DSP 5.0 : ” Dulu saya teraniaya tetapi hari ini Allah bagi lebih lagi…” – Tuah Seorang Nelayan Bandar

” Dulu saya teraniaya tetapi hari ini Allah bagi lebih lagi…” – Tuah Seorang Nelayan Bandar.

Ungkapan yang lahir dari hati Pak Cik Rosli ini amat menyentuh hati kami. Jika anda mengikuti perkembangan Pak Cik Rosli ini, kami pernah kongsikan kisah duka hidup Pak Cik Rosli di mana beliau pernah dianiaya. Bot nelayan yang digunakan untuk mencari rezeki setiap hari dibakar dan akibatnya, beliau hilang punca pencarian rezeki.

Namun, beliau redha dan Allah Maha Adil, seorang sahabat telah memberikan sebuah bot nelayan terpakai untuk beliau gunakan untuk turun ke lombong menangkap ikan. Walaupun sudah sangat usang dan merbahaya, Pak Cik Rosli tiada pilihan lain lagi dan terpaksa menggunakannya juga demi sesuap nasi buat keluarga tercinta.

Kasih Sayang Allah Bersama Orang Yang Sabar.

Benarlah, Allah itu Maha Mendengar segala doa hamba-hambaNya. Pak Cik Rosli merupakan salah seorang penerima bantuan program Bantuan Asnaf Pure Heart MVM di SK Puchong Perdana dimana ia menjadi titik perkenalan kami di MVM dengan Pak Cik Rosli. Melihat pada kesungguhan dan ketulusan hati Pak Cik Rosli sebagai penerima bantuan dan berkat kesabaran beliau dengan ujian hidup sebelum ini, pihak MVM telah sebulat hati untuk memilih beliau sebagai penerima bantuan bagi program Di Sebalik Pintu 5.0.

Bagi anda yang masih belum “familiar” dengan program-program di MVM, Di Sebalik Pintu merupakan salah satu program tahunan dimana kami berusaha untuk membantu transformasi kediaman penerima bantuan dan juga bantuan ekonomi serta keperluan sesebuha keluarga tersebut.

Alhamdulillah, pada 28 April 2018 yang lalu program Di Sebalik Pintu 5.0 telah diadakan. Seramai 30 sukarelawan MVM terlibat bagi menjayakan program tersebut.

Sukarelawan telah dibahagikan kepada 3 kumpulan berikut :

Skuad Dekorasi Rumah :

Skuad Dekorasi Rumah telah bertungkus-lumus untuk mentransformasikan rumah Pak Cik Rosli agar lebih selesa dan ceria buat mereka sekeluarga. Antara tugasannya adalah seperti berikut :

  • Mengemas rumah
  • Mengecat
  • Dobi
  • Pertukangan
  • Dekorasi dalaman

Skuad Dekorasi Rumah juga telah bantu oleh Interior Designer dari Deco-Deco Bersama Zianee. Alhamdulillah, sudah 2 tahun berturut-turut pihak Deco-deco Bersama Zianee sudi bersama MVM untuk membantu penerima bantuan ini.

Skuad Mesra Vengers :
Skuad Mesra Vengers telah bersama dengan keluarga Pak Cik Rosli untuk slot motivasi bertajuk “Keluarga Sakinah” bersama Ustaz Iqbal Zain di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Selepas itu, Pak Cik Rosli sekeluarga dibawa untuk membeli-belah pakaian dan barangan dapur di The Mines Shopping Centre dan juga menonton wayang.

Inilah kali pertama Pak Cik Rosli dan keluarga menjejakkan kaki ke Putrajaya dan juga The Mines Shopping Centre. Cukup jelas terpancar kegembiraan diraut wajah mereka.

Skuad Medik :
Skuad Medik pula telah membantu menguruskan salah seorang anak Pak Cik Rosli yang mempunyai sakit buah pinggang. Kami telah menempah satu bilik hotel yang berdekatan bagi membolehkan beliau menukar air dialisis.

Setelah hampir 10 jam berusaha untuk mencantikkan kediaman Pak Cik Rosli, membawa mereka berjalan-jalan sekitar Selangor dan Putrajaya, akhirnya masa yang dinantikan tiba iaitu untuk memberi kejutan istimewa kepada Pak Cik Rosli dan keluarga.

Pada jam 6.00 petang, kami membawa Pak Cik Rosli pulang ke rumah untuk melihat “rumah baru” beliau. Pak Cik Rosli dan keluarga telah disambut bagaikan seorang Raja oleh para sukarelawan MVM yang cukup berdebar menantikan reaksi beliau terhadap kejutan ini. Kehadiran Guru Besar SK Puchong Perdana juga telah memeriahkan lagi suasana program hari tersebut.

Air Mata Kebahagiaan Seorang Lelaki, Suami dan Ayah.

Tidak mampu berkata-kata dan hanya air mata sahaja cukup menggambarkan kebahagiaan Pak Cik Rosli terhadap segala “hadiah” yang diberikan oleh RAKYAT MALAYSIA melalu program Di Sebalik Pintu 5.0 ini. Bukan sahaja dapat membeli-belah, dan dekorasi rumah, malah kejutan yang paling membahagiakan dan membuat suasana menjadi sebak adalah apabila kami turut membeli sebuah bot nelayan baru yang lebih besar dan selamat untuk Pak Cik Rosli gunakan untuk mencari rezeki setiap hari.

Syukur, ya Allah kerana telah memudahkan segala urusan program pada hari tersebut.

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas dalam menjayakan program Di Sebalik Pintu 5.0 ini. Hanya Allah sahaja mampu membalas jasa baik anda.

Kami kongsikan gambar-gambar sepanjang program Di Sebalik Pintu 5.0 disini :

 

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.