Bantuan Salam: Anda Lapar?

 

BANTUAN SALAM: ANDA LAPAR?

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM

Sewaktu kami menaiki tangga menuju ke rumahnya di tingkat 5, hidung kami digigit bau rempah yang enak semacam. Hairan juga, mana datangnya pula bau rempah di rumah pangsapuri sebegini. Ketika tiba di rumahnya, sejurus pintu dibuka, bau semerbak tadi datang dari dapur yang sedang berasap.

Rupanya tuan rumah sedang menumis sambal ayam di kuali, dan menggoreng ayam berempah di kuali yang satu lagi. Serta-merta hidung dan perut kami berkeroncong. Tambahan pula sebelum gerak dari pejabat, tidak sempat menjamah makanan tengahari terlebih dahulu.

En. Hanafi Radsali, 40, asnaf yang kami lawati hari itu merupakan peniaga nasi lemak ayam berempah. Isterinya, Suhaibah Kamarul Bashah, 39, pula mengambil tugas memasak segala jenis menu jualan, termasuklah rendang, sambal paru-paru dan sebagainya.

Kak Suhaibah sedang mengupas bawang merah untuk ditumis. Plastik hitam di sebelahnya ialah bungkusan bekas-bekas kecil dan barangan niaga yang lain.

 

MACAMANA BOLEH BERNIAGA?

Sebenarnya, dulu En. Hanafi berkhidmat di salah sebuah syarikat pengeluar kereta. Besar juga tanggungjawabnya ketika di sana. Namun akibat faktor kerja berat, sedikit sebanyak memberi masalah kepada kesihatannya. En. Hanafi mengalami masalah ‘slip disc’ yang berlarutan sehingga kini.

Disebabkan masalah kesihatan menganggu prestasi kerja, juga demi menjaga reputasi kerja, pihak syarikat memberi kata putus untuk memberhentikan En. Hanafi daripada perkhidmatan beserta pampasan.

Berkenaan tuntutan caruman SOCSO, pihak hospital yang menguruskan rawatannya memberitahu bahawa masalah kesakitan tulang belakang yang dialaminya belum mencapai kadar had yang dibolehkan untuk tuntutan caruman tersebut. Dalam erti kata lain, tulang belakangnya belum begitu kronik untuk membolehkannya mendapatkan caruman itu.

Pasrah dan redha, En. Hanafi pulang ke pangkuan keluarga dan menyambung kehidupan dengan memulakan perniagaan nasi lemak ayam berempah. Itulah satu perubahan yang dilakukan dalam hidupnya; niaga. Itupun hingga ke hari ini, En. Hanafi mengadu tulang belakangnya kadangkala sakit dan sukar untuk berdiri lama. Namun demi keluarga, dia tekad teruskan.

 

AYAM REMPAH, ORANG DAN RAGAM

Mereka berniaga pada hari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 4 petang hingga 9 malam. Setiap hari Kak Suhaibah akan sibuk di dapur menyiapkan makanan, manakala En. Hanafi menjalankan tugas menguruskan persekolahan anaknya ketika pagi dan tengahari. Siap segala makanan, semua barangan niaga akan dibawa turun dari tingkat lima ke kereta.

Sepanjang waktu niaga, En. Hanafi memberitahu bahawa waktu puncak pelanggan datang membeli ialah pada jam 6 ke 6.30 petang, di mana ketika itu orang baru pulang dari tempat kerja. Manakala sekitar jam 7 hingga 8 malam, pelanggan mulai berkurangan, mungkin sebab ramai dah balik rumah, dan jam 8 ke atas hanya beberapa orang sahaja yang datang.

Setiap hari mereka mampu menjual sebanyak 60 bungkus. Itu satu jumlah yang besar bagi mereka. lokasi gerai mereka pula tidak jauh dari rumah, dan ‘port’ nya pula agak strategik. Terdapat banyak lagi gerai lain yang turut menjual makanan seperti char kuey tiaow, western food, makanan bergoreng dan banyak lagi.

Antara barangan niaga yang disumbang oleh pihak zakat.

BUKAN BIASA-BIASA

Untuk makluman semua, En. Hanafi pernah menyertai kursus asas perniagaan yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor beserta sijil penghargaan. Pihak zakat menyediakan bantuan perniagaan sebanyak RM 5,000 di mana RM 3,000 dijadikan modal pusingan manakala RM 2,000 untuk membeli segala jenis barangan niaga termasuklah bekas-bekas, dapur, periuk, tong nasi, kanopi, meja dan sebagainya.

Mereka berniaga di bawah seliaan dan pemantauan Teras Ekonomi Asnaf (TERAS) di mana perniagaan mereka akan dinilai dari segi komitmen, usaha, keuntungan, cara pengurusan dan sebagainya. Sekiranya berpeluang, mereka akan ditawarkan untuk meneruskan kursus kedua dan akan mendapat bantuan yang lebih besar seperti sumbangan lori perniagaan.

 

APA MISI DI SEBALIK BAU REMPAH?

Walaupun sudah mempunyai kelengkapan niaga yang cukup, pelanggan tetap dan hasil jualan memberangsangkan, namun akibat kondisi badannya yang kurang sihat, ianya agak membebankan dirinya. Masakan tidak, dalam keadaan sakit tulang belakang, setiap hari dia perlu berulang-alik membawa barangan niaga dari rumah di tingkat 5 ke gerai.

“Abang kalau boleh sebenarnya nak premis. Barang semua dah ada. Tinggal premis je. Nanti boleh masak dan jual kat situ terus. Takdalah sakit-sakit lagi nak kena buat kerja berat,” jelasnya.

Apa yang dikatakannya itu betul. Namun proses untuk mendapatkan sebuah premis itu bukan mudah. Kena ada modal yang cukup. Tapi selain itu, En. Hanafi ada idea lain untuk menambah sedikit pendapatannya, iaitu menjual air balang. Katanya, satu jenis minuman pun sudah cukup sebab peniaga lain pun dah jual air balang juga.

Kami daripada Unit Salam MVM berasa kagum dengan En. Hanafi atas usahanya dalam mencari pendapatan menyara keluarga. Tambah pula dia ialah peserta kursus asas perniagaan anjuran zakat & TERAS. Semestinya usahawan asnaf sepertinya bukan calang-calang orang. Ada visi dan misi yang besar. Sama-samalah kita semua mendoakan agar En. Hanafi dan isterinya menjadi usahawan asnaf yang berjaya satu hari nanti. Ameen.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.