1 ‘Handphone’ Terpaksa Dikongsi 4 Beradik Sampai ‘Hang’, Ada Yang Sanggup ‘Extend’ Kelas Sebab Tunggu ‘Giliran’

Shamsuddin, antara penerima tajaan baju raya dalam program Mekar Di Aidilfitri di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini | Foto: MVM

Satu telefon pintar model lama terpaksa dikongsi tiga ke empat orang anak secara bergilir-gilir dalam satu masa. Itulah yang dirasai oleh anak-anaknya ketika mereka menjalani Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PDPR) sebelum ini.

Jelas Shamsuddin (gambar), kekangan mereka untuk menggunakan telefon yang ada menyebabkan alat peranti berkenaan terpaksa diguna sehingga mencapai kemampuan maksimumnya, selain ada yang terpaksa meminta menangguhkan kelas semata-mata ‘menunggu’ giliran.

“Telefon ke laptop ke kami memang tiada, harapkan telefon sajalah. Jadi adalah orang yang sumbang telefon tapi itupun bukan (model) barulah, tapi yang lama. Tapi bukan masalah baru atau lama, asalkan boleh guna, kan?

“Jadi diorang terpaksalah bahagi-bahagikanlah handphone tu, ada yang terpaksa ‘extend’ kelas ini hari, lepas tu baru masuk. Macam itulah, terpaksa tukar-tukar handphone. Handphone jalan je..kadang-kadang ‘hang’ handphone,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Masjid tutup, sumbangan ‘drop’ teruk

Selain itu, kelumpuhan ekonomi ketika pandemik COVID-19 agak memberi kesan kepadanya. Biarpun hanya bertugas sebagai siak di salah sebuah masjid di Petaling Jaya, namun Shamsuddin akui bahawa masjidnya turut tidak dapat lari daripada ‘kerugian’.

Ketiadaan jemaah yang hadir rentetan penutupan masjid sebelum ini amat menjejaskan. Segala kos perbelanjaan masjid bergantung kepada sumbangan jemaah, namun ‘kantung’ yang ada semakin hari semakin menipis, hinggalah akhirnya beliau sendiri pun turut terjejas.

“Pendapatan untuk keluarga saya terjejas sebab ia potong elaun masjid. Biasanya saya dapat penuh dalam RM1,200. Elaun dipotong RM300, jadi tinggal RM900 lah.

“Ketika COVID-19 sebelum ini, masjid punya pendapatan drop..sangat-sangat drop. Daripada segi kewangan memang drop habislah. Sebab sumbangan tiada, orang masuk (solat jemaah) pun tiada. Setakat tu jelah,” tambahnya.

Walaupun tinggal di kuarters masjid, namun komitmen bil air harus ditanggung sendiri. Isterinya pula hanya suri rumah, jadi elaun masjid itulah satu-satunya sumber pendapatan yang mereka ada untuk jalani kehidupan seharian.

Persediaan hari raya, separuh belanja ‘settle’

Memandangkan sumber pendapatan hanya cukup-cukup makan, maka agak sukar sebenarnya untuk Shamsuddin mengeluarkan belanja besar sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Namun beliau amat bertuah kerana keluarganya terpilih untuk mendapat sumbangan serta tajaan baju raya dalam program Mekar Di Aidilfitri di pusat fesyen terkenal KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya rasa separuh belanja saya (untuk hari raya) dah settle, ada orang support. Tahun lepas kami beli sendiri, biasanya beli kat uptown atau pasar malam. Ini first time shopping di tempat macam ini,” luahnya penuh teruja.

Shamsuddin (kanan), antara penerima tajaan baju raya dalam program Mekar Di Aidilfitri di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini | Foto: MVM

Shamsuddin adalah antara 10 keluarga asnaf yang ditaja oleh KWC sendiri, di mana setiap keluarga diberikan baucar tunai bernilai RM350 bagi membeli baju raya dan kelengkapan Aidilfitri masing-masing.

Kesemua 10 asnaf tersebut adalah penerima bantuan barangan asas daripada badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang juga merupakan penerima zakat di bawah Lembaga Zakat Selangor.

Program anjuran MVM dengan kolaborasi KWC itu adalah bertujuan memberi peluang kepada asnaf-asnaf tersebut untuk menikmati suasana membeli-belah baju raya di pusat fesyen tumpuan di ibu kota secara percuma melalui tajaan.

Walaupun Ramadan akan berakhir, MVM tetap meneruskan pelbagai kempen sumbangan untuk mereka yang memerlukan. Oleh itu, sumbangan boleh disalurkan melalui donationmvm.org atau hubungi wakil MVM di talian 012-2356854.

Ikuti juga laman Facebook Muslim Volunteer Malaysia dan Instagram @muslimvolunteermalaysia bagi mengetahui sebarang info dan projek-projek kemanusiaan terkini oleh MVM.

 

Oleh:
Nur Adnin Abdul Razak,
Penulis jemputan Muslim Volunteer Malaysia.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.