UMUM mengetahui, pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew sering membuat kejutan demi kejutan dalam membantu orang-orang yang kesusahan. Di mana sahaja ada musibah, pasti di situ jasadnya berada. 

Dari keluarga miskin, mangsa banjir, petugas barisan hadapan, golongan istimewa, penghantar makanan sampailah ke balai polis, semua beliau ‘tapaw’.

Terlalu banyak sisi kebaikan yang terserlah daripada keperibadiannya. Walaupun kini sibuk dengan misi bantuan, Ustaz Ebit Lew sebenarnya sedang mengajar kita sesuatu. 

Mari kita lihat tujuh ciri-ciri keperibadian Ustaz Ebit Lew yang boleh kita contohi di bawah ini:-

1. Tak pernah mengeluh

Perasan tak, setiap kali tular sesuatu isu asnaf, kesusahan, musibah dan sebagainya, Ustaz Ebit tak pernah mengeluh, apatah lagi nak salahkan siapa-siapa.

Gangguan bekalan air misalnya. Orang lain ‘kecoh’ menyalahkan pihak tertentu, beliau pula tak cakap banyak. Tahu-tahu dua lori tangki air sampai.

Sama juga jika ada kes asnaf. Rasanya tak pernah lagi beliau mendedahkan cerita buruk. Malah apa yang ditulis di Facebook, hanyalah perasaan sayu dan sebak, selain turut bersikap positif untuk membantu.

2. Laju buat kerja

‘Pantang’ ada orang susah, InsyaAllah takkan lari daripada ‘senarai menunggunya’. Hari ini tular, esok lusa bantuan sampai.

Tidak kira di mana, ceruk kampung, rumah ‘flat’ tengah bandar, dalam hospital sampailah kampung air di Sabah, pasti kakinya akan jejak tempat tersebut.

Kecekapan pasukan NGO nya, Persatuan Kasih Umat Malaysia tak perlu diceritakan lagi. Malah siap berpeluang bekerjasama dengan agensi-agensi berautoriti untuk menjalankan misi.

Gambar: Facebook Ustaz Ebit Lew

Mungkin NGO-NGO lain di negara ini boleh ‘berguru’ dengan Ustaz Ebit sendiri, macam mana boleh beli berpuluh tangki air besar untuk dihantar ke pedalaman Sabah dalam masa singkat, mana nak cari lori tangki air untuk dihantar ke kawasan terjejas bekalan air ‘on the spot’ dan lain-lain.

Mungkin juga satu masa nanti, pihak media boleh buat satu dokumentari khas seperti ‘Ebit Lew, Di Sebalik Tabir’.

3. Tidak pilih kasih

Ustaz Ebit tak pernah pilih kasih. Selagi mana insan itu bernama manusia yang memerlukan, beliau akan bantu.

Jadi tak hairanlah kalau bukan setakat asnaf saja, tapi petugas barisan hadapan, balai polis, pusat kuarantin dan penjara pun beliau ‘sapu’.

Terbaharu, Ustaz Ebit berbesar hati menziarahi Gereja St. Dominit Katholik di Lahad Datu. Siap berjumpa dengan Father Simon lagi nak sumbang kerusi roda, set makanan & pelitup muka.

Jelas, beliau ialah sebenar-benar ‘ustaz’ yang menunjukkan Islam itu sangat bertoleransi tanpa perlu kira warna kulit, bangsa dan apatah lagi jurang agama.

Bukankah dakwah itu lebih telus disampaikan melalui akhlak berbanding kata-kata?

4. Mampu letakkan diri dalam kasut orang lain

Jenis bantuan yang diberi memang tepat mengikut keadaan penerima. Ustaz Ebit seolah-olah sudah begitu ‘masak’ dengan masalah-masalah yang dialami mereka.

Walaupun berkerjaya sebagai usahawan, tapi beliau cepat faham apa bantuan yang orang susah perlukan.

Beliau sedar, anak-anak kampung di Sabah tiada liputan internet untuk kelas online. Jadi beliau sumbang tab, siap pasangkan wifi lagi.

Gambar: Facebook Ustaz Ebit Lew

Antara yang terharu, di saat pihak tertentu menghantar bantuan untuk mangsa banjir dengan masih berpakaian kemas di atas bot, beliau pula sanggup bermandi lumpur meredah banjir semata-mata nak hulurkan sekampit beras terus ke tangan penerima.

Ketika saat itu, belia membantu bukan lagi sebagai NGO, tetapi kerana menyedari bahawa beliau sendiri hanyalah seorang manusia yang tiada apa-apa.

5. Jujur, telus, dipercayai

Hampir semua bantuan dipercayai menggunakan duit sumbangan awam ke akaun Persatuan Kasih Umat Malaysia.

Belia tahu, duit itu amanah orang. Jadi setiap kes berlaku, beliau berasa bertanggungjawab untuk tampil.

Tambah pula bergerak sebagai NGO, kepercayaan orang terhadap wang sumbangan pasti datang daripada hebahan media & publisiti. Orang tahu ke mana duit mereka pergi.

Hipotesisnya, semakin banyak bantuan, semakin kerap hebahan publisiti, maka semakin ramailah orang nak menyumbang. Semuanya atas dasar ‘percaya & yakin’.

6. Merendah hati

Walaupun aktif menjalankan seminar Keluarga Sunnah, ceramah agama, buka butik Elews Design, buka restoran Paramount Coffee House, buka kedai runcit Elews Mart, beliau tak pernah ‘show off’.

Apa yang dikongsi, hanyalah semata-mata perkongsian sebagai inspirasi dari hati. Malah apa yang ‘disulamkan’ dalam setiap bait kata-kata hanyalah tentang pedoman dan nasihat.

Kalau perhati cara beliau bercakap, gaya bahasa tubuhnya, nada suaranya, semuanya diekspresikan dengan penuh rendah hati.

7. Lelaki acuan syurga

Walaupun sibuk menghantar bantuan di sana-sini, Ustaz Ebit tak pernah lupa isteri di rumah.

Bertahun-tahun menyulam cinta, masih lagi kekal memanggil isteri sebagai bidadari. Anak-anak pula dididik dengan acuan agama.

Tidak kurang juga, beliau menyantuni ayah dan ibunya dengan penuh hormat dan kasih. Malah hubungan dengan adik-beradiknya masih utuh walau berbeza agama.

Beliaulah anak, beliaulah suami, beliaulah ayah, turut sama sebagai pendakwah, usahawan dan aktivis, beliaulah bayangan lelaki acuan syurga.

Gambar: Facebook Ustaz Ebit Lew

Sebagai Muslim, ada baiknya jika kita mampu mencontohi ketujuh-tujuh ciri keperibadian Ustaz Ebit Lew ini sebagai usaha memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Betul, kita manusia. Makhluk tak sempurna. Tapi Allah juga suka dengan hamba-hambaNya yang berusaha menjadi baik & berbuat kebaikan, kan?

Semoga Ustaz Ebit Lew dirahmati Allah SWT selalu. Semoga kita semua terus tabah menghadapi fasa getir pandemik COVID-19 ini. 

Mudah-mudahan, segalanya akan berakhir pada waktu yang tepat dan kita boleh merapatkan saf kembali.

Biarpun sudah hampir dua tahun, percayalah, mungkin ada sesuatu hikmah yang Allah nak tunjuk. Ustaz Ebit selalu mengingatkan, 

“Saudaraku, di sebalik ujian ada rahmat.”

 

– Nur Adnin Abdul Razak,
Muslim Volunteer Malaysia.