“Ribut datang, semuanya musnah begitu sahaja” -Mangsa ribut Perlis

“Ribut datang, semuanya musnah begitu sahaja” -Mangsa ribut Perlis

17 September lalu, seluruh warga Perlis dan rakyat Malaysia diselubung kesedihan apabila negeri Indera Kayangan itu ditimpa ribut. Rentetan tragedi itu, banyak rumah dan premis perniagaan yang musnah sehingga menyebabkan mangsa yang terlibat hilang tempat pergantungan.

Pada 29 September lalu, 3 orang sukarelawan MVM berpeluang melihat sendiri 6 kawasan yang terjejas akibat ribut. Bagi misi kali ini MVM telah bekerjasama dengan NGO dari Gabungan Belia dan Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia Cawangan Perlis untuk mengenal pasti jenis bantuan yang sesuai yang boleh diberikan kepada mangsa terlibat.

Setiap mangsa mempunyai ceritera masing-masing yang amat meruntun jiwa kami di MVM. Bayangkan, tidak pernah terlintas difikiran mereka, tempat mereka berlindung selama ini musnah begitu sahaja. Ayuh, kita selami perkongsian yang daripada setiap keluarga yang terlibat.

1) “Kami sekeluarga hilang tempat berteduh,” -Kak Ayu

Kejadian ribut yang berlaku selama satu jam bermula pada 9 malam pada 17 September yang lalu telah menyebabkan rumah Kak Ayu terjejas dengan teruk. Semuanya berlaku sekelip mata. Berderai air mata Kak Ayu ketika MVM menziarahi keluarga ini. Air mata mengalir deras lagi-lagi apabila mengenangkan pendapatan sekeluarganya tak seberapa memandangkan diuji keluarga malang ini diuji dengan ujian yang sangat berat.

Pada mulanya, disangka hanyalah hujan rintik-rintikk dan angin kuat yang kebiasaannya tidak memberi kesan apa-apa, akan tetapi ribut yang berlaku pada malam tersebut telah menerbangkan bumbung yang selama ini melindungi mereka dari panas terik, dan hujan menyebabkan bekalan elektrik terputus serta-merta.

Kak Ayu sendiri mengalami cedera ringan apabila bingkai gambar yang menghempap bahu beliau. Kejadian tragis ini menyebabkan Kak Ayu kehilangan tempat untuk berteduh dan terpaksa menumpang di rumah sedara mara. Hampir keselurahan kelengkapan asas rumah rosak akibat ribut. Kejadian tersebut yang turut menyebabkan tempat tinggal mereka perlu dibina semula dan menelan kos hampir 15 ribu untuk memperbaiki semula rumahnya yang rosak.

2) “Makcik redha ketentuan Allah,” -Makcik Fatimah 

Makcik Fatimah hanya boleh redha dengan ujian yang diberikan Allah untuknya. Rumah yang uzur yang bila-bila masa sahaja, atap rumah boleh runtuh dek kerana di makan anai-anai. Berbekalkan cahaya lampu yang malap dan atap yang bocor, begitulah kehidupan Makcik Fatimah setiap hari. Hampir keseluruhan rumahnya akan dibanjiri air jika hujan dan hanya tempat tidurnya sahaja tidak terlalu terkesan.

Beliau turut menceritakan yang paip air yang bocor di rumah beliau hingga beliau terpaksa menanggung kos bil sebanyak RM5,000. Oleh kerana tidak mampu membayar kos bil air terlampau tinggi, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan kudrat yang tidak seberapa  untuk membaiki sendiri paip tersebut dan ada juga jiran yang kasihan melihat kejadian itu dan turut membantu beliau.

Ribut yang melanda memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan Mak Cik Fatimah. Hampir keseluruhan rumahnya musnah. Namun, Mak Cik Fatimah sentiasa berpegang kepada janji Allah. Katanya, Allah uji tanda Allah ingat dan sayang. Berbekalkan keyakinan dan doa itu, beliau yakin, ada insan-insan yang boleh membantunya membina semula rumahnya.

3) “Saya terpaksa menanggung kerugiaan sebanyak RM6,000,” -Encik Roslan

“Saya tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana pihak.” Begitulah rintihan seorang peniaga kecil, Roslan yang berumur sekitar 40 tahun mengusahakan perniagaan roti canai yang terkesan daripada ribut yang melanda di utara tanah air. Beliau perlu menanggung kos pemulihan dan pembaikan premis perniagaan sebanyak RM6,000. Kerosakan yang dilaporkan adalah peralatan-peralatan asas perniagaan beliau antaranya kerusi, meja, sinki dan lain-lain.

Ketika kejadian ribut berlaku, beliau menyatakan beliau tidak berada ditempat kejadian. Pada malam itu, beliau menuju ke stesen bas untuk menghantar salah seorang anak beliau. Beliau dihubungi oleh jiran tetangga yang memaklumkan ribut telah menerbangkan bumbung premis perniagaan beliau yang terletak di Bintong.

4) “Hidupkan berbumbungkan langit, berlantaikan serpihan-serpihan kayu-kayu dan simen,” -Ridzuan Om

Angin yang berkelajuan 68.7 kilometer/sejam telah mengakibatkan kediaman keluarga Ridzuan Om, 49 tahun lumpuh seketika. Beliau bekerja sebagai penjual ikan yang mempunyai pendapatanyan tidak menentu terpaksa menanggung kerugian hampir 12 ribu ringgit untuk kos pembaikan rumah. Hampir keseluruhan kelengkapan rumah beliau telah rosak teruk akibat ribut yang berlaku dan bekalan elektrik terputus serta merta.

