Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh Norsamila Samsudin

Hai Volunteers,

Masih ingat mengenai pencarian bakat penulisan dalam #PenaMVM yang kami kongsikan sebelum ini? Bermula bulan Ogos yang lepas, MVM telah mengambil inisiatif membuat satu program untuk mengembangkan bakat berkarya dalam  kalangan sukarelawan. Bertitik tolak daripada itu, team MVM telah memilih tajuk ‘Aku Seorang Sukarelawan’ sebagai tajuk pertama untuk program ini.

Alhamdulillah, banyak penyertaan yang telah kami terima daripada sukarelawan yang ingin menunjukkan bakat mereka dalam berkarya. Di sini, kami kongsikan kepada anda pemenang  tempat ketiga bagi #PenaMVM bulan Ogos iaitu Saudari Norsamila Samsudin. Semoga anda mendapat manfaat daripada cerpen beliau. Selamat membaca!

CERPEN:  AKU SEORANG SUKARELAWAN

Penulis: Norsamila Samsudin

BILA bercakap tentang sukarelawan, ada dua perkara yang aku belajar darinya.

Pengorbanan dan persaudaraan.

Bila kau bersedia untuk bergelar seorang sukarelawan, kau perlu berani untuk mengorbankan masa, tenaga dan perasaan bangga diri!  Dan, seorang sukarelawan juga perlu bersedia untuk bekerjasama dengan manusia yang sebelum ini bukan siapa-siapa padanya tetapi bila bertemu, mereka itu adalah saudara yang perlu kau santuni.

Aku kenal Mira daripada tugas sukarelawan yang aku lakukan sewaktu Perhimpunan Anak-anak Yatim Se-Malaysia, anjuran Fakulti Komunikasi Massa, UiTM Shah Alam.  Mira merupakan salah seorang peserta program.  Ya.  Dia seorang anak yatim yang pada ketika itu berumur 15 tahun.

Mula-mula kenal dia, memang aku tidak berkenan langsung dengan perangainya!  Kawan-kawan aku juga memang sudah awal-awal berkata yang mereka tidak ingin menguruskan aktiviti yang melibatkan budak Mira ini.

Aku pun berdoa perkara yang sama.  Lebih baik menjauhi daripada menyakiti dia dengan kata-kata tajam yang aku mungkin tidak sengaja lepaskan bila dalam keadaan bengang dan tertekan.

Tetapi kuasa Allah mengatur segala-galanya.  Menguji kesabaran aku.  Menguji iman aku yang lemah senipis kulit bawang.  Aku dipujuk oleh Zira untuk membantu dia sebagai mentor bagi mengendalikan “Forum” yang ahli panelnya perlu dilakonkan oleh peserta anak-anak yatim ini.

“Kena cari budak yang nak sertai forum,” kataku bila Zira seolah-olah tidak tahu bagaimana nak bermula.

“Macam mana?  Apa kriterianya?”

“Kalau kau nak senang, cari je yang dah pernah jadi ahli panel forum kat sekolah.  Lepas tu dia akan guide rakan-rakan lain.  Tapi kalau nak susah, cari yang freshZero.  Kita latih dari awal.  Beri pengalaman pada mereka.  Ianya akan jadi kenangan dan boleh menjadi cerita bila balik dari program ini.  Tetapi kita tak ada banyak masa.  Bukan mudah nak latih jika mereka langsung tiada pengalaman.”

Termenung Zira seketika.  “Jom.  Kita pergi ke dorm siswi.  Cari malam ni juga.  Sekurang-kurangnya dah boleh nampak apa yang kita ada dan apa yang kurang.”

Aku mengangguk.

“Forum tu macam-mana kak?”

Soalan pertama itu sudah membuatkan dahi merenik peluh.  Kalau forum pun tidak tahu macam mana nak melakonkannya?  Aku pandang Zira.  Kemudian memandang semula kepada adik-adik yang menanti jawapan.

“Pernah tengok Forum Perdana Ehwal Islam?”  Entah kenapa siaran itu yang melintas di minda.

Masing-masing mengangguk.

“Hah! Macam itulah yang kita nak buat.  Kita nak latih adik-adik untuk bercakap di atas pentas macam ahli-ahli panel tu.  Siapa yang nak?”

Senyap.

“Saya tak boleh.  Saya dah dipilih untuk bacaan sajak.”

“Saya pun tak boleh.  Saya terlibat dengan lakonan.”

“Saya terlibat dengan berbalas pantun.”

Aku dan Zira kembali berpandangan.  Dan Zira mula bersuara, “Yang mana sudah terlibat dengan aktiviti lain boleh balik ke katil masing-masing.  Hanya yang masih belum ada aktiviti sahaja yang tinggal.”

Seorang demi seorang bangun.  Yang tinggal adalah dalam sepuluh orang.  Dan salah seorang daripadanya ialah Mira!

