Lelaki warga Syria yang mengusahakan Ernesto’s Sanctuary, Mohamad Alaa Aljaleel

Semua sudah maklum, Syria yang dulunya sebuah negara Islam yang kaya dengan pusat ilmu dan ketamadunan Islam, kini sudah berubah wajahnya menjadi ‘padang jarak padang terkukur’.

Konflik, sengketa dan campur tangan daripada pelbagai telah menyebabkan negara itu menjadi tegang dari hari ke hari. Jika dulunya dibanggakan dengan Kota Damsyik, hari ini hanya debu batu yang menjadi tugu.

Namun tahukah anda, walaupun Syria sudah hampir tiada ‘apa-apa’ lagi selain ribuan pelarian yang hidup di kem perlindungan, kebajikan terhadap haiwan seperti kucing masih lagi terjaga dengan baik.

Di Syria, terdapat sebuah pusat jagaan dan perlindungan kucing yang bernama Ernesto’s Sanctuary for Cats in Syria. Mari kita baca 15 info menarik tentang pusat perlindungan ini.

Ernesto’s Sanctuary for Cats in Syria

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

1. Pusat Santuari Kucing Ernesto ini ditubuhkan pada 2015 lalu apabila pengasasnya, Alessandra Abidin terlihat dalam liputan berita tentang seorang lelaki warga Syria yang tinggal di kawasan runtuhan di Aleppo untuk menjaga kucing-kucing terbiar.

2. Selain bertanggungjawab menjaga kucing terbiar, lelaki berkenaan, Mohammad Alaa Aljaleel juga adalah merupakan seorang juruelektrik dan pemandu ambulans.

3. Tertarik dengan usaha konservasi kucing terbiar itu, Alessandra kemudiannya menubuhkan sebuah pusat perlindungan kucing yang dinamakan sebagai Il Gattaro d’Aleppo. Segalanya bermula dengan ruang santuari yang kecil, sedikit tanah yang disewa, disokong oleh sokongan rakan terdekat serta kapasitinya melibatkan beberapa ekor kucing jalanan yang dijaga. Bagaimanapun namanya ditukar kepada Ernesto selepas kucing kesayangan Alessandra mati ketika itu.

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

4. Sementara itu, walaupun sibuk bertugas di pusat perlindungan, Alaa tetap komited menjalankan tanggungjawabnya memandu ambulans di zon-zon peperangan di tanah konflik itu.

5. Difahamkan, ketika itu pusat perlindungan tersebut semakin maju, malah jumlah kucing yang dijaga juga turut bertambah. Ernesto pada waktu itu dikatakan mampu menjaga kira-kira 100 ekor kucing, beberapa ekor anjing dan turut membantu orang awam yang terkesan dengan peperangan dengan bantuan makanan dan air.

6. Bagaimanapun pada 2016 berikutnya, ‘kegemilangan’ Ernesto jatuh apabila pusat perlindungan tersebut dibom oleh tentera hingga menyebabkan berpuluh-puluh kucing dan anjing terbunuh. Akur dengan keadaan sekeliling yang berbahaya, Alaa tekad membawa kesemua haiwan jagaan di sana berpindah ke tempat lain yang lebih selamat. Namun sekali lagi malang datang tidak berbau apabila pusat perlindungan itu musnah kerana dibom dengan bom klorin hingga kesemuanya mati.

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

7. Aleppo ketika itu sudah tidak seperti dahulu. Ramai penduduk terpaksa berhijrah ke tempat lain bagi meneruskan hidup yang tinggal sehelai sepinggang. Alaa pula tidak berputus asa. Dia kembali membangunkan Ernesto dan mula ‘membuka pintu’ kepada mana-mana kucing yang tercedera untuk dirawat dan dijaga sebaiknya. Tidak cukup dengan itu, Alaa turut menyewa sebidang tanah dan membangunkan sekolah serta taman permainan sebagai pusat tumpuan kanak-kanak mangsa perang di sana.

8. Ekoran Ernesto bertambah maju, Alaa ‘menjemput’ seorang petugas perubatan, Abu Ali Wattar untuk berkhidmat di pusat perlindungan tersebut dengan berbekalkan pengalaman dua tahun dalam perubatan kecemasan dan enam tahun sebagai pembantu perubatan di lapangan. Dalam masa sama, Alaa turut merekrut dua lagi staf bantuan.

