“Bantu Aira & Asyraf teruskan hidup, boleh?
Secara normalnya, setiap bayi mempunyai rutin hidup yang indah dan ceria. Namun, fitrah itu kurang dirasai oleh salah seorang insan terpilih dalam cerita ini. Aira Arisyah, 10 bulan sedang menghidapi penyakit Congenital Central Hypoventilation Syndrome (CCHS) atau lebih dikenali sebagai masalah kegagalan sistem pernafasan ketika tidur.
Si comel ini menderita penyakit tersebut sejak lahir. Walaupun baru berumur 10 bulan, Aira kerap dikejarkan ke hospital apabila demam, sesak nafas dan sebagainya. Jarak yang jauh dari rumahnya di Bukit Beruntung ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira hampir 52 km itu satu cabaran buat ibu dan ayahnya. Tambahan pula, kebiasaannya Aira akan ditahan di wad untuk beberapa hari bagi menjalani rawatan susulan.
Kak Mariam, ibu kepada Aira mengadu bahawa pendapatan suaminya sebagai pemandu Grab belum mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan rawatan, perubatan, penyelenggaraan mesin, belanja dapur, sekolah dan sebagainya. Sebelum berkhidmat sebagai pemandu Grab, suaminya merupakan pekerja kilang di Puchong namun akibat kerap mengambil cuti kerana menguruskan kesihatan Aira; berulang alik ke hospital, akhirnya dia terpaksa diberhentikan.
Di rumah, Aira bergantung sepenuhnya pada mesin oxygen concentrator, ventilator, humidifier, suction machine dan sebagainya. Tiub ventilator sentiasa dipasang di bahagian kerongkongnya untuk bernafas. Bukan itu sahaja, malah Aira juga mengalami sakit jantung berlubang.
Namun, Aira tidak keseorangan kerana abangnya, Haris Asyraf, 5, turut menderita penyakit yang sama sejak lahir. Setiap hari Asyraf bergantung pada ventilator untuk bernafas, sama seperti adiknya Aira. Suction machine perlu digunakan bagi waktu-waktu tertentu sekiranya lendir kahak terkumpul dalam tiub. Selain menghidap CCHS, Haris juga mengalami masalah usus yang memerlukannya memakai beg kantung najis setiap masa.
Oxygen concentrator yang digunakan Aira adalah pinjaman sahaja daripada pihak hospital. Untuk memiliki oxygen concentrator sendiri, Kak Mariam tidak mampu membelinya kerana harganya yang mencecah ribuan ringgit.
Selain itu, catherer mount Aira perlu ditukar selang seminggu. Ini bagi menjamin kebersihan pengudaraan Aira. Tiub dari humidifier ke kerongkong Aira yang sedia ada hanyalah tiub pakai buang. Aira perlukan tiub baharu yang boleh digunakan untuk tempoh yang lama. Namun, tiub sebegitu agak mahal dan Kak Mariam tidak mampu membelinya.
Manakala abangnya Asyraf pula perlukan phlegm suction machine yang baru kerana phlegm suction machine kepunyaannya yang asal, sudah mulai rosak kerana telah lama digunakan sejak Asyraf bayi lagi sehinggalah umurnya sekarang, lima tahun.
Selain itu, sama seperti Aira, Asyraf perlukan stok catherer mount untuk kegunaan jangka masa panjang. Reusable tube dari humidifier ke kerongkong Asyraf juga diperlukan bagi tahan lebih lama dan tidak mudah rosak. Mesin ventilator Asyraf pula memerlukan stok air filter bagi menjamin kebersihan oksigen.
Namun, kesemua aksesori mesin perubatan tersebut bukanlah murah. Kosnya mencecah sekitar tujuh ribu ringgit dan ianya di luar kemampuan Kak Mariam sendiri. Apatah lagi pendapatan suaminya sebagai pemandu Grab cukup-cukup makan.
Justeru, Unit Bantuan Salam MVM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar sudi untuk memberi sumbangan dan tajaan kepada kami bagi membeli barang keperluan perubatan adik Aira & Asyraf demi kesihatan serta keselesaan hidup dua beradik ini.
Semoga sumbangan, usaha dan libat sama para penyumbang ini mendapat keberkatan serta keredhaan Allah Taala. Insya Allah.