Pontian, merupakan salah satu daerah di negeri Johor. Tarikan utama daerah ini adalah terletaknuya Tanjung Piai, iaitu penghujung bagi benua Asia. Sudah semestinya menjadi suatu kebanggaan bagi penduduk Pontian kerana terletaknya penghujung benua Asia yang meliputi negara-negara seperti China, Myammar, Thailand dan lain-lain. Namun, baru-baru ini Pontian telah dilanda dengan bencana alam yang tidak terduga.
Meliputi 10 buah mukim di daerah ini, MVM bekerjasama dengan Majis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Majlis Belia Daerah Pontian (MBDP) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama dalam melaksanakan Misi Banjir Johor 2020.
Menurut salah seorang penghulu mukim di daerah Pontian, banjir kilat tersebut adalah disebabkan masalah sistem perparitan yang kurang sistematik dan tidak dapat menampung air yang terlalu penuh akibat hujan lebat.
Proses Agihan Bantuan
Tanggal 27 Jun 2020, MVM berangkat ke Pontian menaiki sebuah van MBM beserta dua orang kakitangan mereka. Hari pertama lebih fokus kepada persediaan dan persiapan untuk hari serahan pada 28 Jun 2020. Antara persiapan yang dilakukan termasuk membungkus kit pembersihan diri yang mengandungi penutup muka dan cecair sanitasi tangan, menampal pelekat logo MVM di permukaan pek beras, persedian logistik dan mesyuarat penyelarasan tempat agihan.
MBDP diwakili oleh Yang Di Pertua mereka sendiri, Mohd Iskandar Selamat dan beberapa sukarelawan belia daerah Pontian yang ringan tulang bersama-sama melancarkan perjalanan program. Usaha sama ini juga tidak akan menjadi lebih teratur tanpa bantuan JPAM Pontian yang sudi menyediakan sebuah lori untuk mengangkut semua barangan bantuan.
Barangan bantuan diberi dalam bentuk pek makanan yang mengandungi beras, biskut kering, bihun, sardin tin, minuman 3 dalam 1 dan juga sebuku roti. Pek makanan amat perlu bagi keluarga-keluarga yang ingin memulakan semula kehidupan sewaktu pasca banjir.
Sekitar 300 penerima bantuan yang terdiri daripada mangsa banjir dan keluarga miskin dari 10 buah mukim di daerah Pontian. Mukim Pontian, Benut, Air Masin, Ayer Baloi, Pekan Nenas, Rimba Terjun, Serkat, Sungai Pinggan, Sungai Karang dan Pengkalan Raja.
Keadaan Pasca Banjir
Seperti di kawasan-kawasan yang pernah dilanda banjir, keadaan kawasan itu sama ada ia terlalu teruk atau tidak terlalu teruk. Bergantung kepada tahap banjir yang melanda sesebuah kawasan itu. Banjir di Pontian adalah banjir kilat sahaja, keadaan di permukaan dan di rumah-rumah sekeliling kelihatan tidak terlalu kotor dan berlumpur.
Cuma banyak harta benda yang telah rosak akibat air banjir tersebut. Perabot rumah seperti almari, sofa dan peralatan elektrik antara yang rosak. Sudah tentu, mereka perlu ‘bernafas semula’ untuk memulakan kehidupan dalam keadaan yang agak susah disamping ada dalam kalangan mereka terhimpit dengan masalah kewangan.
Peranan kita sebagai rakyat Malaysia wajar untuk terus prihatin akan keperluan yang mereka perlukan untuk dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donationmvm.org/donations/. Sumbangan anda amatlah dihargai oleh kami, semoga Allah membalas jasa.