Daftar/Log Masuk Volunteer MVM »

Tips Elak Makcik Bawang


Kemaskini pada Jun 29, 2018 : Muhasabah 349 Views

Tips Elak Makcik Bawang

 

“Hah nak membawang lah tu”

“Alamak, makcik bawang dah sampai”

“Sini lah sekejap, nak membawang ni”

Kita sering dengar dialog-dialog di atas semakin kerap digunakan. Bawang dan membawang tidak asing lagi malah anak-anak kecil seawal usia tujuh tahun sudah pandai menggunakan istilah ini. Persoalan, siapakah yang memperkenalkan istilah ini? Dan apakah beza membawang dengan mengumpat? Mengapakah orang kita sekarang tanpa segan menggunakan istilah ini tanpa rasa bersalah sedangkan mereka sudah maklum ia membawa maksud yang sama dengan mengumpat.

Dulu, bawang merupakan sejenis bahan yang digunakan untuk memasak. Tapi sekarang konsep bawang semakin meluas dan boleh merujuk kepada perbuatan sekumpulan orang yang sedang mengumpat. Kini membawang sudah menjadi trend dalam masyarakat untuk memperkata perihal orang lain. Katanya membawang tidak mengapa yang penting jangan mengumpat. Allahuakhbar.

Kadang-kadang kita taknak sangat pun membawang, tapi keseronokan orang sekeliling akhirnya mempengaruhi kita untuk turut sama membawang.

Apakah kita sudah lupa dengan hadis riwayat Abu Asy-Syeikh dari Jabir r.a lalu menyedapkan hati bahawa perkataan membawang tidak membawa makna apa-apa.

Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana dosa mengumpat itu lebih besar bahayanya daripada zina. Sesungguhnya seseorang lelaki itu terkadang dia berzina lalu bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang mengumpat itu tidak diampuni baginya sehingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya. (Diriwayatkan oleh Abu Asy-Syeikh dari Jabir r.a.)

Ayuh kita celikkan mata, buka hati seluasnya untuk mengerti makna sebenar membawang. Jangan nanti tanpa kita sedar istilah membawang ini sudah menjadi normal dan lumrah dalam masyarakat kita. Kita dah usaha tak nak tergolong dalam kalangan makcik bawang, tapi banyak sangat dugaan nya. Hah macam mana kita nak elak dari mereka yang suka membawang ni? Jom kita usaha untuk mempraktikkan tiga tips ini untuk mengucapkan SELAMAT TINGGAL KEPADA MAKCIK BAWANG.

Tip #1 – Bercakap Perihal Sendiri

Bila dua orang bertemu, pasti akan berbual berkaitan sesuatu perkara. Dalam perbualan itu, cuba kaitkan dengan hal pengalaman diri sendiri sahaja. Pastinya yang baik dan bermanfaat sahaja keluar apabila bercakap tentang diri.

Ataupun, ceritakan perihal ilmu yang telah dibaca. Jika dikongsikan, lagi melekat kuat di ‘kortex medulla oblongata‘ bukan?

Tip #2 – Jangan Bercakap Perihal Orang

Pasak pada jiwa. Niatkan dalam hati. Saya tidak boleh bercerita tentang orang lain. Melainkan orang itu ada di depan mata dan sedang menayang giginya.

Untuk tips ini, penetapan minda itu penting. Menjadi kebiasaan seseorang untuk tersasar dengan istilah “tapi”. Perkara ini menambahkan saham dosa mengumpat ketika menceritakan sesuatu yang kontra. Allahu. Sedih.

Menceritakan buruk orang itu tiada baiknya. Cerita itu jika benar maka dapatlah dosa mengumpat, manakala yang salah dapatlah dosa memfitnah. Akaun debit kredit pahala terus aktif serta merta hanya dengan sebab lidah yang “tergelincir” dari landasan.

Tip #3 – Diam, Berdoa & Membenci

Menjadi kebiasaan untuk para wanita berkumpul beramai-ramai. Maka dikala perjumpaan itu, jika terdengar perihal buruknya orang, teruslah berdiam diri. Mengiakan pun tidak, menidakkan pun tidak.

Kemudian, doakan si pulan binti pulan itu kerana dosa mengumpatnya. Semoga dosa lidahnya diampunkan Allah s.w.t. kerana dirinya mengumpat dalam keadaan jahil. Seterusnya, benci dalam hati perbuatan itu.

Jika terdengar orang mengumpat, terus berdiam diri. Doakan dirinya dan benci dari hati.

Jangan ditegur si pulanah diwaktu itu, takut dirinya terasa dimalukan. Namun, jika berdua dan mampu untuk tegur, tegurlah secara berhemah.

Di akhirat kelak, lidah yang banyak cabangnya ini akan terkatup kelu dan bisu. Terkatup serapat-rapatnya.

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Surah Yasin: 65)

Sungguh, si bijaksana itu adalah yang mengkaji kurangnya diri sendiri. Bukannya sibuk mengira kesalahan orang lain. Orang yang bijaksana juga tiada memikirkan perihal lain kecuali memikirkan mati yang indah bertemu Allah.

Memang sukar untuk mempraktikkan tiga tips ini, tambahan kita bukanlah insan yang suci dan perlu hidup bermasyarakat. Kadang ada sahaja benda depan mata yang orang lain buat tidak betul. Saya masih berpaksikan dan memegang kata-kata bonda yang menjadi tunjang hidup saya.

Satu jari awak tunjuk orang lain, empat jari sudah tunjuk awak dulu. Buat apa cari buruk orang, sedang buruk kita sendiri tidak terhitung.

Semoga kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Satu perkara yang paling nyata, hidup ini terlalu singkat untuk berbicara tentang perkara lagha. Sucikan diri dengan kalimah Allah, in sha Allah bahagia hidup kita dunia dan akhirat. Wabihi Wallahua’alam.

Sumber dan rujukan : https://tazkirah.net/3-petua-mudah-supaya-tidak-terjebak-dengan-dosa-mengumpat/

 

 

 


Tinggalkan Komen Anda

MVM di Facebook

MVM di Twitter

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian