Bubur Lambuk Eratkan Hubungan Silaturrahim Antara VolunteerMVM dan Pelajar UM
Alhamdulillah, pada sabtu yang lepas iaitu 18 Mei 2019, telah berlangsungnya Program Bubur Lambuk MVM 2019, Rezeki Ramadan Siswa – Bubur Lambuk & Iftar Jama’I yang telah dijalankan di Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya dengan kerjasama BRAVO Project dan Surau Nurul Hidayah serta 30 orang volunteermvm.
Istimewanya dalam program ini, tim MVM dan volunteermvm telah mengadakan aktiviti rewang dan memasak bubur bersama pelajar UM dan telah diagihkan di sekitar kolej universiti.
Selain itu, MVM bersama pelajar UM telah berbuka bersama serta solat terawih berjemaah yang diimamkan oleh ikon MVM iaitu Inteam. Setelah itu, slot perkongsian yang santai daripada Inteam telah diadakan kepada para pelajar yang hadir.
Perjalanan Aktiviti Yang Sungguh Meriah Bersama Pelajar-Pelajar UM.
Tepat jam 8.30 pagi, ramai yang telah hadir di Surau Nurul Hidayah KK5 UM untuk pendaftran diri. Tim MVM dan volunteermvm serta pelajar-pelajar MVM masing-masing telah membuat persiapan tempat dan barang-barang juga perkakas untuk memasak bubur lambuk bersama. Semua yang terlibat telah diberi T-Shirt yang seragam untuk dipakai semasa aktiviti program tersebut dijalankan.
Pada jam 10 pagi pula, aktiviti rewang dan persediaan bahan-bahan bubur lambuk dimulakan yang diketuai oleh ketua chef iaitu Mak Lela iaitu salah seorang asnaf MVM yang berjaya dalam perniagaannya dan merupakan contoh terbaik dalam kalangan keluarga asnaf MVM yang berjaya dalam bidang perniagaannya demi keluarganya.
Sepanjang rewang dan aktiviti memasak dilakukan, secara tidak langsung hubungan antara volunteer dan pelajar UM serta tim MVM sendiri semakin rapat kerana kerjasama yang diberikan sangat baik dan bertenaga walaupun di bulan puasa. Masing-masing saling membantu dan memainkan peranan dalam setiap kerja-kerja yang dijalankan dengan sangat ceria.
Setelah sesi rehat selesai, pada jam 3 petang pula, semua tim telah mula membungkus bubur lambuk di bekas-bekas yang disediakan. Mereka bertungkus lumus dalam mempersiapkan dan mengasingkan bubur-bubur tersebut mengikut kolej untuk diagihkan bersama.
Presiden dan timbalan presiden MVM juga turut membantu dalam mengagihkan bubur lambuk ke kolej-kolej bagi meraikan pelajar-pelajar UM disana untuk juadah berbuka puasa mereka. Pelajar-pelajar sangat gembira dengan pengagihan bubur lambuk serta disambut meriah dengan aktiviti tersebut.
Setelah pengagihan bubur lambuk ke kolej-kolej, mereka terus mempersiapkan tempat-tempat untuk berbuka puasa bersama. Makanan berbuka puasa pula telah disediakan oleh pelajar UM iaitu tim Bravo. Alhamdulillah, majlis berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah pun berjalan dengan sangat baik dan lancar.
Perkongsian Yang Santai Dan Harmoni Oleh Inteam
Kumpulan nasyid Inteam iaitu Ikon MVM sendiri telah hadir bagi memeriahkan lagi program tersebut. Mereka telah mengimamkan solat isyak juga solat terawih bersama pelajar-pelajar.
Usai solat isyak dan terawih, mereka telah dijemput untuk membuat perkongsian mesra bersama pelajar-pelajar. Perkongsian yang santai dan menghiburkan pada malam itu.
Mereka berkongsi kisah-kisah rasulullah dan sahabat yang sangat menyentuh perasaan pada malam tersebut. Dan juga, mereka selitkan nyanyian nasyid mereka yang sangat harmoni dimana membuatkan semua pelajar yang mendengar sangat tertarik dalam perkongsian tersebut.
Intipati program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai situasi dan senario warna-warni kehidupan yang tersurat mahupun tersirat. Selain itu, program ini adalah bertujuan untuk mengimarahkan suasana di bulan Ramadan bersama sukarelawan dan mahasiswa universiti.
Terima kasih kepada #VolunteerMVM yang telah menjayakan Program ini serta penaja yang telah menaja T-Shirt bubur lambuk ini.
Semoga program ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara pelajar dan tim MVM dan memberikan senyuman dan kebahagiaan kepada mereka serta secara tidak langsung memberi manfaat kepada semua yang terlibat.
Kami kongsikan gambar-gambar sepanjang program berlangsung :