DUNIA negara-negara Islam bakal menghadapi masa depan yang semakin ‘misteri’.
19 tahun lalu, pada tanggal bersejarah 11 September 2001, berlakunya tragedi pengeboman bangunan World Trade Centre di Amerika Syarikat (US).
Impak kejadian itu, bermulalah episod ngeri dalam kalangan negara Islam, khususnya di Timur Tengah.
Seperti yang kita saksikan, Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria antara negara konflik yang menjadi mangsa kerakusan US hingga hari ini.
Dan selepas 19 tahun daripada pengeboman WTC itu, sekali lagi pada tarikh yang sama, iaitu 11 September 2020 semalam merakamkan satu lagi sejarah hitam buat umat Islam.
Selepas UAE, Kini Bahrain Pulih Hubungan Dengan Israel
Selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), kini negara teluk seterusnya, Bahrain disahkan memulih hubungan dengan Israel pada 11 September, baru-baru ini.
Hubungan diplomatik tersebut adalah perjanjian yang diusahakan US – yang dikecam oleh pemimpin Palestin sebagai ‘satu lagi serangan khianat ke atas Palestin’.
Presiden US, Donald Trump mengumumkan perjanjian berkenaan di Twitternya pada hari tersebut, selepas menghubungi pemimpin Bahrain, Raja Ahmad bin Isa Al-Khalifa serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Ini adalah hari benar-benar bersejarah.
“Macam tak terfikir ianya boleh berlaku dan sungguh cepat,” katanya kepada pemberita, memetik laporan Aljazeera.
https://twitter.com/realDonaldTrump/status/1304464848831631361?s=20
Dalam perjanjian tersebut, US, Bahrain dan Israel memaklumkan, “(ia) membuka dialog secara langsung antara dua masyarakat dinamik dan ekonomi yang hebat akan meneruskan transformasi positif Timur Tengah, serta menaikan kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan negara”.
Bulan lepas, UAE bersetuju untuk menjalin hubungan dengan Israel di bawah perjanjian US yang ditandatangani di majlis di Rumah Putih oleh Trump; yang bakal mengadakan pilihanraya pada 3 November.
Seperti UAE, perjanjian Bahrain-Israel pada semalam bertujuan untuk memperhebat hubungan diplomatik, komersial, keselamatan dan segalanya.
Bahrain yang juga seperti Arab Saudi, telah menggugurkan perintah pengharaman terhadap kapal terbang Israel yang melalui ruang udaranya.
Selain itu, perjanjian itu juga hanya menyebut mengenai Palestin yang bimbang akan langkah-langkah diambil Bahrain.
Dalam masa sama, UAE akan melemahkan kedudukan pan-Arab yang menuntut penarikan Israel dari wilayah (Palestin) yang sudah diduduki secara haram itu.
“Bahrain, Israel dan US akan meneruskan usaha untuk mencapai penyelesaian yang adil, komprehensif dan berkekalan dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin bagi memastikan rakyat Palestin menyedari potensi mereka,” kata kenyataan perjanjian tersebut.
Dalam pada itu, Netanyahu dilaporkan meraikan perjanjian tersebut dan berterima kasih kepada Trump.
“Ia mengambil masa selama 26 tahun antara perjanjian damai kedua dengan negara Arab dengan yang ketiga.
“Tapi (kini) hanya 29 hari sahaja antara (perjanjian damai) yang ketiga dan keempat, dan selepas ini akan ada banyak lagi,” katanya, merujuk kepada perjanjian ramai Israel-Jordan pada 1994 serta yang seterusnya.
Ini kemuncak kejayaan Trump
Sementara itu, penasihat kanan Rumah Putih, Jared Kushner berkata, perjanjian tersebut ibarat kemuncak kejayaan Trump sepanjang empat tahun pemerintahannya.
“Perjanjian bersama Bahrain dan UAE akan membantu mengurangkan ketegangan dunia (negara-negara) Islam.
“(Dan) membolehkan masyarakat untuk memisahkan isu rakyat Palestin daripada kepentingan negara mereka serta polisi luar negara mereka sendiri, yang mana hanya fokuskan kepada kepentingan domestik (negara) mereka sendiri,” katanya.
Ia adalah keputusan Arab Saudi
Pengarah eksekutif di Pusat Arab Washington, Khalil Jahshan berkata, persetujuan Arab Saudi adalah ‘kunci’ kepada keputusan Bahrain (untuk jalin hubungan dengan Israel).
“Ini adalah keputusan Arab Saudi semata-mata.
“Dalam ketiadaan kemampuan, berikutan kekangan dalaman oleh kepimpinan di Arab Saudi untuk memberi reaksi positif terhadap Trump, mereka memberikannya (Israel) Bahrain di atas piring perak,” katanya.
Bagaimanapun, wartawan Aljazeera, Nida Ibrahim yang melaporkan dari Ramallah, Tebing Barat bersetuju bahawa pihak Palestin percaya perjanjian UAE dan Bahrain bersama Israel itu tidak akan berlaku jika tanpa sokongan serantau.
“Ketakutan yang dialami oleh rakyat Palestin kini adalah perjanjian tersebut akan menjadi ‘lampu hijau’ bagi negara-negara Arab lain untuk jalin hubungan dengan Israel.
“Dan banyak orang Palestin mengatakan bahawa selama bertahun-tahun mereka melihat US sebagai ‘peguam’ Israel, dan sekarang mereka melihatnya sebagai ejen Israel.
“Sebab itulah Trump satu-satunya orang yang mengumumkan perjanjian ini,” katanya lagi.
Sumber: Aljazeera