Program Ibadah Qurban & Aqiqah 2016 Ho Chi Minh, Vietnam

Oleh Ros Atiqah Fatin Abdullah : 20 September 2016

Ibadah Qurban & Aqiqah Ho Chi Minh

PROGRAM IBADAH QURBAN & AQIQAH 2016 HO CHI MINH, VIETNAM

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Ibadah qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaubagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sangup menyembelihkan anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah lebih daripada yang lain walupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan kambing (Qibasy).

Sempena menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) juga tidak ketinggalan untuk turut sama menganjurkan program ibadah qurban dan aqiqah. Istimewanya pada tahun ini adalah kami telah berjaya mengadakan program ibadah qurban dan aqiqah di perkampungan Islam Ho Chi Minh, Vietnam. Projek ini adalah anjuran bersama Muslim Volunter Malaysia (MVM) dan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM).

Antara matlamat utama yang dicapai adalah untuk meraikan Hari Raya Aidiladha serta memberi bantuan asas kepada saudara Islam di Ho Chi Minh, Vietnam. Ia juga bertujuan untuk menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan memanjangkan ikatan persaudaraan sesama Islam di luar negara terutamanya, negara yang mempunyai jumlah minoriti penduduk beragama Islam. Bandar Ho Chi Minh adalah salah satu bandar yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam daripada golongan miskin dan asnaf yang tertinggi.

Program Ibadah Qurban dan Aqiqah 2016 ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu pada 14 – 16 September 2016. Seramai 11 orang yang telah menyertai program ini dan mereka terdiri daripada 8 orang sukarelawan MVM, dan 3 orang wakil PERTIM. Program ibadah qurban dan aqiqah kali ini juga mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai di mana kami telah berjaya untuk mengumpul seramai 66 penama. Alhamdulillah, sebanyak 10 ekor lembu dan 1 ekor kibas telah dikorbankan untuk program kali ini.

Penerbangan kami ke Ho Chi Minh mengambil masa selama 2 jam dari Lapangan Terbang Antrarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Vietnam, kami telah disambut mesra oleh pihak pengurusan di sana dan terus dibawa ke Masjid Nur Iman di perkampungan Islam Phu Rieng. Pada hari pertama ini, sebanyak 3 ekor lembu disembelih dan diagihkan kepada penduduk Islam disana. Selain itu, kami juga telah mengagihkan sebanyak 115 Pek Rezeki hasil sumbangan yang diterima oleh orang ramai melalui platform media sosial MVM seperti laman sesawang, Facebook, Instagram, Twitter dan Telegram. Pihak PERTIM juga telah memberi sumbangan sebanyak 90 pek alatan tulis dan mewarna untuk kanak-kanak disana.

Seterusnya, pada hari kedua ibadah qurban dan aqiqah telah diadakan di Tan Qui, Daerah 7, Bandar Ho Chi Minh. Sebanyak 7 ekor lembu dan 1 ekor kibas telah disembelih dan daging sembelihan telah diagihkan kepada keluarga miskin dan asnaf di masjid-masjid sekitar perkampungan ini. Antaranya ialah Masjid Nur Iman, Masjid Nur Islam, dan Masjid Islamiyah. Walaupun aktiviti program sangat padat dan memerlukan tenaga yang banyak, namun ianya terasa sangat berbaloi. Kami juga berasa amat berpuas hati apabila melihat senyuman para penduduk yang telah menerima sumbangan dan agihan daging korban. Kami juga difahamkan penduduk Islam di perkampungan ini sudah hampir 3 tahun tidak merasai nikmat ibadah qurban.

Kami turut bersyukur kerana telah mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung disini untuk sama-sama bergotong-royong dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar. Kami berharap program ibadah qurban dan aqiqah ini dapat dijalankan setiap tahun dan mendapat lebih banyak sokongan daripada organisasi serta masyarakat Islam di Malaysia.

Bagi pihak yang ingin bekerjasama dengan kami, boleh email kami di salam@mvm.org.my atau dapatkan maklumat terkini di laman sesawang kami, www.mvm.org.my.

 

Terima kasih kepada penaja-penaja serta insan-insan yang secara langung dan tidak langsung terbabit didalam menjayakan program Ibadah Qurban & Aqiqah pada kali ini.

Berikut merupakan Galeri Foto Sepanjang Program Ibadah Qurban & Aqiqah 2016 Ho Chi Minh, Vietnam: