KORBAN KOTARAYA 2019 MEMBERIKAN KEGEMBIRAAN KEPADA MASYARAKAT
Syukur Alhamdulillah pada 11 Ogos 2019 (Ahad), MVM dengan kerjasama Yayasan Maghfirah telah mengadakan Ibadah Korban Kotaraya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Seramai 15 sukarelawan telah membantu melancarkan program ini dengan baik.
Program Korban Kotaraya 2019 merupakan program kerjasama antara MVM dan Yayasan Maghfirah yang berintipkan kemeriahan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama dengan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).
Program Korban Kotaraya 2019 telah dijalankan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Sebanyak 8 ekor lembu selamat disembelih dan telah diedarkan di sekitar kawasan PPR Kerinchi.
Antara aktiviti program ialah menyembelih lembu, melapah daging, membungkus daging, merewang (memasak) bersama ahli qariah masjid serta pengagihan 15 pek rezeki kepada penduduk PPR yang terpilih.
PERJALANAN PROGRAM YANG PADU SEMASA KORBAN INI BERLANGSUNG
Seawal jam 7 pagi, semua sukarelawan dan peserta korban kotaraya telah hadir dan berkumpul di Masjid Al-Ikhlasiah, Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Mereka telah diberikan penerangan dan taklimat berkaitan program itu.
Setelah itu pada jam 8.30, semua yang hadir menunaikan solat sunat aidiladha terlebih dahulu. Mereka berjemaah di Masjid tersebut bersama penduduk yang hadir pada ketika itu. Suasana pada ketika itu sangat meriah sekali.
Kemudian, aktiviti yang utama pun telah bermula iaitu sesi sembelihan lembu di mana 8 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada penduduk disana. Semua memberikan kerjasama yang padu ketika sesi sembelihan lembu itu berlaku.
Seterusnya, sesi melapah lembu juga telah diadakan dan ramai sukarelawan MVM yang turut membantu melapah dan membungkus daging yang telah dipotong-potong dan dibahagikan untuk diedarkan.
Terserlah keikhlasan mereka ini membantu apabila mereka tersenyum gembira bersama rakan-rakannya apabila melapah dan membungkus daging lembu kerana semua kerja-kerja itu tidak mudah terutama kepada seorang remaja dan perempuan tetapi tidak kepada sukarelawan muda MVM ini yang begitu semangat membantu pada hari kejadian tersebut. MVM ucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu.
Aktiviti diteruskan pada jam 2 petang iaitu sesi pengagihan daging korban di Masjid dan ke rumah-rumah yang terpilih untuk diberikan. Semua sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam sesi pengagihan ini.
Sebanyak 15 rumah yang telah mereka santuni dan memberikan daging korban ini. Tim MVM dan sukarelawan telah pergi ke blok-blok rumah untuk diagihkan daging korban dengan dipecahkan beberapa kumpulan. Ramai keluarga yang tersentuh gembira dengan bantuan yang diberikan oleh MVM dan tim sukarelawan. Mereka sangat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan tersebut.
Akhir sekali, majlis berakhir dengan penyerahan sijil dan bergambar bersama. Semua yang terlibat tersenyum gembira dan puas walaupun di hari raya pertama mereka terpaksa beraya dengan berprogram korban sekejap di KL.
MVM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Semoga semua yang membantu dan dibantu memperoleh manfaat bersama.
Kami kongsikan gambar-gambar aktiviti sepanjang program berlangsung: