Sedekah Memberi Ketenangan Menghadapi Ujian – Kisah Kejayaan Akak Terlajak Laris.
Mendekati sosok wanita berjaya ini memang terasa aura hebatnya. Siapa yang tidak kenal dengan tokoh usahawanita yang bernama Nur Shahida Binti Rashid iaitu isteri kepada Dato’ Aliff Syukri atau lebih dikenali sebagai Abang Terlajak Laris. Kejayaan beliau dalam dunia perniagaan kosmetik dan jamu sangat memberi inspirasi kepada usahawanita di luar sana.
Melewati zaman remaja 10 tahun yang lalu, seperti kebanyakan anak muda sezamannya, selepas tamat belajar Datin Nur Shahida tidak mengambil keputusan yang lama untuk bekerja. Tempat pertama beliau bekerja adalah di sebuah kedai jamu di Semua House yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur. Setelah 3 tahun menggali pengalaman di kedai jamu tersebut, Datin Nur Shahida menukar angin bekerja di sebuah syarikat kosmetik pula.
Dihalau Dari Gerai Pasar Tani
Ketika di awal perkahwinan beliau dan suaminya, Datin Nur Shahida mengambil keputusan untuk berniaga di pasar tani. Baginya ini adalah platform yang paling sesuai untuknya menimba pengalaman berniaga.
Pernah suatu ketika beliau terpaksa menumpang gerai kawannya kerana tapak pasar tani sudah penuh untuk disewa. Ketika semangatnya sedang berkobar-kobar untuk memulakan perniagaan, tiba-tiba beliau didatangi oleh pihak berkuasa dan dihalau oleh pegawai tersebut. Alasannya adalah kerana menumpang di gerai orang lain.
“Saya dah siap-siap susun barang, tiba-tiba ada pegawai datang suruh saya kemas balik. Masa tu terasa hatilah lagi-lagi saya tengah mengandung.” Imbau Datin Nur Shahida.
Bayangkan andai selepas peristiwa dihalau itu beliau terus ‘give up’ untuk berniaga, pasti beliau tidak akan berada pada kedudukan sekarang dan pasti kita tidak mengenal siapa Datin Nur Shahida D’Herbs sekarang.
500 Botol Pertama
Setelah beberapa tempoh berniaga di pasar tani, beliau dan suami berjaya membuat untung. Keuntungan hasil dari perniagaan dikumpul dan dijadikan modal permulaan membuka kedai jamu sendiri di salah sebuah pasaraya di Subang. Semasa proses untuk meraih kepercayaan pelanggan, mereka suami isteri sendiri turun naik tangga mempromosikan produk yang mereja jual.
“Kami pergi ke pejabat-pejabat. Ketuk-ketuk pintu. Lama-lama bila kami terfikir kenapa tak jual produk sendiri? ”
Persoalan itu adalah langkah pertama Datin Nur Shahida dan suami untuk terbang lebih jauh.
Bermula dari 500 botol pertama, permintaan ke atas produk sulong mereka terus meningkat naik dan mendapat ‘feedback’ yang positif dari pelanggan. Keberkesanan itulah membuatkan produk mereka semakin dikenali dan menjadi buah mulut orang ramai.
“Mungkin rezeki kami, selepas 500 botol pertama terus jualan terus naik. Daripada hanya menyewa kedai di sebelah kedai tayar, line internet dan telefon pun tak ada sehinggalah sekarang kami ada bangunan sendiri.”
Lelaki Dari Kaki Lima
Pada suatu hari beliau dan kakitangan D’Herbs mengadakan aktiviti memberi bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Program bersama gelandangan itu menemukan Datin Nur Shahida dengan seorang lelaki yang sudah lama hidup di kaki lima. Dari segi percakapan dan karakternya Datin Nur Shahida dapat merasakan lelaki ini mempunyai ‘sesuatu’ yang baik di dalam dirinya.
