Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh An Najwa
Hai volunteer,
Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu An Najwa. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan beliau. Selamat membaca!
Penulis : An Najwa
Hari ini aku belajar tentang sesuatu. Sesuatu tentang kehidupan.
Kehidupan seorang insan bergelar lelaki.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Maklumat tentang isterinya telah menjadi tular untuk beberapa ketika.
“Jom kita ziarah keluarga mereka?”
Kata putus telah diambil.
Hanya berbekalkan alamat rumah, gerak langkah diatur menuju ke destinasi. Kehadiran kami disambut mesra oleh lelaki itu.
“Duduk dulu ya nak, makcik tengah makan, anak cik tengah suapkan.”
Sedang bertanya khabar, gerak mata memerhati tingkah lelaki itu. Berbekalkan minyak cap kapak, dia mengurut tangannya.
“Kenapa tu pakcik?”
Ada suara yang menyapa tingkahnya.
“Pakcik terjatuh masa nak tengok air dekat tangki rumah, sebab dah beberapa hari ni air kecik, bila tanya jiran, diaorang kata tak ada apa-apa masalah.”
Sepi seketika.
“Pakcik risau jadi apa-apa kat tangan ni, sebab tangan ni yang nak guna untuk uruskan makcik.”
Tangannya masih lagi mengurut tanpa henti.
Waktu itu satu per satu kisah duka disingkap kembali.
“Tahun 2004, sehari sebelum puasa, kami pergi makan dekat restoran, tiba-tiba makcik pengsan. Bawa pergi hospital, masuk ICU, rupanya ketumbuhan pecah di kepalanya. Dan perlukan pembedahan secepat mungkin. Pakcik akur, pembedahan diteruskan. Kehidupan kami berubah sekelip mata.”
Lelaki itu yang dulunya seorang jurutera dan isterinya seorang pegawai kewangan, kini hanya menetap di rumah bagi menguruskan isterinya.
Gerak mata memerhati cara lelaki itu melayani isterinya. Keikhlasan.
Kasih sayang. Kesetiaan.
Itu yang kami rasai sepanjang bersama dengan keluarga ini. Sampaikan terdetik waktu itu,
“Ya Allah, ada lagi orang macam ni kat dunia ni.”
Seringkali kita didoktrin dengan kisah perceraian rumah tangga atas sebab kekurangan atau penyakit daripada suami atau isteri.
Tapi kisah ini kisah lain.
Kisah yang benar berlaku dialam nyata ini.
Keikhlasan seorang insan bergelar suami terhadap seorang isteri. Maaf. Lupa untuk dinyatakan.
Isterinya menghidap barah otak, penyakitnya tidak dapat dikesan awal sehingga detik waktu bermulanya kisah duka mereka. Sebelum ini, isterinya sering mengadu sakit kepala, dan kini bahagian badan sebelah kiri telah lumpuh, juga kotak suaranya tidak berfungsi sejak tahun
2004.
Sepanjang mendengar kisahnya, tiada satu pun keluhan yang kami dengari.
“Alhamdulillah pakcik bersyukur, makcik dah bagi pakcik dua orang anak. Sepasang. Tak apalah hari ini makcik yang sakit. Kita tak tahu bila hari kita sakit. Semua yang ada di dunia ni hanyalah pinjaman untuk kita, sampai masa Allah nak tarik balik, Allah akan tarik semula.”
Terkesima kami mendengar tutur bicaranya.
Jelas tergambar ketabahan seorang insan bergelar lelaki.
“Pakcik tak berkerja?”
“Tak. Sebab pakcik yang uruskan makcik. Tawakal. InsyaAllah ada rezeki untuk kami esok hari.”
“Ada apa-apa yang boleh kami bantu?”
The rest is history.
Sungguh. Sesi ziarah kali ini membuatkan kami kembali koreksi diri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selasa
28 Jun 2016
Perkembangan terbaru.
Kini isteri Pakcik Radzi berada di Hospital Shah Alam. Wad Perempuan 10B katil 18. Menghidapi kencing manis dan kakinya bakal dipotong.
Masa diluangkan seketika selepas bekerja untuk menziarahi isteri Pakcik Radzi di hospital. Hati bagai dirobek waktu melihat keadaan isterinya. Hebat dugaanmu duhai pakcik.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Al-Baqarah : 286)
Selasa
30-08-2016
“Akak, mak dah tak ada.”
Pesanan ringkas daripada anak Pakcik Radzi membuatkan aku terkesima seketika.
Sungguh, kematian itu adalah sebaik-baik peringatan untuk kita. Al-Fatihah buat Makcik Noraini Othman yang telah pergi mengadap Ilahi pada tanggal 30 0gos 2016. Setelah 12 tahun terlantar akibat barah otak yang dihadapinya. Akhirnya Allah menjemputnya kembali ke tempat yang terbaik disisiNya.
Melihat wajah itu. Melihat air mata itu. Mendengar esakan itu.
Ada sayu membungkam dijiwa.
Moga Allah kurniakan kekuatan hati kepada Pakcik Radzi sekeluarga dalam menempuhi dugaan hidup ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ini.
Mungkin satu kisah daripada banyak kisah yang aku lalui sepanjang terjebak dalam dunia kesukarelawanan.
Kisah yang masih tersemat dihati hingga ke hari ini.
Kisah yang membuatkan aku bersyukur atas setiap kurniaan Ilahi.
Kisah yang membuatkan aku tetap berhasrat untuk ‘memberi’.
Setiap hari kita belajar. Belajar menilai erti hidup ini.
Setiap sebutir nasi yang kita makan, pasti akan ada keringat para petani yang tercurah, pasti akan ada masa yang perlu dikorbankan, pasti akan ada kisah yang membaluti lingkaran masa ini.
Bantu mereka yang memerlukan.
Jika bukan dengan duit, bantu mereka dengan masa dan tenaga yang ada. Kau, aku, kita, dia, dan mereka sama sahaja.
Cuma kita beruntung. Kerana Allah kurniakan kita rezeki berupa masa, tenaga dan kekuatan untuk kita bekerja.
Mereka? Mereka melalui fasa dugaan yang berbeza dalam hidup ini. Medan ini mengajar aku tentang sesuatu.
Memandang dunia dari satu sudut yang berbeza
Teringat kata-kata daripada seseorang;
Kerana kematangan itu ada pada ilmu dalam diri, dan nilai dalam memandang kehidupan, dan kerana kematangan itu ada pada hati yang selalu membawa jiwa seorang hamba.
Pencapaian tertinggi yang aku harapkan dalam dunia kesukarelawanan ini adalah untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke luar negara. InsyaAllah satu hari nanti, dan mungkin juga satu hari nanti aku akan berkhidmat secara sepenuh masa di medan lapangan ini. Doakan aku kawan!
Akhir kata, setiap kali sertai program kebajikan, sematkan ini dalam diri; bawa jiwa buat mereka.