9. Selepas bertahun-tahun beroperasi, Ernesto akhirnya mempunyai pakar veterinar sendiri yang bertauliah apabila Dr. Mohammed Youssef menyertai pasukan Alaa pada 2017 berikutnya. Sejak itu, rawatan, penjagaan dan pemuliharaan kucing-kucing di sana semakin bertambah baik.

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

10. Tidak hanya berkhidmat di Ernesto, Alaa dan Dr. Mohammed Youssef turut turun padang ke Zoo Aleppo bagi mencari haiwan-haiwan yang tercedera, sakit dan terkesan akibat perang. Difahamkan, ada haiwan yang dapat dirawat semula, namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan. Fokus dengan misinya, Dr. Mohammed Youssef sanggup merentas sempadan negara bagi membawa pulang haiwan-haiwan dari zoo seperti harimau, singa, beruang dan anjing ke Ernesto untuk dirawat semula.

11. Kejayaan Alessandra dan Alaa dalam membangunkan Ernesto sebagai pusat perlindungan haiwan setempat ini mendapat liputan yang luas daripada media-media antarabangsa. Kagum dengan hati murni yang dimiliki, ramai warganet memberi gelaran kepada Alaa sebagai ‘Cat Man of Aleppo’.

12. Bagaimanapun, sekali lagi takdir menguji apabila pusat perlindungan tersebut diceroboh pihak tidak dikenali. Alaa mendakwa mereka kehilangan beberapa aset penting seperti komputer riba, mesin imbasan dan ubat-ubatan. Keadaan tersebut agak menekan mereka, ditambah pula kapasiti di sana semakin padat dengan lebih kurang 170 ekor kucing.

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

13. Sehinggalah pada April 2019, Ernesto sekali lagi berpindah ke kawasan baharu dan diteruskan operasinya sehingga hari ini menjadi The Ernestos Paradise. Kali ini keluasannya semakin bertambah, maka kapasiti kucingnya juga turut meningkat. Tidak hanya makhluk comel itu, kini Ernesto sudah seakan menjadi zoo apabila turut memulihara dan memelihara binatang lain seperti kuda, keldai, anjing, arnab, ayam dan burung.

14. Pada tahun yang sama, Ernesto membuka klinik veterinar di bandar itu dan turut menyediakan perkhidmatan perubatan veterinar secara percuma kepada orang awam Syria yang membela haiwan kesayangan. Segala kos perubatan, vaksin, pemakanan dan sebagainya adalah ditanggung oleh Ernesto.

15. Pada hari ini, pasukan The Ernestos Paradise di bawah kepimpinan Alaa dianggotai oleh 13 orang kakitangan yang bertugas di pusat perlindungan, klinik dan ladang. Walaupun episod perang di Syria masih belum tamat, namun mereka tetap komited berdiri teguh meneruskan usaha menjaga kebajikan haiwan-haiwan yang menjadi mangsa kekejaman perang.

Gambar: Ernesto’s Sanctuary

Untuk pengetahuan semua, Pusat Santuari Kucing Ernesto ada membuka sumbangan awam bagi menampung kos operasi, termasuklah ubat-ubatan untuk kucing dan haiwan lain yang dirawat di sana.

Bagi mendalami Ernesto dengan lebih dalam lagi, bolehlah layari laman Facebooknya di SINI atau laman sesawangnya di SINI. Mungkin anda akan teruja melihat ratusan ekor kucing yang sihat-sihat di sana.

Sementara itu, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) juga kini sedang melancarkan kempen Misi Bantuan Ramadan 2o21: Syria & Palestin yang menyasarkan sasaran kutipan sebanyak RM800,000.

Sekiranya anda berminat untuk menabur bakti menginfakkan sebahagian rezeki yang ada buat pelarian di sana, sumbangan boleh disalurkan terus ke SINI.

Jika Alaa tidak pernah berputus asa menjaga kebajikan kucing, maka kita pula harus menjadi ‘Alaa yang kedua’ dalam membantu kebajikan pelarian di sana. Selamat beramal.

Nota: Oh jangan lupa, spesies Oyen pun ada di sana. Patutah Oyen di negara kita sangat ‘nakal’ dan gagah, jangan-jangan terbawa baka dari Syria agaknya. Baka perang.

Sumber: Ernesto’s Sanctuary for Cats in Syria