Jejak Mahabbah MVM 1.0 – Program Khas Bantuan Keluarga Puan Manissa

Oleh Ros Atiqah Fatin Abdullah : 21 October 2016

jejak mahabbah mvm

Jejak Mahabbah MVM – Program Khas Bantuan Keluarga Puan Manissa.

Ramai orang mengharapkan durian runtuh atau rezeki jatuh dari langit. Namun, tiada rezeki yang datang bergolek tanpa usaha, doa dan tawakal kepada Allah. Begitulah juga dengan nasib Puan Manissa sekeluarga.

 Seperti yang sedia maklum pada artikel yang lepas, kami di Muslim Volunteer Malaysia telah menerima mesej ringkas daripada Puan Manissa yang berkongsi tentang keperitan hidup beliau sekeluarga. Dengan izin Allah, pada 11 Oktober 2016 team MVM telah mengadakan lawatan pertama ke rumah beliau di Kuang, Rawang untuk meninjau keadaan sebenar keluarga tersebut.

Setelah membuat beberapa analisa dan perbincangan, kempen bantuan untuk keluarga Puan Manissa atau dikenali sebagai Jejak Mahabbah MVM telah dibuka kepada orang ramai. 3 bantuan telah dibuka iaitu bantuan perubatan dan tunai (RM3,300), bantuan persekolahan (RM2,600) dan bantuan perniagaan (RM2,470). Tanpa disangka-sangka dengan kuasa Allah swt, kempen ini berjaya mencapai sasaran tajaan sebanyak RM8,370 hanya dalam masa 4 hari sahaja. Dengan hasil bantuan ini, kami telah pun membeli kelengkapan persekolahan untuk 3 orang anak Puan Manissa serta barangan perniagaan cendol dan nasi lemak. Alhamdulillah, segala persediaan ini mengambil masa kurang daripada 7 hari dan sangat dipermudahkanNya.

Detik yang dinantikan iaitu 20 Oktober 2016 adalah hari yang paling membahagiakan bagi Puan Manissa dan keluarganya. Team MVM yang juga dibantu oleh 4 orang sukarelawan telah menghantar semua bantuan pada hari tersebut. Lebih isitmewa lagi, jemputan khas selebriti Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi serta keluarga turut berbesar hati untuk memberi kejutan kepada Puan Manissa yang juga peminat setia mereka.

jejak mahabbah mvm

Seawal jam 8.00 pagi, team MVM telah berkumpul di pejabat MVM untuk mengangkat semua barangan bantuan ke dalam lori yang telah disewakan khas. Kami telah bertolak ke rumah Puan Manissa pada jam 8.30 pagi. Perjalanan ke rumah Puan Manissa di Kuang, Rawang telah mengambil masa selama 1 jam. Setelah tiba disana, kami disambut mesra oleh suami Puan Manissa, Encik Fauzi dan juga ahli keluarga mereka. Tanpa membuang masa, team MVM dan sukarelawan telah bertungkus lumus memunggah semua barangan bantuan daripada lori dan turut memasang kelengkapan perniagaan cendol seperti meja, khemah, mesin cendol dan sebagainya. Syukur, segalanya berjalan dengan baik sekali.

img_7935

Tepat jam 11 pagi, jemputan khas Heliza Helmi dan keluarga telah tiba dirumah Puan Manissa untuk memberi kejutan istimewa kepada beliau dan keluarga. Kehadiran Heliza Helmi dan keluarga beliau telah menambah memori indah dan tangisan kegembiraan buat keluarga Puan Manissa. Siapa sangka, selebriti yang diminati hanya ditonton dalam kaca TV kini berada dirumah mereka sendiri.  Heliza dan keluarga juga turut bermurah hati dengan membawa hidangan KFC untuk menjamu selera bersama-sama.

jejak mahabbah mvm

Setelah menjamu selera dan doa selamat, kami telah dijamu dengan cendol durian istimewa Puan Manissa. Untuk pengetahuan semua, Puan Manissa dan suaminya pernah berniaga cendol semasa suaminya masih sihat sebagai sumber pendapatan tambahan. Namun begitu, setelah suami beliau sakit dan berpindah pulang ke kampung, segala kelengkapan perniagaan terpaksa ditinggalkan di kediaman lama beliau dan kini, kebanyakkan peralatan tersebut telah hilang. Oleh sebab itu, team MVM memberi bantuan perniagaan ini  supaya Puan Manissa mampu menjana sumber pendapatan tambahan selain mengambil upah melipat baju untuk terus menyara keluarga beliau. Kami yakin dengan pengalaman beliau berniaga cendol sebelum ini, ia memudahkan Puan Manissa untuk bangkit semula mengubah hidup keluarganya.

jejak mahabbah mvm

Selain itu, team MVM, dan juga Heliza Helmi sekeluarga telah membuat kejutan sambutan hari kelahiran kepada Presiden Muslim Volunteer Malaysia, Ya Muhammad. Didoakan agar Tuan Presiden terus bersemangat untuk membantu lebih ramai orang dan juga menjadi inspirasi anak muda untuk membuat kerja-kerja amal.

jejak mahabbah mvm

Sebelum kami berangkat pulang, kami telah mengadakan sesi fotografi sebagai tanda kenangan buat seluruh keluarga Puan Manissa. Kami berharap segala bantuan yang dihulurkan membantu meringankan bebanan keluarga Puan Manissa dan menjadi satu semangat baru untuk beliau terus berusaha untuk menambah pendapatan keluarga.

jejak mahabbah mvm

Terima kasih kepada insan-insan yang secara langsung dan tidak langsung terbabit didalam menjayakan program Jejak Mahabbah ini.

Ia juga merupakan satu pencapaian yang luar biasa untuk team MVM di mana program ini berjaya dijalankan hanya dalam masa 1 minggu sahaja. Semua usaha ini adalah dengan izin Allah dan kami percaya ia adalah rezeki tidak diduga buat keluarga Puan Manissa. Semoga Allah merahmati kita semua.

Berikut merupakan Galeri Foto Sepanjang Program Jejak Mahabbah MVM:

*untuk melihat gambar, anda boleh tekan next/prev dibawah.