10 Soalan Lazim Mengenai Ibadah Korban
Pada 1 September ini umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban. Aidil Adha adalah perayaan ke dua terbesar selepas Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke-10,11,12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan takbir pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah di pada 10 Zulhijjah. Keberkatan hari besar ini diteruskan pula dengan ibadah korban yang dilakukan pada 10 atau 11 atau 12 atau 13 Zulhijjah. Kesemua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.
Untuk memperbahrui kefahaman kita terhadapa ibadah yang dituntut ini, mari kita mengulangkaji semula persoalan-persoalan yang biasa ditanya mengenai Ibadah Qurban ini.
1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?
Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidil Adha ke atas umat Islam adalah sunat Kifayah (sunat yang dituntut). Jikalau meninggalkannya adalah makruh.
Firman Allah S.W.T :
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah” ( Suraj Al-Kautsar : 2)
Mengikut tafsiran ulama, maksud solat pada ayat ini ialah solat Aidil Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih adalah ibadah korban.
2. Apakah hikmah melakukan ibadah korban ?
- Mendidik hati supaya tidak terlalu sayang kepada harta-harta dunia.
- Berkongsi rezeki dan nikmat dengan golongan yang kurang bernasib baik.
- Membudayakan budaya rela berkorban demi kepentingan orang lain.
3. Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban ?
Rasulullah S.A.W bersabda :
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korba yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban ). Sesungguhnya binatang korban itu akan dating pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim )
4. Bolehkah ibadah korban disekalikan dengan Aqiqah?
Di dalam artikel yang ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri berpendapat bahawa boleh untuk disekalikan niat korban dan aqiqah pada bahagian lembu dan juga unta seperti mana yang dinaskan oleh pendapat dari kalangan Al-Syafieyyah dan juga Al-Hanafiah.
5. Bilakah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban?
Waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban ialah dari masa khatib turun dari atas mimbar selepas khutbah sehingga terbenam matahari tarikh 13 Zulhijjah. Ibadah tidak sah dilakukan pada malam Hari Raya Aidil Adha ( 10 Zulhijjah ) atau pada malam 14 Zulhijjah.
6. Bolehkah makan daging korban kita sendiri ?
Dibolehkan untuk memakan sebahagian daripada daging korban yang kita laksanakan.
Rasulullah S.A.W bersabda : “ Makanlah, buatlah jamuan untuk orang makan dan simpanlah sebahagian daging korban kamu.”
7. Bolehkah beberapa orang berkongsi seekor lembu untuk ibadah korban?
Boleh. Kita dibenarkan berkongsi sehingga 7 orang atau 7 bahagian bagi seekor lembu atau unta. Sabda Rasulullah S.A.W : “ Berkongsilah kamu pada seekor unta dan lembu untuk 7 orang seekor.”
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )
8. Bolehkah beri sebahagian daging korban kepada penyembelih sebagai upah?
Tidak boleh membayar upah kepada tukang sembelih haiwan korban dengan daging korban mahupun kulit haiwan tersebut kerana perbuatan itu jatuh hukum jual beli. Tetapi dibolehkan memberi sebahagian dari bahagian yang kita miliki.
Hadis Rasulullah S.A.W dari Saidini Ali R.A : “ Kami memberikan upah kepada mereka yang menyembelih haiwan tersebut dari bahagian yang ada pada kami.”
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )
9. Apakah cara paling afdal mengagihkan daging korban ?
Bagi mengagihkan daging korban, utamakan kepada fakir miskin daripada keluarga terdekat, kemudian fakir miskin dari kalangan jiran tetangga. Tidak boleh diberikan kepada fakir miskin yang tidak beragama Islam.
10. Bolehkan menjual daging korban?
Ibadah korban adalah bertujuan mengorbankan harta kita untuk dirasai oleh orang lain bukannya mengorbankan untuk kepentingan diri sendiri. Jadi menjual daging korban amat bertentangan dengan tujuan ibadah korban itu sendiri. Maka jawapannya adalah tidak boleh.