(Video) Indonesia ‘Berdarah’, Rakyat Bangkit Tunjuk Perasaan Bantah Omnibus Law

Oleh Adnin : 12 October 2020

Indonesia kini sedang melalui fasa getir akibat demonstrasi besar-besaran sebahagian rakyatnya yang didakwa menentang pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Cipta Kerja atau disebut Omnibus Law.

Kerajaan sebelum itu berkata, undang-undang tersebut dilaksana bagi membantu memulihkan semula ekonomi Indonesia yang telah lemah akibat pandemik COVID-19.

Gambar: Agensi

Pelaksanaan rang undang-undang tersebut adalah keputusan pihak kerajaan yang dipimpin presiden, Joko Widodo.

RUU setebal lebih 900 halaman itu telah pun dipersetujui pada 5 Oktober lalu, sebelum pemberontakan besar-besaran bermula pada 6 Oktober keesokannya.

Kenapa Omnibus Law ditentang?

Difahamkan, RUU tersebut didakwa menindas rakyat Indonesia (khususnya golongan pekerja) dan berasakan hak mereka dicabul.

Terdapat beberapa isu utama dalam RUU tersebut yang dtentang keras oleh rakyat Indonesia.

1- Pemansuhan sistem kontrak

Tiada lagi perjawatan tetap, pekerja-pekerja ini akan bekerja dengan berstatus kontrak sahaja seumur hidup.

2- Gaji minimum dihapuskan

Gaji minimum bagi setiap pekerja yang asalnya ditetapkan kerajaan dimansuhkan, sebaliknya ia ditetapkan oleh gabenor wilayah masing-masing.

3- Pampasan dikurangkan

Bayaran pampasan bagi pekerja yang berhenti kerja hanya selama 19 bulan sahaja, bergantung berapa lama tempoh bekerja, berbanding sebelum ini 32 bulan.

Gambar: Agensi

4- Waktu kerja lebih masa

Selain itu, tempoh bekerja lebih masa (overtime) hanya empat jam sehari dan 18 jam seminggu. Tidak cukup dengan itu, hari cuti (off day) hanya sehari seminggu, bukan lagi dua hari seperti kebiasaan.

5- Tenaga kerja asing

Sekatan sumber tenaga kerja asing dikurangkan, malah peluang kerja dibuka kepada semua termasuklah golongan ekspatriat. Ini pastinya mewujudkan persaingan sengit antara kedua-dua pihak.

6- Alam sekitar dalam bahaya

Perkara ini paling dibimbangi penduduk di kawasan alam sekitar yang berisiko seperti di pulau Papua. Di bawah RUU ini, sebarang kajian impak alam sekitar (EIA) yang sepatutnya dijalankan pihak syarikat hanya perlu dilakukan sekiranya sesuatu projek itu berisiko tinggi.

Siapa yang menentang Omnibus Law

Memetik sumber BBC, kira-kira 15 kumpulan aktivis termasuk kesatuan-kesatuan pekerja yang menyertai tunjuk perasaan ini.

Malah sebahagian besar kumpulan mahasiswa universiti juga tidak ketinggalan untuk turut serta.

Tidak cukup dengan itu, malah kesatuan Islam seperti Nahdatul Ulama (NU) juga dilaporkan turut membantah dengan RUU itu.

Tunjuk perasaan itu berlarutan sejak 6 Oktober baru-baru ini hingga saat ini.

Gambar: Agensi

Difahamkan setakat semalam, lebih 1,000 penunjuk perasaan di sekitar Jakarta dan wilayah berdekatannya telah ditangkap pihak berkuasa.

Anggota polis turut dituduh sebagai anti-demokrasi gara-gara menyekat kemaraan mereka dalam tunjuk perasaan tersebut.

Dilaporkan juga banyak fasiliti awam musnah, kebakaran di sana-sini serta kerosakan-kerosakan lain.

Beberapa rakaman video situasi keganasan yang berlaku dalam tunjuk perasaan tersebut tersebar meluas di media sosial.

Omnibus Law & pandemik

Daripada sudut pandang lain, pelaksanaan RUU Cipta Kerja ini dipersetujui pada waktu yang agak tidak stabil.

Semua sedia maklum Indonesia kini sedang bergelut dengan penularan wabak COVID-19 yang agak krtitikal dengan mencatatkan kira-kira 324,000 kes dan lebih 11,600 kematian setakat hari ini.

Angka tersebut menjadikannya sebagai negara kedua kes jangkitaan COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara selepas Filipina.

Apabila melihat keadaan semasa demonstrasi tersebut – yang umumnya tiada penjarakan fizikal atau apa-apa prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, ia menimbulkan pelbagai persoalan; adakah COVID-19 akan turut menular lebih cepat di tengah-tengah pemberontakan ini?

Sementara itu, berdasarkan pendapat peribadi penulis ilmiah geopolitik terkenal, Ayman Rashdan Wong, sebenarnya RUU Cipta Kerja mempunyai dua sisi berbeza.

Pada pihak kerajaan, pelaksanaannya adalah untuk pembangunan masa depan Indonesia, manakala daripada pihak rakyat (pekerja) yang menentang, mereka merasakan ia satu keputusan yang sangat tidak adil, seolah-olah Jokowi yang mereka sokong dahulu telah berpaling tadah kepada kapitalis.

Masakan tidak, secara kasarnya isu-isu ditentang dalam RUU tersebut seakan lebih memberi manfaat kepada pihak-pihak ‘kelas atasan’ (pembukaan tenaga kerja asing & ekspatriat), manakala kaum pekerja bawahan pula dimansuhkan cuti hari dalam seminggu.

Ia dua keadaan yang jauh ‘berbeza’ untuk kedua-dua pihak.

Gerila di media sosial

Sejak kelmarin, pelbagai video dan rakaman demonstrasi besar-besaran tersebut tular di media sosial, umumnya dimuat naik oleh mereka yang terlibat sama di tempat kejadian.

Berikut di bawah ini adalah beberapa rakaman yang tular di Twitter hingga menjadi ‘trending’ di Malaysia.

Sumber rujukan:-

1- https://www.bbc.com/news/world-asia-54460090

2- https://www.aljazeera.com/news/2020/10/9/demonstrations-sweep-indonesia-over-controversial-omnibus-law

3- https://www.bbc.com/indonesia/indonesia-54382465

4- https://www.bbc.com/indonesia/indonesia-54445044

5- https://amp.kompas.com/money/read/2020/02/18/160300026/masih-bingung-apa-itu-omnibus-law