Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM
“YOU PUNYA SOLAT, YOU PUNYA HAL LA!”
Lumrah bekerja mencari rezeki dengan manusia yang tidak ada rasa hormat dan sensitiviti pada agama, akan sentiasa dimusuhi dengan kata-kata nista berbaur keagamaan.
Akibat berang dengan tindakan majikan yang agak kedekut masa bekerja, akhirnya anaknya Cik Mohd Ridwan tekad untuk berhenti kerja.
Cik Anuar Cik Idris, seorang asnaf yang kami telah ziarahi rumahnya pada Februari lalu merupakan peniaga premis makanan di Puchong.
Bapa kepada sembilan orang anak ini memiliki perniagaan nasi campurnya sendiri sejak beberapa tahun dahulu, bekerjasama dengan isteri tercinta, Rohani Yusuf.
Selain berniaga makanan setiap hari, Cik Anuar juga mencari sumber pendapatan sampingan melalui khidmat pertukangan, perpaipan dan penyelenggaraan wayar elektrik secara persendirian.
“Biasa caj saya tak caj mahal, ikut seikhlas hati mereka,” katanya.
Enam daripada sembilan orang anaknya masih lagi bergelar pelajar. Dua belajar di kolej, dua di sekolah menengah dan dua lagi di sekolah rendah.
DI SEBALIK LUBANG PINTU
Jika dilihat dari luar, rumahnya seperti rumah-rumah lain juga. Namun, setelah pintu dibuka, barulah kisah sebenar diketahui.
Dinding rumahnya agak kusam kerana tidak bercat. Ruang dapur pula kelihatan uzur. Mesin basuh dan peti sejuk pula sudah lama rosak.
Jika mahu membasuh baju, hantar ke dobi sahaja. Dan stok makanan semua disimpan di gerai. Selalunya mereka sekeluarga akan makan di gerai.
Percaya atau tidak, rumah Cik Anuar pernah terbakar satu ketika dahulu, berpunca daripada api yang lupa ditutup di atas dapur gas. Api yang marak menyambar hingga memusnahkan keseluruhan ruang dapur.
Bukan tidak mahu menambah baik struktur rumah, namun dengan pendapatan bulanan hasil berniaga dan servis wiring sebanyak RM 1300, memang tidak cukup. Ditambah pula mahu menyara sembilan orang anak.
CERITA TENTANG NIAGA
Sewaktu ketika dahulu, Cik Anuar asalnya berniaga makanan di premisnya pada waktu siang, bermula dari pagi hingga ke petang.
Cik Anuar menceritakan, menu utama di gerainya ialah nasi kukus. Perniagaannya sangat laris hingga pelanggan terpaksa beratur untuk membeli juadah masing-masing.
Saat itu segalanya terasa indah belaka. Namun, ianya tidak lama.
Jumlah pelanggannya semakin hari semakin kurang. Daripada dulunya beratur, sudah menjadi tidak teratur.
Gerainya seakan sepi, walaupun hakikatnya ramai sahaja pelanggan yang datang bertandang di medan selera itu.
DISEMBELIH..TANPA DARAH!
Sehinggalah pada suatu pagi, ketika Cik Anuar hendak buka gerainya, dia melewati kawasan belakang dapur, matanya terpaku pada satu objek di atas lantai. Berbulu, berkaki empat.
Masya Allah, bangkai kucing!
Keadaan sangat mengerikan. Kepala terputus akibat disembelih, namun yang menghairankan, tiada setitik pun kesan darah di sekitarnya.
Kaitan antara kekurangan pelanggan yang drastik dengan kemunculan bangkai kucing tanpa darah, Cik Anuar hilang kata-kata…
STRATEGI DIUBAH
Kejadian ‘mengerikan’ tempoh hari itu memaksa Cik Anuar mengubah waktu niaga dari siang ke malam. Tiada lagi nasi kukus, tiada lagi nasi berlauk.
Kini Cik Anuar meneruskan perniagaannya dengan menyediakan masakan panas seperti nasi goreng, char kuey tiaow dan sebagainya.
Namun, sambutan pelanggan tidaklah segalak seperti dahulu. Pendapatan kasar hariannya hanya cukup-cukup makan.
“Kadang-kadang nak dapat RM 50 sehari pun susah,” ujar isterinya, Rohani Yusuf.
Medan seleranya itu umumnya menjadi tempat persinggahan warga kerja untuk makan tengahari pada waktu siang, manakala sebelah malamnya pula orang ramai lebih bertumpu ke restoran tomyam di beberapa medan selera di tempat lain dan menyebabkan tempat itu sunyi dan kurang orang datang.
DAPUR ROBOH
Dapur yang digunakannya kini sudah roboh di bahagian para dan kaki, mengakibatkan Cik Anuar agak sukar untuk memasak. Hendak membeli dapur baharu, ianya bukanlah murah.
Harganya yang agak tinggi tidak sepadan dengan pendapatan yang diraihnya. Cik Anuar sangat memerlukan dapur baharu untuk dia memasak dengan lebih mudah.
Anak sembilan orang, enam bersekolah, rumah uzur, hanya gerai makanlah tempat Cik Anuar mengais tanah mencari rezeki.
Jadi, Insya Allah MVM akan membuka kempen tajaan untuk membeli dapur baharu buat Cik Anuar nanti. Doakan.