Jumpa Lagi, Kauluan Dan Pamuntarian
Oleh: Imran Abd Moin
Tinggi-tinggi Gunung Kinbalu,
Tinggi lagi sayang sama kamu,
Biru-biru hujung Kinabalu tengok dari jauh,
Hati saya rindu…
Lirik lagu Sayang Kinabalu oleh Kimin Mudins
Gunung Kinabalu adalah mercu tanda Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Ketinggiannya melangkaui gunung-gunung lain di Malaysia, menjadi kebanggaan buat semua rakyat negeri Sabah. Buat julung kalinya, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) mengadakan program di sana iaitu Kembara Qurban Sabah 2019.
Kembara tersebut merentasi dua daerah iaitu Ranau dan Nabawan. Program ini dijalankan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Putrajaya dan Sabah.
Bagi penulis sendiri, ini merupakan pengalaman kali kedua menjejakkan kaki ke Sabah. Sebelum ini pergi sebagai pelancong, tetapi untuk kembara kali ini pergi membawa amanah dan harapan yang perlu dilaksanakan. Tiga hari tiga malam berkelana di sana, memberi suatu pengalaman baru buat penulis.
Mendekati masyarakat pendalaman Sabah adalah perkara baru yang diterokai oleh MVM. Melihat kepada faktor geografi, kedua-dua kampung ini mempunyai suasana yang berbeza. Walaupun matahari terbit di atas kepala, di Kampung Kauluan memberikan rasa yang lain.
Di Kaki Gunung Kinabalu
Terletak di sebahagian kaki gunung Kinabalu dalam Pekan Kundasang, tidak sekali pun penulis merasakan terik matahari. Angin manja yang meniup diiringi suhu Kinabalu yang menyamankan sepanjang berada di sana sejak jam 8 pagi pada Selasa, 13 Ogos 2019.
Kelihatan dua ekor lembu yang bakal disembelih, penduduk Kampung Kauluan sudah menantikan kehadiran kami. Anak-anak kampung berkejaran antara satu sama lain, ada juga yang sedang khusyuk dengan telefon pintar bermain permainan Mobile Legend.
Acara korban disempurnakan oleh Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) negeri Sabah, Ustaz Ramlee Haji Daud yang menyembelih kedua-dua ekor lembu. Sementara menunggu lembu yang masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, penduduk kampung mula mengambil tempat masing-masing.
Di bahagian belakang, terdiri daripada golongan wanita sudah mula menumis bawang, menjerang air dan menanak nasi untuk acara rewang. Para jejaka sudah siap sedia dengan pisau di tangan masing-masing untuk melapah daging korban.
Semasa penduduk kampung sedang sibuk dengan tugas masing-masing, MVM dan YADIM menjalankan aktiviti ziarah dan santuni dua buah rumah penduduk kampung Kauluan. Selain itu, dua keluarga tersebut diberikan barangan asas berupa beras, gula, minyak dan sebagainya. Sedikit sebanyak, mampu melirikkan senyuman di wajah mereka.
Usai bergotong-royong, kami semua dijamu dengan lauk-pauk yang dimasak oleh ibu-ibu dibelakang tadi. Sambil menjamah makanan yang hangat dan enak sekali, terasa ukhwah yang lahir pada saat itu.
Melihat wajah anak-anak Kauluan seakan tidak mengizinkan perjalanan kami ke destinasi seterusnya. Jika diizinkan Allah pada masa akan datang, MVM akan kembali untuk bersama penduduk Kauluan dengan masa yang lebih panjang.
Dari Atas Turun ke Bawah
Petang itu juga kami memulakan perjalanan menaiki dua buah pacuan empat roda ke daerah Keningau seterusnya bermalam di sana. Suasana jauh berbeza daripada Pekan Kundasang. Rumah-rumah kampung di kiri dan kanan mengiringi perjalanan kami.
Pagi Selasa, 14 Ogos 2019 kami memulakan perjalanan ke Kampung Pamuntarian, Nabawan. Perjalanan mengambil masa sekitar satu jam setengah dari pekan Keningau. Selepas memasuki simpang kampung, kami mengharungi jalan raya yang tidak bertar kira-kira 4 kilometer, debu pasir menyelubungi sepanjang perjalanan.
Penduduk kampung Pamuntarian sudah menantikan kehadiran kami sejak awal pagi. Kelihatan seekor lagi lembu yang akan dikorbankan buat penduduk kampung itu. Para jejaka juga turut bersedia untuk melapah lembu tersebut.
Ustaz Ramlee sekali lagi menyempurnakan ibadah korban tersebut diiringi laungan takbir oleh kami semua. Seterusnya, aktiviti melapah terus dijalankan oleh para jejaka dan seperti biasa golongan ibu-ibu mengambil tempat di belakang surau untuk merewang.
MVM dan YADIM turut menyantuni sebuah rumah di kampung itu dengan memberikan barangan asas dan membuat sedikit bacaan doa kepada keluarga tersebut. Rumah itu dihuni oleh seorang warga emas yang mempunyai sakit tua dan anak perempuan yang menjaganya.
Harapan Untuk Sabah
Walaupun mulai terasa bahang akibat cuaca yang terik, namun kami semua berteduh di bawah kanopi dan menikmati juadah yang disediakan. Penulis sendiri menjamah dengan penuh berselera menikmati daging dimasak dengan kuah kacang.
Alhamdulillah, perjalanan kembara kami dipermudahkan Allah SWT sepanjang tiga hari tiga malam ini. Pandangan penulis sendiri ingin lebih menerokai keindahan Negeri Di Bawah Bayu ini dan keramahan orang-orangnya, rasa masih tidak puas.
Jika diizinkan olehNya pada masa akan datang, MVM akan merancang lebih lagi program-program yang mendekati masyarakat pendalaman Sabah. Yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan.
Kami kongsikan gambar-gambar aktiviti sepanjang program berlangsung: