Oleh: Imran Abd Moin
Masihkah ingat lagi kisah akan seorang bapa tunggal yang berusia 34 tahun ini? Dialah yang bapa, dialah ibu kepada empat orang anak yang berusia dari tujuh hingga 13 tahun.
Teratak mereka yang terletak di sebuah pangsapuri dekat Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur ini didiami mereka lima beranak tanpa seorang suri rumah.
Nazri telah berpisah dengan bekas isterinya pada suatu masa dahulu. Sehingga kini, dia masih lagi berstatus sebagai seorang duda yang terus tabah membesarkan anak-anaknya sendirian.
Sejarah hitam pernah menghantui kehidupannya pada suatu ketika dahulu hingga mengakibatkan dia kehilangan tempat mencari sesuap nasi. Namun, sejarah hanyalah sejarah, keazaman Nazri untuk tidak lagi kembali ke arah itu ialah dengan memikirkan nasib anak-anaknya sekarang.
Anak-anak menjadi perangsang kepada kebangkitan Nazri sekarang, dia kini gigih untuk mencipta dan mencari peluang pekerjaan. Dia tidak mengira kerja apa pun, asalkan ianya halal.
Bekas anggota polis ini kini bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai mencuci kereta di sekitar kawasan perumahannya. Pendapatannya banyak bergantung kepada komisen kereta yang dicucinya, iaitu RM 1 bagi sebuah kereta.
Tukang Tebar Roti Canai
Nazri juga menyatakan bahawa dia juga pernah membantu peniaga roti canai di gerai sekitar Seksyen 1, Wangsa Maju. Dalam masa yang sama, sedikit sebanyak kemahiran menebar roti canai itu tersemai di dalam dirinya.
Apa yang diimpikan olehnya, satu hari nanti dia dapat membuka sendiri gerai roti canai. Kami sendiri melihat bahawa Nazri mempunyai minat yang serius dalam menjalankan perniagaannya tersebut.
Tetapi buat masa ini, dia tidak dapat menjalankan perniagaan itu kerana beberapa faktor, antaranya ialah kekurangan alatan seperti meja lipat, sudip, periuk besar dan paling utama iaitu kanopi untuk dia bertapak menjalankan perniagaan roti canai itu.
Selain roti canai, Nazri juga berkebolehan untuk menebar dan menghasilkan makanan yang berasaskan tepung yang lain seperti roti telur, roti bom, murtabak dan banyak lagi. Salah satu menu istimewa yang ingin dijual oleh Nazri ialah murtabak ayam percik.
Nazri berhasrat untuk menjual murtabak ayam percik bermula pada bulan puasa ini di bazar Ramadan sekitar Wangsa Maju. Dia juga turut berkata, menu tersebut unik kerana jarang orang menjualnya dan Nazri menjanjikan rasa yang lain dari yang lain.
Fokus Kepada Anak-Anak
Walau bagaimanapun, apa jua pekerjaan atau perniagaan yang dijalankan oleh Nazri adalah demi memastikan anak-anaknya mendapat kehidupan yang selesa.
“Apa-apa yang saya buat, saya fokus dekat anak-anak je sekarang, nak fikir kawan-kawan ke banyak yang payah nak dipercayai sekarang ini,” jelasnya.
Semoga apa yang dihajatkan oleh Nazri akan diberikan oleh Allah SWT, lebih-lebih lagi menjelang penghulu segala bulan, Ramadan Al-Mubarak ini.
Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donationmvm.org/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Sumbangan anda amatlah dihargai oleh kami, semoga Allah membalas jasa.