***

“SIAPA yang nak jadi pengerusi majlis?” tanyaku cuba memancing perhatian.

Tiada.

“Emm … tak payah buat forumlah,”  tiba-tiba Mira bersuara lantang.  Sinis bunyinya.  Adik-adik anak yatim yang lain menjeling tajam.

“Kau sahajalah yang jadi pengerusi kalau dah banyak sangat mulut,” perlahan sahaja omelan itu tetapi cukup jelas untuk kami yang berada di sekeliling ini mendengar.  Termasuk Mira yang bermuka selamba.  Letusan kata itu keluar dari bibir Ain Maisarah.  Salah seorang peserta juga.

“Boleh, Mira?” Aku cuba mengendurkan suasana yang sudah mulai tegang.  Bukan mudah hendak menguruskan perasaan anak-anak yang pernah melalui kehilangan.  Perasaan mereka begitu halus, lebih halus daripada sehelai benang.

“Bolehlah kalau ada yang nak mengajar …” meleret, ego dan sinis.  Kesinisan yang ditujukan pada aku dan Zira.  Aku mula beristighfar.  Ini kerja sukarela yang matlamatnya untuk pembentukan sahsiah remaja.  Andai aku tidak mampu bersabar, bagaimana aku ingin membentuk mereka?  Sabar … sabar.

“Inshaallah akak dan kak Zira akan kongsikan ilmu kami dengan adik-adik semua.  Cuma kami perlukan kerjasama dan idea juga.  Bukan semuanya daripada kami.  Akak percaya idea adik-adik lebih hebat!”

“Entah, tak tahulah.  Hebat tak hebat …” sekali lagi suara beracun Mira merobek hati aku yang memang tak kuat.

Masa berlalu.  Aku dan Zira sudah pun membahagikan tugasan kepada adik-adik yang terpilih untuk menjadi ahli panel forum kami.  Itupun setelah beberapa kali telinga menerima bilah kata yang melukakan daripada Mira.

“Kau rasa, diaorang boleh buat?”

“Inshaallah,” balasku sepatah.  Hati hanya berserah.  “Kita tengok esok macam mana.”

***

“MIRA cuba dulu,” arahku ingin melihat Mira beraksi.  Adakah sehebat kata-kata yang sering dilontarkan setiap hari?

Diam.  Matanya hanya memandang pada kertas di tangan.  Aku tidak pasti sama ada dialog sebagai seorang pengerusi forum sudah disiapkan atau belum.  Aku hulur tangan pada dia.  Kertas dialog bertukar tangan.  Anak mataku liar menjamah setiap susunan aksara di tinta putih hasil tulisan Mira.

Terkesima aku!  Hebat budak ini.  Tetapi kenapa tidak dibacanya?

“Kenapa Mira tak baca?  Dah ok sangat ni.  Pandai Mira buat dialog.”

Dia yang menunduk terus memanggung kepala memandang pada aku. “Betul ke?” tanyanya tidak percaya.

“Eh, betullah.  Kata tak pernah masuk forum … tup-tup keluar dengan idea yang hebat.  Tipu akak ya?” usikku pada dia.

Tiba-tiba wajahnya bertukar mendung.  Gadis yang selama ini cukup berbisa kata-katanya memandang aku dengan kerlipan mata mengandungi molekul bercahaya.

“Tak pernah ada orang puji saya.  Semua orang benci saya.  Semua orang jauhkan diri daripada saya.”

Terdiam aku seketika.  Aku mengengsot mendekati Mira.  Tangannya aku genggam.  Aku melambai kepada adik-adik yang lain agar duduk serapat yang mungkin.  Aku minta agar kami semua berpegangan tangan.

“Adik-adik yang akak sayang.  Allah selalu buka ruang untuk kita tanpa melihat siapa diri kita.  Kadang-kala kita ini terlalu cepat menjatuhkan hukuman pada orang.  Terlalu mudah membuat penilaian.  Termasuklah akak.  Mira, akak minta maaf.  Akak juga awal-awal lagi sudah menilai yang buruk pada Mira.

Sedangkan sebenarnya Mira hanya seorang yang inginkan perhatian dan kasih sayang seperti yang lain.  Tetapi kami tidak faham.  Maafkan kami, Mira.”  Tubuhnya kudakap erat.  Dan seorang demi seorang menghampiri Mira dan memeluknya erat.  Aku lihat dia menangis.

“Mira juga minta maaf, pada kakak berdua dan kawan-kawan.  Betul kata akak, Mira rindukan perhatian.  Maafkan Mira.  Boleh kita mula?  Beri Mira satu peluang, inshaallah akan Mira buktikan.”

Setiap yang berlaku ada hikmah yang Allah sembunyikan.  Hari ini kita mungkin membenci apa yang ada depan kita, tetapi tidak mustahil suatu hari kita akan merindui semua itu dan bersyukur dengannya.

 

TAMAT