Bantuan Salam: Gout Yang Melumpuhkan Hidup

Oleh: Imran Abd Moin, intern Unit Salam MVM

Ketika remaja seusianya yang lain sedang menikmati kehidupan, pemuda bernama Asyraf Shah ini hanya mampu terduduk di sebuah kerusi roda usang.

Menghidap penyakit gout yang kronik pada usia 24 tahun adalah sesuatu yang tidak diminta olehnya.

Anak sulung daripada empat orang adik beradik ini tidak termampu menjadi tunjang utama kepada adik-adiknya serta kedua orang tua.

Ayahnya juga mempunyai penyakit gout yang dikatakan faktor keturunan terhadap gout yang dialami oleh Asyraf.

Penyakit goutnya telah merebak di bahagian tangan kirinya hingga menyebabkan jari hantunya terdapat bengkak yang agak besar. Tidak dapat kami bayangkan, bagaimana rasa mempunyai benjolan di jari tangan sendiri.

NAK KERJA, TAPI…

Hasrat untuk kembali membanting tulang bagi membantu menambah sumber pendapatan keluarganya masih ada, tetapi faktor kesihatan menghalang hasrat murni tersebut.

Dalam keadaan yang tidak begitu sihat, ayahnya terus menjadi harapan kepada Asyraf dan adik-adiknya yang lain bagi menjalani kehidupan seharian.

Turut dibantu oleh adik ketiganya yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai serbaneka.

Sedangkan Asyraf hanya mampu bermundar-mandir dalam rumah dengan kerusi roda usang tersebut untuk melakukan aktiviti hariannya.

Atas dasar keperihatinan Lembaga Zakat Selangor, mereka sekeluarga menerima bantuan barangan asas seperti beras, gula, kicap dan sebagainya pada setiap bulan.

SUDAH LAMA TIDAK BERJUMPA DOKTOR

Sekitar tahun 2016, Asyraf pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan lutut kaki kanannya tercedera.

Sejak itu, dia tidak pernah lagi mendapatkan sebarang jenis rawatan dari Hospital Tanjung Karang.

Hal ini disebabkan oleh faktor logistik untuk memudahkan urusan Asyraf untuk mendapatkan rawatan lanjutan di hospital. Mereka sekeluarga hanya mempunyai sebuah motosikal yang dipakai oleh adiknya.

Selain itu, faktor kudrat dirinya juga yang tidak mampu untuk berdiri dengan teguh dan stabil, apatah lagi untuk berjalan pada jarak yang jauh.

SEPERTI RUMAH TINGGAL

Semasa kami sampai di hadapan rumahnya yang terletak di Bukit Rotan, Kuala Selangor, sejujurnya kami sangkakan rumah yang didiami oleh Asyraf sekeluarga ialah sebuah rumah yang tidak berpenghuni.

Kawasan luar rumahnya agak luas, tetapi terdapat rumput yang tumbuh menebal pada bahagian hadapan rumah tersebut.

Tetapi yang sungguh menghairankan kami, di bahagian hadapan rumahnya itu juga terdapat tiga buah rumah lagi yang kelihatan sangat rapi dan bersih.

Setelah diselidik, rupa-rupanya rumah-rumah tersebut diduduki oleh nenek serta pakcik dan makcik sebelah ibunya.

Menurut apa yang diceritakan oleh Asyraf sendiri, rumahnya itu ialah rumah ihsan yang dibina di atas tanah milik neneknya.

HARAPAN ASYRAF SHAH

Sudah semestinya, pemuda berusia 24 tahun ini ingin keluar daripada kepompong kehidupannya sekarang.

Terlalu banyak bebanan yang dipikulnya, termasuklah tanggungjawab sebagai anak sulung kepada kedua orang tuanya, dan menjadi pemimpin kepada adik-adiknya yang lain serta penyakit yang dihidapi olehnya.

Walau sebesar mana pun ujian yang menimpa Asyraf, kami mendoakan agar dia terus tabah dan sabar dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Semoga Allah menyembuhkan penyakit yang dihidapi olehnya agar dapat kembali berbakti kepada diri dan keluarganya.

Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di Tabung Bantuan Salam. Segala sumbangan yang anda berikan, amat kami hargai.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.