VAA 2018 : Malam Raikan Sukarelawan Meriah
Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) telah mengadakan satu majlis makan malam amal iaitu Volunteer MVM Appreciation Awards 2018 (VAA). VAA ini adalah bertujuan untuk menyambut ulang tahun penubuhan MVM yang ke-4 tahun dan juga malam penghargaan kepada sukarelawan, keluarga asnaf, pekerja, penaja, rakan NGO dan rakan Media yang telah memberi sokongan penuh kepada MVM.
Pada tahun ini, VAA 2018 telah diadakan di The Royal Ballroom, Bizmilla Wedding Centre, One City, Subang pada jam 8.00 pm – 11.00 pm. Seramai hampir 400 orang telah menghadiri VAA 2018 yang terdiri daripada orang awam, sukarelawan MVM, keluarga asnaf, tetamu jemputan VIP, para penaja, rakan NGO, rakan Media, dan selebriti jemputan. VAA 2018 kali ini bertemakan “A Night of Appreciation” dan berkonsepkan “Garden”.
Tepat jam 8.30 malam, majlis bermula dengan kehadiran tetamu VIP dan bacaan doa yang menyentuh hati oleh Ustaz Fadzli Far East. Pengacara majlis pada tahun ini pula adalah Da’i Izhar atau dikenali sebagai Da’i Pendakwah Millenia
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden MVM, Tuan Muhammad bin Jantan dan perasmian VAA 2018. Istimewa pada kali ini juga, Tuan Muhammad juga merasmikan 3 inisiatif baru MVM untuk tahun 2019 iaitu Pusat Tuisyen Salam, Sistem Auto debit sumbangan, dan projek penulisan #PenaMVM.
Pusat Tuisyen Salam merupakan satu inisiatif untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak asnaf Pure Heart dan juga dibuka untuk orang awam dengan bayaran yang berpatutan. Ia juga merupakan salah satu inisiatif bagi menjana ekonomi MVM untuk menampung kos operasi.
Sistem Auto debit pula merupakan salah satu alternatif lain yang diusahakan untuk memudahkan orang awam menghulurkan sumbangan untuk program-program kebajikan dan misi kemanusiaan anjuran MVM secara tetap setiap bulan. Sistem auto debit ini boleh digunakan melalui website donation MVM iaitu www.donationmvm.org dengan memilih tetapan monthly donation.
Seterusnya, projek #PenaMVM pula merupakan satu projek penulisan bagi mencungkil bakat-bakat penulisan dalam kalangan sukarelawan MVM. Sukarelawan MVM yang berminat untuk menyertai projek #PenaMVM hanya perlu menghantar artikel atau cerita mereka berdasarkan topik yang dikeluarkan setiap bulan.
Selain itu, apa yang lebih istimewa di VAA 2018 ini juga adalah pembentangan secara eksklusif dan buat pertama kalinya Takwim Program MVM 2019 oleh Tuan Islahuddin, Penolong Pengurus Program & Komunikasi. Dengan izin Allah, pada tahun 2019 ini MVM menyasarkan 118 program kebajikan dan kemanusiaan dimana 90% adalah di dalam Malaysia dan 10% di luar negara.
MVM juga telah membuka peluang kepada tetamu yang hadir untuk mendaftar sebagai sukarelawan MVM dengan harga istimewa pada malam tersebut serta juga diadakan jualan merchandise eksklusif MVM dengan diskaun 15%
Kemuncak VAA 2018 adalah sesi penganugerahan bagi menghargai jasa para sukarelawan MVM, pekerja MVM dan juga keluarga asnaf. Sebanyak 6 anugerah yang telah dipertandingkan iaitu anugerah Jasa Bakti, Inspirasi, Sukarelawan Harapan, Institusi Harapan, Sukarelawan Siswa dan Di Sebalik Tabir. Manakala 5 anugerah khas yang telah diberikan kepada sukarelawan MVM yang paling komited, keluarga asnaf MVM dan juga idola sukarelawan negara. Anugerah khas tersebut adalah anugerah Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, anugerah Prof. Dr. Muhaya, anugerah Inspirasi Pure Heart, anugerah Inspirasi Keluarga Mithali, anugerah Top Seller Jualan Tiket VAA dan anugerah Tokoh Kemanusiaan.
Anugerah Tokoh Kemanusiaan ini merupakan kali pertama diperkenalkan oleh MVM dan telah diberikan kepada Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Beliau merupakan inspirasi tokoh sukarelawan negara yang menjadi contoh kepada anak-anak muda yang ingin bergiat aktif dalam bidang kesukarelawanan. Selain kemeriahan sesi penganugerahan, para hadirin turut diraikan dengan cabutan bertuah dan juga persembahan selebriti jemputan iaitu Lah Ahmad dan kumpulan nasyid Inteam.
Dalam kemeriahan dan keseronokan malam VAA 2018, MVM juga tidak melupakan saudara-saudara pelarian Syria yang kini menderita kesejukan di kem pelarian Syria. MVM telah mengadakan satu slot “5 minutes that counts” di mana kutipan dana dijalankan untuk kempen Misi Bantuan Musim Sejuk : Syria, Kami Datang 3.0. Syukur kepada Allah swt, dana yang terkumpul pada malam VAA ini telah mencapai RM4,755.70
Volunteer MVM Appreciation Awards 2018 telah melabuhkan tirainya dengan persembahan penutup oleh kumpulan Inteam dan sesi fotografi kenangan oleh para hadirin.
Terima kasih kepada sukarelawan MVM, para penaja, rakan NGO, rakan Media, dan semua hadirin yang telah memeriahkan VAA 2018 dan sentiasa menyokong program anjuran MVM. Semoga segala usaha dan komitmen yang diberikan menjadi saham di akhirat nanti.
Kami kongsikan gambar-gambar sepanjang program berlangsung :