Daftar Volunteer MVM »

Site Visit – Raikan Ibadah Qurban Bersama Keluarga Asnaf Kemboja 2017


Kemaskini pada Jul 28, 2017 Views: 742

Site Visit – Raikan Ibadah Qurban Bersama Keluarga Asnaf Kemboja.

Pada 10 – 12 Julai 2017 yang lepas, 3 orang wakil daripada MVM dan Volunteering Trip Malaysia (VTM) telah mengadakan “site visit” ke Perkampungan Thnot, Wilayah Kratie, pendalaman Kemboja bagi menjalankan program sempena Hari Raya Qurban iaitu Kembara Qurban Kemboja 2017.

Program ini akan diadakan pada 1 – 4 September 2017 dan ia terbuka untuk 15 orang sukarelawan yang ingin turut serta ke Kemboja nanti. Tahun ini, kami mensasarkan sebanyak 15 ekor lembu untuk diqurbankan dan diagihkan kepada penduduk kampung ini nanti. In sha Allah.

Hari Pertama di Kampung Thnot, Wilayah Kratie.

Pada hari pertama, kami dibawa untuk beramah mesra dengan penduduk kampung dengan menziarahi beberapa buah rumah. Selepas itu, kami berjalan kaki melawat sekitar kampung. Penempatan disini juga serba kekurangan di mana mereka baru sahaja menerima saliran paip air dan tenaga elektrik. Keadaan jalan pula tidak berturap dan menyebabkan ia berdebu serta berlumpur jika hujan.

Apabila sampai dirumah salah sebuah keluarga disana, mereka sangat teruja menyambut kehadiran kami kerana kami orang Malaysia pertama yang sampai ke kampung ini dan mereka terharu dan mengharapkan sinar Aidiladha kembali cerah.

5 Tahun Daging Qurban Tidak Pernah Mencukupi.

Sudah lebih dari 5 tahun, sambutan hari raya qurban disambut dengan sangat sederhana. Jika ada rezeki dapatlah merasa sembelih lembu, itu pun 2-3 ekor lembu yang pernah ditumbangkan dan dilapah untuk diagihkan kepada hampir 500 buah keluarga di kampung Thnot.

Bayangkanlah, 2-3 ekor lembu sahaja yang diagihkan untuk 500 keluarga? Pastinya ia tidak mencukupi.

Hal ini menyebabkan, kami bertambah yakin pemilihan kampung ini adalah tepat. Pemilihan kampung ini juga atas faktor ekonomi yang lemah dan penempatan yang sangat daif. Rata-rata penduduk hanya menjana pendapatan dengan tanaman padi, jagung dan tebu. Walau bagaimanapun, hasil tanaman yang banyak hanya dapat dikutip setahun sekali atas faktor cuaca di kawasan ini.

Sekolah Agama & Masjid Yang Serba Kekurangan.

Kira-kira 200 meter dari tempat penginapan kami terdapat sebuah sekolah agama dan masjid kecil yang serba kekurangan. Kelihatan kanak-kanak berlari berpimpim tangan beramai-ramai dan kami berasa tenang melihat mereka dengan berbaju kemeja putih berseluar hitam; manja dan comel tetapi istiqomah untuk mempelajari agama Islam di sekolah serba kekurangan tersebut.

Pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama dan sebelah malam mereka mengaji – cukup hebat kesedaran didikan agama keluarga disini. Sentiasa memelihara nilai-nilai Islam. Kami sempat beramah mesra dengan kanak-kanak disini dengan memberikan gula-gula dari Malaysia. Ternyata hadiah yang kecil ini membuat mereka senyum gembira.

Saat ini, kami mula terfikir untuk mengadakan kempen bantuan dengan menghadiahkan mereka alatan mewarna, makanan ringan dari Malaysia kepada lebih kurang 300 kanak-kanak di sekolah ini.

Setelah meninjau keadaan di perkampungan Thnot ini, kami semakin yakin bahawa keluarga asnaf disini selayaknya mendapat bantuan dan diraikan dengan lebih baik pada Hari Raya Aidiladha akan datang.

4 Kempen Tajaan & Bantuan Keluarga Asnaf Kemboja

Pada keesokan harinya, kami bertolak pulang ke Malaysia dengan seribu satu harapan yang bakal dibawa ke Kemboja.

Hasil daripada perbincangan bersama pihak pengurusan MVM dan VTM di Malaysia, kami telah sepakat dan sebulat suara untuk membuka 4 kempen tajaan bagi membawa bantuan dan sumbangan ikhlas kepada keluarga asnaf di Kemboja.

Antaranya adalah seperti berikut :

  1. Tajaan Qurban (Lembu)
  2. Tajaan Jalinan Mahabbah (Projek Khas Pembangunan Sekolah dan Surau)
  3. Tajaan Pek Rezeki (Bantuan Khas Barangan Asas)
  4. Tajaan Pek Riang Ria (Bantuan Khas Kanak-Kanak)

In sha Allah, kami menjangkakan kempen tajaan ini akan dibuka pada hari Isnin, 31 Julai 2017.

Jika anda berminat untuk sertai ibadah Qurban Kemboja atau memberi sumbangan ikhlas, boleh klik di link ini – https://mvm.org.my/kembara-qurban-kemboja-2017/11052

Kami mohon doa daripada anda semua agar program ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkanNya.

Bantu #SHARE artikel ini dengan keluarga dan sahabat anda agar lebih ramai yang tahu tentang program ini.

MVM di Facebook

MVM di Twitter


Tinggalkan Komen Anda

Kami Menyokong Transaksi Secara Atas Talian