Pure Heart 2017 Melabuhkan Tirai Dengan Penuh Ceria.

Pure Heart 2017 Melabuhkan Tirai Dengan Penuh Ceria.

Tarikh : 17 & 18 November 2017
Tempat : Sk Puchong Utama 1, Puchong, Selangor.
Penaja Kotak & T-shirt : Trusted & Progressive Market, Sifu Print & Muksinar Properties
Penaja Makanan Ringan : Home Pop Corn & Jagong Letop
Dengan Kerjasama: SK Puchong Utama 1

Syukur kepada Allah pada 17 & 18 November 2017 yang lalu telah berlangsung program Bantuan Asnaf Pure Heart 10.0 bulan November 2017. Program ini adalah program terakhir bersama keluarga asnaf dari sekolah SK Puchong Utama 1. Istimewa juga pada kali ini, kami turut dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan lama MVM daripada tahun 2016. Kehadiran mereka semua telah memberi inspirasi kepada  sukarelawan-sukarelawan baru dan pelbagai perkongsian cerita serta pengalaman dikongsi bersama. Secara keseluruhan  seramai 50 Volunteer MVM terpilih yang terlibat di dalam menjayakan program ini.

Para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dengan setiap satu daripadanya diberi peluang merasai sendiri bagaimana untuk  menguruskan pendaftaran, menguruskan sukarelawan, menguruskan makanan dan sebagainya. Tugasan-tugasan yang diberikan kepada para sukarelawan  merupakan sebahagian usaha mendekatkan diri serta memberi peluang kepada mereka menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama penerima bantuan dan rakan-rakan sukarelawan yang lain.

Pada program kali ini, MVM membawakan konsep yang lebih santai bagi meraikan Program Pure Heart terakhir untuk tahun ini bersama-sama dengan penerima bantuan di SK Puchong Utama 1. Semasa pendaftaran kesemua penerima bantuan telah diberikan bertih jagung percuma yang telah ditaja sepenuhnya oleh Home Pop Corn dan Jagong Letop. Perjalanan program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Puchong Utama 1 dan ucapan penutup oleh wakil MVM.

Dalam ucapan penutup oleh Saudara Syed Zainal Abidin Jamalullail, Ketua Jabatan Unit Komunikasi dan Program, antara objektif  penganjuran program Pure Heart selama 10 bulan bagi tahun 2017 ini adalah untuk memberi penekanan serta pemahaman terhadap konsep kesukarelawanan. “Sepanjang program itu berlangsung, kita dapat melihat pelbagai ragam dan tingkah laku dalam kalangan sukarelawan dan mereka kelihatan begitu bersungguh-sungguh membantu di antara satu sama lain. Program ini memberi peluang kepada para sukarelawan untuk menimba ilmu yang berguna selain berpeluang menjalankan program kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Selepas itu, acara diteruskan dengan persembahan daripada murid-murih SK Puchong Utama 1 dan cabutan bertuah. Apa yang lebih menggembirakan apabila kami dapat melihat wajah keriangan para pemenang cabutan bertuah. Antara hadiah cabutan tersebut adalah microwave oven, set cadar, basikal, dan banyak lagi. Hadiah utama pula adalah sebuah set sofa dan meja bernilai RM1,200.

Kisah yang lebih menyentuh hati kami di MVM adalah apabila kami mendapatkan tahu bahawa pemenang hadiah utama cabutan bertuah adalah seorang ibu tunggal yang baru sahaja berpindah rumah. Beliau sememangnya sedang mencari-cari perabot terpakai untuk rumah barunya. Alhamdulillah, hadiah set sofa dan meja ini sangat tepat dengan keperluan dan begitu bermakna buat beliau dan keluarga.

Acara Pure Heart 10.0 ini diteruskan dengan mengambil gambar kenangan bersama semua keluarga asnaf dan pihak sekolah. Kemudian, ia diteruskan dengan pembahagian kotak Pure Heart kepada 200 keluarga asnaf ini. Pembahagian kotak Pure Heart kali ini terasa agak sebak kerana ia merupakan kali terakhir kami dapat membantu 200 keluarga asnaf dari SK Puchong Utama 1 ini.

Akhir sekali, majlis berakhir dengan pembahagian sijil kepada sukarelawan MVM yang telah memberi komitmen yang penuh dalam menjayakan program ini.

Kami doakan agar kesemua keluarga asnaf Pure Heart ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan dimurahkan rezeki mereka oleh Allah swt.

Terima kasih kepada penaja rasmi kotak & T-shirt rasmi Pure Heart MVM, Trusted & Progressive Market, Sifu Print & Muksinar Properties, para sukarelawan MVM, warga sekolah SK Puchong Utama 1 dan ahli keluarga Muslim Volunteer Malaysia.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.