Disangkakan hanya angin biasa, kira-kira pukul 9 malam apabila angin tersebut tiba-tiba bertiup kencang. Detik cemas ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk melaungkan azan, akan tetapi angin yang hanya reda buat seketika waktu dan datang semula dengan lebih kuat sehingga menerbangkan bumbung rumahnya.

Beliau terpaksa melarikan diri di rumah abang yang terletak di sebelah rumah hingga beliau dan keluarga menyaksikan sendiri bagaimana angin kencang tersebut menerbangkan bumbung rumah mereka.

5) “2 minggu mata pencarian rezeki saya lumpuh,” -Hazmi 

Sudah dua minggu saya tidak dapat berniaga begitulah luahan hati Encik Hazmi,30 tahun seorang peniaga sate yang bergantung penuh kepada perniagaan beliau demi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Beliau yang mempunyai enam orang tanggungan yang masih kecil sebak apabila mengingat kembali peristiwa ribut yang membadai premis perniagaannya. Antara kerosakan yang dilaporkan adalah, khemah, kanopi yang selama ini membumbungi perniagaan beliau dari terkena hujan.

Beliau kini terpaksa menumpang gerai makan bersebelahan kedainya serta mengambil upah kecil-kecilan menebang pokok demi mencari sesuap nasi untuk menanggung isteri dan anak-anak yang masih kecil. Rentetan daripada kejadian yang menyayat hati ini, beliau perlu menanggung kerugian sebanyak RM 3,000 untuk menampung kos pembaikan premis perniagaan beliau.

6) “Sudah 2 tahun hidup kami sekeluarga dalam kegelapan, cahaya pelita sebagai peneman setia,” -Puan Rosiah 

Inilah kisah seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu kepada 5 orang anak yang tabah menempuh liku-liku kehidupan. Suaminya lumpuh akibat kemalangan yang berlaku di tempat kerja menyebabkan kedua-kedua kaki beliau tidak lagi mampu berdiri dan hanya mampu mengharapkan isteri beliau untuk menguruskan diri.

Jika dahulu Puan Rosiah, 50 tahun tidak berkerja namun disebabkan malang yang tidak berbau yang menimpa suami beliau terpaksa membanting tulang dan berkerja sebagai pengawal keselamatan demi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Pendapatan seisi rumah yang hanya sekitar RM 1200 sahaja sebulan sudah semestinya tidak cukup dan menyebabkan keluarga ini hidup serba kekurangan. Hal ini juga turut menyebabkan beliau tidak mampu untuk membiayai rawatan bernilai hampir RM10,000 untuk memulihkan kedua-dua kaki suami beliau.

Puan Rosiah turut menceritakan kesusahan hidup mereka dan berkongsi rasa sebak apabila menyatakan bahawa sudah 2 tahun mereka hidup dalam kegelapan. Hal ini kerana beliau tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik yang terlampau tinggi menyebabkan bekalan elektri terpaksa dipotong oleh pihak berkenaan. Atas ihsan jiran, suatu punca eletrik dipinjamkan dari jiran sebelah rumah dan lampu tersebut hanya akan menyala jika jiran tersebut berada di rumah. Selebihnya Puan Rosiah akan menyalakan sumbu pelita untuk menerangi rumah mereka dan membantu sebahagian anak-anak beliau yang masih bersekolah untuk tugasan yang diberikan oleh guru.

Begitulah kisah enam buah keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ribut di Perlis. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Atas asbab ini, kami di MVM merasakan keenam-enam keluarga ini perlu dibantu.

Atas rasa tanggungjawab untuk membantu saudara kita paling dekat ini iaitu di Malaysia, kami di Muslim Volunteer Malaysia telah bekerjasama dengan sebuah badan NGO di Perlis iaitu Gabungan Belia Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Perlis telah melancarkan Misi Bantuan Kecemasan : Pasca Ribut Perlis bagi mengumpul dana bantuan kelengkapan rumah dan perniagaan buat mangsa-mangsa ribut ini.

SUDIKAH ANDA MENGHULURKAN SEDEKAH WALAU HANYA RM20, RM10 ATAU SEBERAPA YANG TERMAMPU BUAT MANGSA RIBUT PERLIS INI ?

Maklumat bantuan :

Bantuan Kelengkapan Rumah dan Perniagaan

  • Sasaran : RM12,500
  • 1 tajaan : RM20 sahaja
  • Tarikh tutup sumbangan : 18 Oktober 2018

Hulurkan sumbangan dengan lebih mudah secara online, klik sini : https://donationmvm.org/donations/misi-bantuan-kecemasan-pasca-ribut-perlis/

Besar harapan kami agar kita juga dapat sama-sama membantu saudara-saudara kita yang dekat dan lebih memerlukan ini. Kami merayu bantuan anda untuk turut sama hebahkan kempen ini kepada keluarga dan saudara-mara agar lebih ramai yang dapat memberi manfaat bersama.

“Yang jauh dibantu, apatah lagi yang dekat?”

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.