” I have to do something to support my family ” – Yaya Mohamad

yaya-mohammad-quote

Dalam ruangan Inspirasi ini, kami ingin kongsikan kisah kejayaan seorang usahawanita yang berjaya iaitu Cik Puan Yaya Mohammad, 36 tahun. Beliau merupakan CEO, Moha Group. Berasal daripada Mersing, Johor dan merupakan anak ke-2 daripada 5 orang adik-beradik.

Ikuti kisah jatuh bangun beliau dalam merealisasikan impian untuk menjadi seorang ikon usahawan berjaya.

SEMUANYA BERMULA DENGAN “BIG WHY”

Terpaksa berpindah dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain adalah perkara biasa yang berlaku dalam hidup Yaya Mohammad. Membesar dalam keluarga serba kekurangan. Tidak cukup makan, tiada duit untuk bayar sewa rumah adalah antara fasa-fasa hidup yang perlu dilaluinya. Tiada latar belakang perniagaan. Semua kejayaan yang dikecapi sekarang bermula dengan “BIG WHY” iaitu ingin membantu keluarga keluar dari kepompong kesusahan. Itulah yang menjadi obor semangat kepada wanita tabah ini untuk bangkit mengubah nasib keluarga. Kini ianya sudah menjadi nyata apabila beliau kini adalah pengasas kepada 3 syarikat berasaskan kecantikan dan sebuah syarikat pembinaan. Pasti ada cerita menarik yang boleh kita gali dari kejayaan wanita bernama Yaya Mohammad ini.

GAJI RM1000 CUKUP?

Selepas tamat pengajian di sebuah universiti, Yaya Mohammad tidak memilih kerja. Kerja pertamanya bergaji RM1000. Mula kerja dalam bahagian teknikal. Turun site. Berpanas berhujan. Berulang alik dari Kajang ke tempat kerja dengan motosikal. Bagi seorang wanita muda ketika itu, kerjayanya sangat mencabar. Namun satu perkara pertama yang beliau lakukan ketika mendapat gaji ketika itu adalah memperuntukkan sedikit jumlah gaji untuk derma. Walaupun dengan gaji yang cukup-cukup makan, Yaya Mohammad berpegang kepada pesan ibunya supaya membiasakan diri untuk menderma. Cukup ke dengan gaji RM1000 nak bayar sewa rumah, bayar bil, beri mak dan ayah dan belanja lain-lain? Menurut Yaya Mohammad ianya cukup. Malah boleh menyimpan lagi. Semua itu beliau lakukan tanpa gagal dengan gaji RM1000. Apa yang penting hidupnya tenang.

 MERASA DUIT RM3000 DENGAN BERNIAGA ONLINE

Semasa bekerja makan gaji beliau sudah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan atas talian. Kerana minat yang sangat tebal untuk berniaga beliau tidak berputus asa sehinggalah pendapatan berniaga secara online telah mencecah RM3000 sebulan. Duit gaji tetap beliau simpan untuk membantu keluarga di kampung. Nak dijadikan cerita, ketika itu syarikat tempat beliau bekerja dalam proses untuk mengecilkan jumlah kakitangan dan menawarkan skim persaraan awal atau VSS kepada kakitangan yang berminat. Yaya Mohammad melihat perkara itu sebagai peluang. Maka beliau mengambil keputusan untuk menawarkan diri mengambil VSS. Dengan wang VSS itulah Yaya Mohammad melakukan langkah yang besar dalam hidupnya iaitu memulakan perniagaannya sendiri dengan membuka spa pertamanya Maya Beauty House. Kenapa ketika itu beliau begitu berani untuk berhenti kerja sedangkan gaji tetapnya sudah mencecah RM5000 dan belum tentu lagi perniagaan yang bakal dibina itu akan berjaya. Jawabnya :

“ I have to do something to support family.”

 PERLU KE AKU TERUSKAN SEBAB TAK UNTUNG?

Tiga bulan pertama menguruskan perniagaan sendiri memang mencabar. Dengan kecetekan ilmu pengurusan, pemasaran dan perniagaan ketika itu membuatnya hampir-hampir berputus asa. Untung tak ada. Duit yang ada pun cukup-cukup untuk bayar gaji staf. Tetapi mengenangkan semua yang dilakukan adalah bersebab, maka beliau redah juga. Tetapi bukan redah sembrono saja. Beliau mengkaji dan muhasabah diri kenapa perniagaannya ketika itu tidak menjadi. Disamping mula menghadiri kelas perniagaan dan juga seminar Yaya Mohammad meletakkan derma sebagai komitmen bulanan yang perlu beliau lunaskan. Hasilnya Tuhan tunjukkan jalan keluar dengan memberikan idea, pelanggan yang baik hati dan menggandakan keuntungan syarikat sehingalah dapat membuka 10 cawangan spa.

THE POWER OF GIVING

Beliau banyak menghadiri seminar ketika dalam proses untuk mencari ilmu mengembangkan perniagaan. Kebanyakkan seminar yang dihadirinya menekankan konsep The Power Of Giving. Perkara ini tidak hanya dipraktikkan dalam agama Islam sahaja malah ramai sahabat-sabahat niaga non Muslimnya mengamalkan konsep The Power Of Giving. Di dalam perniagaan, beliau merasakan banyak perubahan yang dialaminya apabila menderma sehinggakan bila tidak menderma atau tidak sempat menderma, beliau akan merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya dan syarikat. Beliau mengakui kejayaan syarikatnya sekarang bukan sahaja kerana strategi-strategi perniagaan tetapi juga kerana konsep derma yang diamalkan sejak beliau makan gaji lagi.

 DERMA PENYELESAI MASALAH

Betul ke kalau banyak menderma, banyaklah keuntungan dari segi wang ringgit yang kita dapat? Tidak. Menurut Yaya Mohammad dia percaya kepada konsep murah rezeki itu tidak hanya pada sebanyak mana duit yang kita perolehi. Ketenangan, dipermudahkan kehidupan, dikeluarkan dari masalah, diberi kesihatan tubuh badan dan dikurniakan kakitangan yang baik pun dikira murah rezeki. Pernah beliau ditimpa masalah yang tak diduga suatu ketika dahulu dan beliau mengambil jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut iaitu dengan bersedekah kepada orang-orang jalanan dan meminta orang yang dibantunya itu mendoakan beliau. Hasilnya dengan tidak disangka-sangka masalah yang ditimpanya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

JANGAN BERKIRA-KIRA UNTUK MENDERMA

Sebelum sesi temuramah berakhir, Yaya Mohammad sempat berpesan kepada usahawan diluar sana. Katanya sudah ramai usahawan faham tentang konsep derma boleh memberi keuntungan kepada syarikat. Tetapi apabila sudah terbiasa dengan derma dan dapat melihat hasilnya jangan berkira-berkira untuk berderma. Berkira-berkira untuk menderma bermaksud memilih orang-orang tertentu sahaja untuk diberikan derma. Beliau dengan rendah hati mengaku pernah melakukan hal ini ketika perniagaan berada di puncak. Akibatnya perniagaan mengalami musibah. Daripada ‘teguran’ itu beliau sentiasa melapangkan dada untuk menderma kepada sesiapa sahaja yang datang meminta. Sehinggakan beliau merasakan jika berlaku masalah atau kesukaran dalam perniagaan mungkin kerana tidak menderma. Hebatnya didikan ‘derma’ ini.

Semoga perkongsian dari Pengasas Moha Trading iaitu Puan Yaya Mohammad ini memberi inspirasi kepada kita semua. Mendermalah di saat kita tidak punya apa-apa lagi supaya kita mampu untuk terus menderma di saat kita punya segala-galanya.

Barangsiapa ingin doanya dimakbulkan dan dibebaskan dari kesulitan, hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang lain.”

( Hadi Riwayat Imam Ahmad )

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.