MUSIM sejuk bakal menjelang tiba. Bagi penduduk di kawasan yang lengkap infrastrukturnya, mungkin tidak menjadi masalah untuk berhadapan dengan cuaca sejuk.
Namun tidak bagi pelarian Syria, sama ada cuaca panas, sejuk, kering, hujan dan ribut, begitulah mereka selama-lamanya. Sama, tiada bezanya. Tiada persediaan, jauh lagi berkemampuan.
Sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawab aktivis kemanusiaan dari Malaysia untuk menghantar bantuan berupa keperluan asas hadapi musim sejuk bagi pelarian tersebut.
Justeru, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dengan kekuatan enam lagi badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, iaitu Malaysia For Syria (MFS), Global Peace Mission Malaysia (GPM), Cinta Syria Malaysia (CSM), Peduli Insan Malaysia, MyFundaction dan Rizq Ar-Rahman sekali lagi meneruskan baktinya dalam menghulurkan bantuan musim sejuk buat pelarian-pelarian Syria di Lubnan kali ini.
Segalanya bermula dengan aktiviti pengasingan dan penyusunan semula barang-barang sumbangan yang dijalankan di Pertubuhan Peduli Insan Malaysia di Shah Alam pada 3 dan 4 Disember baru-baru ini dengan bantuan tenaga kerja lebih 50 sukarelawan.
Dalam usaha memastikan bantuan benar-benar ‘sampai’ meliputi keseluruhan pelarian yang terjejas, sebanyak tiga kontena bersaiz mega diperlukan untuk menyimpan dan menghantar kesemua barang sumbangan tersebut.
Barang-barang sumbangan yang dikumpul dan disusun pada hari kejadian merangkumi pakaian musim sejuk, pek makanan dan lampin pakai buang, selain kelengkapan perlindungan daripada wabak COVID-19 juga turut disertakan termasuk pelitup muka dan hidung.
Kerja-kerja pengasingan bermula sejak 9 pagi sebelum kontena pertama tiba di lokasi kejadian pada 2 petang. Seperti biasa, kesemua barangan yang telah siap disediakan itu dimasukkan ke dalam kontena.
Untuk kapisiti, kira-kira sebanyak 633 kotak bantuan serta 200 pek lampin pakai buang mampu dimuatkan dalam kontena pertama itu.
Pada keesokan harinya, kontena kedua pula tiba di sana sekitar pukul 1 pagi, manakala kontena ketiga tiba pada 3 pagi, disambut oleh wakil MFS yang bersedia di lokasi pada ketika itu.
Kerja-kerja penyusunan barang ke dalam kontena bersambung pada pagi tersebut dengan dibantu oleh barisan sukarelawan yang setia berkhidmat sejak hari pertama.
Dalam masa sama, kira-kira 300 bakul pek makanan turut tiba di sana sebelum dimasukkan ke dalam kontena.
Kontena kedua berjaya dipenuhkan dengan barangan bantuan seawal pukul 2 petang, sebelum disambung pada kontena yang ketiga. Hasil kecekapan para sukarelawan, kesemua kontena berkenaan berjaya dipenuhkan pada petang harinya, sama seperti yang dirancang.
Penat lelah para petugas NGO dan sukarelawan selepas berhempas-pulas menyusun ribuan barang ke dalam kontena selama dua hari berturut-turut diakhiri dengan sesi penutup dan bergambar beramai-ramai dari arah udara menggunakan dron.
Difahamkan, walaupun sebanyak tiga kontena yang digunakan ketika ini, namun berikutan jasa baik rakyat Malaysia yang menyumbang lebih daripada yang sepatutnya, maka satu lagi kontena tambahan bakal digunakan.
Secara kasarnya, kira-kira lebih 600 kotak barangan sumbangan boleh dimuatkan dalam satu kontena. Ini bermakna jumlah keseluruhan kotak sumbangan boleh menjangkau sehingga lebih 2,500 kotak.
Untuk rekod, nilai barangan sumbangan bagi satu-satu kontena adalah beranggaran sekitar RM350,000. Semuanya adalah daripada sumbangan awam rakyat Malaysia yang ‘mengikuti’ perkembangan misi bantuan musim sejuk ini.
Dalam pada itu, kontena pertama bantuan dijangka bakal berangkat dari pelabuhan Malaysia menuju ke Lubnan pada Ahad hari ini, manakala wakil petugas kemanusiaan dari Malaysia For Syria pula dijangka akan terbang ke sana pada 2 hingga 13 Januari 2021.
Marilah sama-sama kita doakan agar misi ini berjaya. Sudah banyak tahun MVM bersama rakan NGO lain berkolaborasi menjayakan bantuan musim sejuk buat pelarian Syria.
Tiada apa yang perlu dikatakan, cukuplah sekadar sumbangan, sokongan dan doa daripada rakyat Malaysia agar pek bantuan ini berjaya ‘tiba’ di tangan setiap pelarian Syria tepat pada masanya seperti yang dirancang.
Syria, kami datang!