Perkenalan singkat dengan lelaki tersebut telah membuka hati Datin Nur Shahida untuk menawarkannya pekerjaan. Beliau mempelawa lelaki itu untuk tinggal bersama keluarganya dan bekerja di rumah mereka. Setelah beberapa ketika, telahan Nur Shahida tidak meleset apabila lelaki itu sememangnya seorang yang baik dan rajin. Yang paling menjentik hati beliau adalah walaupun lelaki itu pernah hidup di kaki lima sebelum ini tetapi tidak sedikit pun nampak di riak diwajahnya yang dia menyalahkan Tuhan dan menyesali ujian. Malah dia sentiasa menjaga solat dan akhlaknya.
Peristiwa ini membuat Datin Nur Shahida terfikir bahawa kadang-kadang Allah menghantar orang asing ke dalam hidup kita adalah untuk memberi peringatan. Peringatan itu tidak semestinya datang daripada orang bijak agama atau hebat dalilnya, tapi datang dari seorang individu yang pernah bergelar gelandangan. Hebat tarbiyah Tuhan.
Sedekah Menghalang Bala
Datin Nur Shahida akui untuk mengekalkan legasi dalam perniagaan yang dibina ini tidak mudah. Pasti banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi. Cabaran-cabaran itu ibarat ribut atau hujan lebat dan perniagaan yang dibina adalah seperti rumah. Apa yang menguatkan rumah itu adalah tiang seri yang menahan bumbung sehingga ke lantai. Beliau percaya tiang seri yang menahan kukuh dari segala dugaan adalah sedekah yang dilakukan selama ini. Sedekahlah yang menjauhkan dirinya dan keluarga dari bala dan musibah yang besar.
“Bagi saya setiap ujian ada hikmahnya. Mungkin melaluinya Tuhan nak bagi saya peringatan. Apa pun yang berlaku saya ambilnya dari sudut positif. Saya percaya derma itu sedikit sebanyak memberi saya ketenangan menghadapi ujian.”
Justeru sedekah itu umpama penawar kepada luka, penyelamat disaat terjatuh, penyejuk disaat kepanasan dan penyelesai disaat punya masalah. Hati kita sifatnya berbolak balik dan tidak tetap dan semoga dengan rajinnya kita bersedekah ia menjadi ‘paku’ dan menancap kukuh hati supaya lebih istiqamah dan tabah menghadapi dugaan hidup.
Tidak mungkinlah hidup tidak pernah diuji. Namun Datin Nur Shahida percaya sekuat mana pun musibah berlaku hatinya menjadi tenang dan cekal adalah asbab dari melakukan sedekah. Terasa Allah melapangkan dada dan menjernihkan fikiran. Walau sekuat mana ujian yang datang beliau mampu menempuhinya.
Rasulullah S.A.W pernah berkongsi salah satu keajaiban sedekah di dalam sabdanya :
“Bersegeralah kalian untuk mengeluarkan sedekah, kerana sungguh bencana tidak dapat melewati sedekah.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)
Pre-Order Buku ” Ohsemnya Sedekah, Rahsia Sebenar 6 Jutawan “
Kisah perjuangan dan jerit perih Datin Nur Shahida D’Herbs boleh anda dapati di dalam naskhah Ohsemnya Sedekah terbitan Muslim Volunteer Malaysia.
Ketahui bagaimana sedekah mampu mengubah hidup beliau dan perniagaannya.
Untuk membuat Pre-Order buku “Ohsemnya Sedekah, Rahsia Sebenar 6 Jutawan” boleh terus menghubungi wakil MVM di 013 834 3012 / 012 235 6854
Setiap pembelian buku ini akan dijadikan dana untuk program-program kebajikan anjuran Muslim Volunteer Malaysia.
*Untuk makluman pada 21 Disember 2016 bertempat di Intekma Resort & Convention Centre, telah berlangsungnya sidang media pelantikan penasihat dan ikon MVM. Datin Nur Shahida telah dipilih salah seorang ikon MVM 2017. Hasil hubungan baik Datin Nur Shahida dengan MVM maka lahirlah sebuah buku yang penuh inspirasi ini. Diharapkan buku ini mampu memberi manfaat kepada pembaca semua.