220 Keluarga Asnaf dan Anak-anak Bergembira di Pure Heart MVM 2018

220 Keluarga Asnaf dan Anak-anak Bergembira di Pure Heart MVM 2018.

Syukur kepada Allah swt, pada 23 & 24 Februari 2018 yang lalu MVM telah menganjurkan program Bantuan Asnaf Pure Heart MVM yang pertama bagi sesi 2018 di SK Puchong Perdana. Seramai 220 keluarga asnaf bersama anak-anak mereka diraikan dalam program kali ini. Pure Heart bulan Februari ini juga telah dijayakan oleh 60 orang #VolunteerMVM yang sangat komited memastikan program berjalan dengan lancar.

23 Februari 2018 

#VolunteerMVM telah berkumpul di SK Puchong Perdana untuk melakukan kerja-kerja persediaan program. Sesi persediaan bermula dengan taklimat ringkas oleh Saudara Izzat selaku Ketua Program dan sesi perkenalan bersama #VolunteerMVM.

Selepas itu, proses pembungkusan barangan asas dan set kelengkapan sekolah  bermula. Antara barangan asas yang diberikan adalah seperti berikut :

  • Beras 5kg
  • Gula 1kg
  • Garam halus
  • Tepung gandum
  • Sos dan rempah ratus
  • Biskut
  • Bihun
  • Serbuk teh
  • Susu pekat

Selain daripada barangan asas, kami juga telah memberi set kelengkapan sekolah seperti beg sekolah, kasut, dan pakaian sekolah kepada anak-anak penerima bantuan.

Selepas proses pembungkusan, #VolunteerMVM juga bertungkus lumus mengemas dan menyusun atur tempat program berkenana. Sesi persediaan berakhir kira-kira pada jam 12 tengah malam.

24 Februari 2018

Tepat jam 8.00 pagi, keluarga-keluarga penerima bantuan telah memenuhi perkarangan sekolah untuk pendaftaran dan bersarapan pagi. Makanan untuk sarapan pagi telah disediakan oleh Puan Yuliana iaitu salah seorang penerima bantuan Pure Heart pada tahun 2017.

Majlis Perasmian Pure Heart telah bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Puchong Perdana, dan Presiden MVM, Saudara Muhammad bin Jantan. Istimewanya Pure Heart 1.0 ini, kami telah bawakan Datin Alyah selaku Ikon MVM 2018 untuk merasmikan program Pure Heart 2018.

Majlis diteruskan dengan persembahan video montaj tentang program Pure Heart sejak ia diadakan pada tahun 2016. Alhamdulillah, program bantuan Pure Heart ini masih mampu diteruskan dengan sokongan dan sumbangan oleh rakyat Malaysia yang cukup prihatin.

Jumlah keseluruhan bantuan program Pure Heart 1.0 Bulan Februari 2018 ini adalah RM65,560. Ia termasuklah bantuan seperti berikut :

  • Barangan asas Pure Heart = RM17,600
  • Bekalan ayam segar = RM4,400
  • Set makan tengahari KFC = RM6,060
  • Set Kelengkapan Sekolah = RM37,500

Selepas selesai majlis perasmian Pure Heart 2018, keluarga penerima bantuan telah ke kaunter Kaji Selidik. Kaji selidik ini bertujuan untuk merekod latar belakang keluarga penerima bantuan. Hasil daripada kaji selidik ini, ia membantu pihak MVM untuk lebih memahami keperluan dan masalah yang yang dihadapi oleh keluarga ini.

Kemudian, keluarga penerima bantuan ini telah menerima kotak Pure Heart yang berisi barangan asas dapur dan mereka juga mendapat bekalan ayam segar oleh Haji Butcher. Anak-anak penerima bantuan pula telah menerima set kelengkapan persekolahan yang terdiri daripada kasut sekolah, beg sekolah dan pakaian sekolah.

Program Pure Heart 1.0 ini telah berakhir dengan penyampaian sijil dan sesi bergambar bersama #VolunteerMVM dan wakil SK Puchong Perdana.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas, para penaja program Pure Heart dan juga Volunteer MVM yang cukup bersemangat dan komited.

Kami kongsikan gambar-gambar sepanjang program berlangsung :

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.