengajak kami meneruskan perjalanan. Aku dan Kak Liza menaiki kereta yang berbeza. Sepanjang berprogram di Maran dan Kuantan, aku tidak berpeluang untuk berbual-bual dengan Kak Liza kerana kesuntukan masa dengan jadual program bersama-sama kanak-kanak yang super active itu.

Allah beri peluang untuk kami berbual-bual lagi semasa di R&R dalam perjalanan pulang pula. Diceritakan pula tentang pengalamannya hilang ingatan akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.

“Eh. Kak Liza kah orangnya yang diceritakan semasa dalam bengkel haritu?” Aku bermonolog dalaman.

Kak Liza juga sempat menceritakan sedikit pengalaman beliau berdakwah dengan seorang Muallaf yang meninggal dunia seminggu selepas arwah memeluk agama Islam.

“SubhanAllah. Allahu Akbar.”  Mata kami bergenang lagi.

Dari penceritaan itu, kami dapat rasakan betapa mulianya arwah di sisi Allah. Insaf. Sesungguhnya Allah Maha Besar. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa. Sesungguhnya Hidayah itu milik Allah dan akan diperoleh sesiapa yang dikehendakiNya. Kita yang lahir dengan beragama Islam ini pun belum tentu lagi pengakhiran kita bagaimana. Sesungguhnya pengakhiran yang sempurna amat didambakan oleh kita semua. Hidup dalam Islam, belum tentu lagi mati dalam Islam dan Iman.

Oleh kerana kekangan masa, Kak Liza berkata,

“Nanti follow lah Facebook Kak Liza. InsyaAllah akak akan tulis cerita-cerita berdasarkan kisah hidup akak di situ.” Kata-kata itu membuatkan kami jadi penasaran dan tidak sabar-sabar untuk mengikuti kisah-kisah yang lain.

Setelah beberapa hari berlalu, aku menghubungi Kak Liza menerusi aplikasi whatsapp. Setelah bertanya khabar, aku menyatakan hasrat aku untuk berkolaborasi dengan  beliau untuk menulis buku. Pada mulanya aku merancang untuk menulis secara duo tetapi aku tukar fikiran untuk membantunya menghasilkan naskhah secara solo.

Aku juga punya karya solo yang aku sedang usahakan setelah tamat berbengkel. Projek Buku Berjemaah yang bertemakan “Kehilangan” juga telah hampir  dengan deadline. Jadi, aku mengambil keputusan untuk hanya berkongsi ilmu penulisan yang aku pelajari itu dengan Kak Liza. Niat hatiku, mudah-mudahan kisah-kisah yang bakal Kak Liza nukilkan dalam bukunya itu akan memberi manfaat kepada para pembaca kelak.

Pada hari Khamis malam Jumaat minggu itu, kami rakan-rakan sukarelawan dikejutkan dengan berita kehilangan Kak Liza hasil screenshot status di Facebook beliau menerusi group whatsapp.

“Pemilik FB ini dah meninggal. Maaf aku terlanggar dia tadi.”

Tindakan refleks, air mata bercucuran. Kedua-dua tangan yang sebelah kiri memegang Al-Quran dan sebelah kanan memegang telefon, terketar-tekar. Aku yang pada mulanya merancang untuk menyiapkan karya tentang “Kehilangan” itu,terhenti hasrat. Terasa tegang saraf di kepala. Mana tidaknya, berita itu sungguh mengejutkan kami semua. Setelah dua jam berlalu baru kami dapati bahawa berita itu palsu. Ternyata telefon pintar dan barangan lain dalam beg Kak Liza diragut di sebuah stesen minyak ketika beliau dalam perjalanan ke masjid untuk solat berjemaah. Beliau ditemui oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya di masjid tidak jauh dari rumah.

Perasaan syukur yang tak dapat digambarkan apabila mendengar khabaran gembira itu. Malam itu aku tidak dapat sambung menulis. Kalau ikutkan hati, mahu saja start enjin kereta ke Ampang dengan seorang rakan sukarelawan yang tinggal berdekatan. Namun, oleh kerana hari sudah lewat malam, esok kerja, kepala aku juga masih terasa kesakitan akibat menangis dan terkejut, aku tidak menurutkan kata hati pada malam itu.

Sungguh, satu PENGALAMAN YANG LUAR BIASA. Tatkala aku mahu menulis tentang kehilangan(kematian) seseorang yang amat aku sayang, aku diuji dengan ‘kehilangan yang seketika’ seseorang yang aku sayang walau kami hanya baru berkenalan tidak sampai sepurnama. Kisah hidup dan keperibadian beliau membuatkan aku dan rakan-rakan mudah mesra berkawan dengan beliau.

Pengalaman kehilangan beliau selama dua jam itu membuat kami terfikir,

“Ya. Dunia sudah akhir zaman. Ramai orang-orang soleh dijemput Ilahi.”

Jujur, dalam dua jam itu aku memujuk diri aku untuk redha seandainya dia telah ‘pergi’,sepertimana yang aku redha ketika kehilangan arwah nenek dulu. Mungkin mood menulis tentang arwah nenek masih berbekas dan memberi kesan kepadaku ketika itu.

Dalam dua jam itu juga, ada terdetik rasa kekesalan,

“Ya Allah, jika benar dia telah tiada pada malam ini, terasa sayangnya dia tidak sempat membukukan kisah-kisah yang bakal menjadi pedoman kepada khalayak ramai.”

Buat seketika, aku teringat satu pesanan Kak Sri, “Pengalaman Kisah Hidup, bukukan, selagi kita masih bernafas dan ada kudrat, nukilkan. Niatkan karya-karya itu akan memberi manfaat kepada rakan-rakan dan keluarga walaupun setelah kita tiada.”

 

Terima kasih atas kesudian untuk membaca 😉

Nukilan : Nur Azizah binti Jaafar (18 Januari 2019, 2.30pagi)

Nama Pena : Azizah J.

FB : Nur Azizah

IG : nurazizah_j

Pekerjaan : Arkitek